Buku seorang guru – Kosmo


Buku seorang guru

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

 

WAN ZAYUHISHAM menunjukkan buku-buku yang telah ditulisnya sejak tahun 2009.

 

MEMILIH kerjaya sebagai seorang pendidik, Wan Zayuhisham Wan Yusoff, 41, mengakui, beliau amat bersyukur dengan perjalanan hidupnya yang telah diatur Ilahi.

Selama 17 tahun bergelar guru, banyak pengalaman pahit manis yang diperoleh dalam dunia persekolahan yang saban tahun semakin mencabar. Ini kerana perkembangan teknologi juga menjadikan para pelajar lebih ke hadapan dalam pelbagai aspek.

Situasi itu sekali gus memberi cabaran besar buat guru bagi menangani masalah tersebut. Menyedari hakikat itu, Wan Zayuhisham terpanggil untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat melalui penulisan buku-buku remaja.

Terbaharu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan PPR Taman Lembah Subang itu tampil dengan karya bertajuk Cikgu, Anak Saya Okey? yang memaparkan pelbagai dilema yang dihadapi pelajar.

Ia merupakan sebuah buku motivasi kedua beliau selepas menghasilkan buku Suami Yang Teruji berdasarkan catatan pengalaman, pengisahan rakan-rakan guru serta pemerhatian sendiri mengenai isu-isu pendidikan dan persekolahan.

Menurut Wan Zayuhisham, selain menulis mengenai masalah yang dihadapi, beliau juga memberi pandangan untuk mengatasinya. Tidak ketinggalan, tip-tip ringkas untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak turut diselitkan.

“Jujur saya katakan, bahawa apa yang dipaparkan dalam buku ini bukan untuk mengajar ibu bapa mendidik anak-anak tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan kaedah yang pernah dipelajari melalui kelas pengajian, seminar, diskusi dan pembacaan.

“Buku ini juga mampu memberikan gambaran keseluruhan kepada para ibu bapa mengenai dunia persekolahan anak-anak,” ujar Wan Zayuhisham sambil memberitahu, buku itu disiapkan sewaktu cuti persekolahan pada bulan November dan Disember tahun lalu.

Lapan buah buku

Mula terjun dalam dunia penulisan sejak Mei 2009, anak kelahiran Setiu, Terengganu itu sudah menghasilkan lapan buah buku.

Buku pertamanya bertajuk Impian Juara diterbitkan pada 2010. Ia diikuti Ops Menjejak Pencuri, juga pada tahun yang sama, Impian Juara 2 (2011), Ops Conteng dan Suami Yang Teruji (2012) serta Erti Persahabatan dan Ulat Buku (2013).

Tambah beliau, kesibukan tugas sebagai seorang guru bukan penghalang untuknya aktif menulis. Apa yang penting, pengurusan masa yang bijak mampu membantu mencapai kejayaannya dalam bidang penulisan.

“Saya biasa menulis selepas asar tetapi pada kebanyakan masa, waktu yang paling ideal bagi saya adalah selepas isyak dan awal pagi. Ada ketika, saya juga pernah tertidur di hadapan komputer gara-gara terlalu letih,” luah bapa kepada lima cahaya mata itu lagi.

Ditanya mengenai kepuasan yang dirasai dalam bidang penulisan, Wan Zayuhisham pantas menjawab: “Perasaan itu sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Bagi saya, bila seseorang penulis dapat menghasilkan sebuah buku, ia boleh diibaratkan seperti melahirkan bayi. Itu yang saya rasa.”

Selain SK PPR Taman Lembah Subang, Wan Zayuhisham pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tungku (1994-1998), diikuti SK Sains Dominic (1999-2002), kedua-duanya di Lahad Datu, Sabah dan SK Taman Medan, Jalan Klang Lama (2003-2010).

Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan Wan Zayu- hisham, layari laman blognya ilhamwan.blogspot.com.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2XnRXUpSS
Hakcipta terpelihara

Guru jangan jadi pak turut – Sinar Harian


Guru jangan jadi pak turut

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Februari 2013
Guru jangan jadi pak turut
Mohamad (kanan) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang guru muda yang hadir selepas Sesi Profesionalisme Guru Muda di Auditorium Tunku Puan Chik, semalam.

SEREMBAN – Guru tidak seharusnya menjadi pak turut meskipun bergiat aktif dalam bidang politik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai seorang pendidik guru sepatutnya menjadi peneraju masyarakat kerana mereka yang membentuk masyarakat.

“Sekiranya guru bersikap demikian (pak turut) ia akan merosakkan masa depan masyarakat dan bila ini berlaku malang sekali kerana masyarakat akan berpecah dan tidak lagi bersatu padu,” katanya.

Mohamad berkata, terpulang kepada mereka (guru) untuk berpolitik kerana negara ini bebas untuk sesiapa sahaja bergiat aktif dalam politik.

“Tetapi, gunakan akal fikiran dan kita jangan terlampau jumud dan menutup minda sehinggakan kita tidak dapat memandang serta menilai yang mana betul dan salah,”
katanya pada sidang media selepas Sesi Profesionalisme Guru Muda di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut di sini, semalam.

Menurut beliau, sebagai seorang guru, mereka perlu menghayati profesion itu kerana ia tugas yang amat mulia.

