Kecewa ibu tidak beri RM5 – Sinar Harian


Kecewa ibu tidak beri RM5
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Ogos 2013
  • Kecewa ibu tidak beri RM5Remaja terbabit dibawa ke balai polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
< 1 / 1 >

KULIM – Gara-gara gagal memperoleh RM5 sepertimana diminta dari ibu untuk keluar berhari raya bersama rakan-rakan, seorang remaja berusia 16 tahun dari Seberang Jaya, Pulau Pinang bertindak melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, remaja berkenaan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Jalan Kilang Lama sebelum ditahan unit MPV yang sedang membuat rondaan cegah jenayah kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Menurutnya, menyedari diekori polis, remaja terbabit melarikan diri ke Taman Senangin bagaimanapun berjaya ditahan namun dia enggan memberikan kerjasama.

“Bagaimanapun setelah pemeriksaan dijalankan terhadap nombor kad pengenalannya, polis mendapati terdapat satu laporan kehilangan terhadapnya dibuat di Balai Polis Seberang Jaya.

“Remaja terbabit merupakan anak bongsu dari tujuh beradik. Dia lari dari rumah sejak 10 Ogos lalu kerana ibunya tidak memberikan RM5 sepertimana diminta,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, sebelum ini remaja berkenaan pernah melarikan diri dari rumah sebanyak tiga kali dan dia jarang ke sekolah serta mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan mencari pekerjaan.

Katanya, dari pemeriksaan dijalankan terhadap beg dibawa remaja terbabit, polis menemui sekotak rokok yang dibeli dengan menggunakan duit raya diperolehnya.

“Memandangkan satu laporan polis sudah dibuat terhadap remaja terbabit, polis kemudiannya menghubungi waris untuk mengambilnya di Balai Polis Kulim.

“Dari akuan dibuat remaja terlibat, dia sampai ke Kulim selepas empat hari berjalan kaki dari Seberang Jaya.

Pada waktu malam, dia akan tidur di stesen bas atau di hentian bas di tepi jalan sebelum sampai ke Kulim. Tujuan dia datang ke Kulim adalah untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, warisnya ketika ditemui berkata, remaja berkenaan sering berpelesiran sehingga lewat pagi sehingga mengakibatkan pelajarannya merosot.

3 beradik berhenti sekolah akibat kesempitan – Metro


3 beradik berhenti sekolah akibat kesempitan

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Tiga beradik yang menetap di Flat Bagan Ajam di sini, kecewa apabila terpaksa melupakan persekolahan berikutan kesempitan hidup yang dialami keluarga mereka.

M Loganathan, 12, Umarshankary, 13, dan Satiskumar, 14, sudah lapan bulan tidak ke sekolah kerana ibu bapa mereka tidak mampu.
Ibu mereka, C Viralecthumi, 41, berkata dia sedih kerana anaknya tidak dapat bersekolah, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana pendapatan suaminya, M Murali, 35, yang bekerja buruh kontrak hanya RM35 sehari.

 

“Saya terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM25 sehari.
“Bagaimanapun, pendapatan kami tidak cukup untuk menampung perbelanjaan persekolahan tiga anak menyebabkan mereka sudah lapan bulan tidak bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Anak perempuan mereka, Umarshankary belum mendaftar untuk memasuki sekolah menengah kerana gagal melunaskan yuran RM85 untuk mendapatkan salinan sijil Ujian Penilaian Rendah (UPSR) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Ajam.

 

Menurut Viraletchumi, bekalan elektrik dan air di rumahnya juga dipotong kerana gagal menjelaskan tunggakan sejak tiga bulan lalu.
“Kami juga berkongsi sebungkus nasi setiap hari kerana berjimat bagi membayar sewa rumah RM200 sebulan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Bahagian MIC Bagan Datuk Henry Benedict ketika melawat keluarga terbabit berkata, MIC bersimpati dengan kesusahan yang dihadapi keluarga itu dan bersedia membantu.
“Kita akan bantu dan pastikan tiga anak Viralecthumi kembali bersekolah dan akan mencari pekerjaan sesuai kepada pasangan itu.
“ MIC Bagan juga memberi bantuan RM1,000 kepada keluarga ini untuk membayar tunggakan bil elektrik dan air serta menampung keperluan harian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/15

Pendidikan Kemahiran & Vokasional Bukan Pengajian Kelas Kedua – KP JTM – Bernama


Pendidikan Kemahiran & Vokasional Bukan Pengajian Kelas Kedua – KP JTM

BUKIT MERTAJAM: Masyarakat terutama ibu bapa perlu mengubah pemikiran yang menganggap pendidikan dalam bidang kemahiran dan vokasional sebagai bidang pengajian kelas kedua.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Romli Hassan berkata tanggapan itu perlu dikikis kerana lulusan institut latihan dan kemahiran di negara ini mampu memenuhi keperluan pasaran industri tempatan dan luar negara.

“Masalahnya sekarang ni dari segi minda masyarakat. Media perlu memainkan peranan untuk menukar pemikiran masyarakat, ‘think out of the box’. Mereka seperti tidak boleh menerima apabila anak mereka mahu bekerja di kilang.

“Mereka tidak tahu kerja kilang tu taraf mana. Bukan semua yang kerja kilang tu jadi pekerja biasa. Ada yang menjadi ‘supervisor’, ‘technician’. Kalau semua nak kerja kerajaan mana boleh, kilang siapa yang nak kerja? Lagi satu pelaburan macam mana nak masuk? Kerja di mana-mana sama sahaja, yang penting ikhlas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan bagi sekolah-sekolah teknik dan vokasional seluruh negara tahun 2012 di Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI), di sini, Isnin. Romli berkata antara 10,000 hingga 13,000 pelatih institut latihan dan kemahiran di bawah JTM menamatkan pengajian mereka setiap tahun dan 88 peratus berjaya mendapat pekerjaan dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh enam bulan.

“Hanya 12 peratus daripada jumlah itu masih belum mendapat kerja dan mereka dalam proses mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata pelajar juga berpeluang memiliki kerjaya yang baik dalam bidang itu kerana kemahiran dan latihan yang diterima menjadikan mereka mudah ‘dipasarkan’.

Mengulas lanjut, Romli berkata seiring dengan usaha kerajaan untuk mentransformasikan bidang kemahiran dan vokasional, sebanyak empat institut latihan kemahiran baharu akan dibuka iaitu di Taiping, Perak; Jerantut, Pahang; Kemaman, Terengganu dan Bintulu, Sarawak yang dijangka beroperasi pada Januari dan Julai tahun depan.

Katanya ketika ini terdapat 28 institut latihan di bawah JTM sedang beroperasi dan berkeupayaan melatih 23,000 pelajar setiap tahun dengan menawarkan 68 bidang kemahiran dan vokasional di seluruh negara. -BERNAMA

Catu makanan 11 anak – Sinar Harian


Catu makanan 11 anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2012
catu mknn anak

CHE LIJAH – “Dengan pendapatan sebagai tukang rumah yang tidak seberapa, saya kadangkala tersepit untuk menguruskan perbelanjaan sekolah anak, malah kadangkala kami terpaksa catu makanan agar ia mencukupi,” kata Nyak Sulaiman Nyak Banta, 57, yang sering dihimpit kemiskinan kerana jumlah tanggungan yang ramai.

Sulaiman yang mendiami sebuah pondok kecil berdekatan satu kawasan taku-ngan air dekat sini berkata, sebagai bapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap, membesarkan 11 anak termasuk difahamkan tujuh daripadanya masih bersekolah bukan satu perkara mudah.

Sulaiman berkata, pendapatannya yang tidak menentu dan tidak mencukupi menyebabkan dia sering terputus bekalan makanan, malah pernah suatu ketika mereka sekeluarga terpaksa makan hanya sekali dalam sehari.

“Kalau dah tak ada duit nak beli beras dan makanan lain, kenalah catu, makan sekali sehari sahaja.

“Kesusahan kami siapa yang ambil tahu, nak harapkan bantuan, kami memang tak pernah merasai semua itu, ada pemimpin pun mereka tidak pernah jenguk kami, di sini” katanya.

Sementara itu, isterinya, Mek Ani Muhammad, 43, berkata, sebagai suri rumah, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk membantu suaminya khususnya bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung.

Katanya, bilangan anaknya yang ramai dengan jarak umur yang dekat menyukarkannya untuk mencari pekerjaan bagi menambah pendapatan membantu suaminya.

“Nasib baik kami dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan, ringanlah sikit beban kami sekeluarga.

“Kalau tak ada bantuan tersebut, tak tahulah nak cakap apa, masa suami saya tidak kerja, mungkin kami terpaksa berlapar,” katanya.

Menyentuh mengenai bantuan persekolahan anak pula Mek Ani berkata, setiap kali musim persekolahan bermula, dia buntu memikirkan persediaan persekolahan anaknya.

Katanya, kadangkala anaknya terpaksa memakai pakaian yang sudah lusuh kerana tidak mampu untuk membeli pakaian sekolah baru.

“Usah kata nak beli baju sekolah baru, kadang-kadang anak saya ke sekolah pun tak bawa wang saku.

“Nasib baik ada bantuan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan di sekolah, kalau tak anak kami mesti kelaparan,” katanya.