“Termasuk juga di kalangan guru-guru muda yang perlu memikul tanggungjawab tersebut dan perlu menyambung warisan profesion yang mulia ini.

“Mereka mesti menjiwai profesion yang diceburi ini kerana ianya bukan sahaja satu profesion bagi mendidik anak bangsa sahaja tetapi juga mampu menjadikan negara ini sama ada membangun atau sebaliknya.

“Saya berharap guru-guru muda mempunyai semangat yang tinggi untuk ke arah itu,” katanya.

Cabaran mendidik di pedalaman – Kosmo


Cabaran mendidik di pedalaman

SYIMIR tetap menjalankan tugasnya dengan komited walaupun dihantar jauh ke kawasan pedalaman.

 

BAGI kebanyakan guru baharu, menunggu waktu penempatan untuk sekolah yang bakal diajar merupakan saat yang mendebarkan. Malah, boleh dikatakan masing-masing berharap akan ditempatkan di sekolah yang terletak di lokasi strategik seperti di bandar-bandar terkemuka, daerah atau negeri yang tidak jauh dari tempat kelahiran mereka.

Justeru, apabila dimaklumkan status penempatan sekolah mereka di kawasan pedalaman atau luar bandar, pasti terdetik rasa kecewa kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian.

Bagaimanapun, sebagai seorang guru setiap amanah yang diberi akan dilaksanakan sebaik mungkin demi mendidik anak bangsa agar menjadi orang berguna.

Itu antara fasa hidup yang dilalui Siti Herdawati Hamidun, 29, seorang guru yang ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan Pendam yang terletak di daerah Samarahan, Sarawak walaupun beliau menjalani latihan praktikal di ibu kota.

Menurut anak kelahiran Raub, Pahang yang mesra dengan panggilan Wawa itu, sewaktu mengetahui dia bakal ditempatkan di Sarawak, hatinya berbunga riang memandangkan si suami turut bertugas di Bumi Kenyalang.

“Namun, apabila keputusan rasmi dikeluarkan iaitu saya akan mengajar di daerah Samarahan, saya sedikit sedih kerana ia terletak jauh dari lokasi suami bekerja iaitu di Kuching.

“Tetapi, akhirnya saya sedar ia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul dan saya terima keputusan itu dengan hati terbuka. Ternyata sikap positif itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk mendidik anak-anak di sekolah tersebut,” ujar Wawa yang mula bertugas di Samarahan sejak tiga tahun lalu sejurus menamatkan diploma Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

REZEKI yang diperoleh ibu bapa biasanya akan turut dikongsi bersama guru anak-anak mereka.

 

Tambah Wawa, pada mulanya dia mengalami kesukaran untuk memahami pertuturan murid-murid di sekolah itu kerana loghat mereka dalam bahasa ibunda Sarawak yang pekat.

Hadiah berharga

Justeru, secara perlahan-lahan, ibu kepada dua cahaya mata itu cuba mempelajari bahasa pertuturan mereka untuk mendekatkan diri dengan murid-murid di sekolah tersebut.

“Alhamdulillah, kini masalah tidak faham dialek sudah berjaya diatasi dan saya seronok mengajar anak-anak ini yang sentiasa bersemangat untuk belajar terutama apabila gunakan teknologi komputer.

“Paling terharu apabila pelajar-pelajar menghadiahkan saya barang-barang seperti sabun, beras dan buah-buahan sempena Hari Guru atau ketika dusun milik ibu dan ayah mereka berbuah.

“Bagi saya hadiah sebegitu amat berharga walaupun bukan barangan yang mahal kerana apa yang penting ialah ingatan mereka kepada guru yang telah mendidik mereka,” jelas Wawa yang mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah tersebut.

Sementara itu, anak muda bernama Faris Syimir Rozaini, 24, yang turut ditugaskan mengajar di daerah Kapit, Sarawak memberitahu, cabaran mengajar di pedalaman sangat berbeza berbanding mengajar di kawasan bandar.

Kesusahan hidup di kawasan luar bandar secara tidak langsung menjadikan proses pengajaran itu semakin sukar. Ditambah pula dengan bahasa ibunda yang berlainan, ia juga menyumbang kepada cabaran yang dihadapi pendidik.

Hormat guru

“Guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman boleh dianggap sebagai tentera kerana tugas mereka tidak sekadar mendidik. Di bandar, kita selalu dengar apabila murid sakit, gurulah doktornya dan bila murid hendak bermain bola, gurulah jurulatihnya.

KEKURANGAN infrastruktur seperti jalan yang berlumpur tidak menghalang pelajar untuk ke sekolah.

 

“Tetapi di pedalaman, jika sekolah tiada air, gurulah yang akan meredah sungai dan mendaki bukit semata-mata untuk menyambung paip air yang tercabut dan membekalkan air kepada semua penghuni sekolah,” ujar Syimir dalam aspek cabaran fizikal yang dihadapi guru-guru di pedalaman.

Tambah guru subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral dan Dunia Seni Visual itu, dari satu aspek lain, guru-guru di kawasan luar bandar begitu dihormati oleh masyarakat setempat kerana sanggup meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak demi mengajar anak-anak mereka.

Justeru, ibu bapa biasanya tidak lokek berkongsi rezeki dengan guru di sekolah anak mereka.

“Di sini, kami sering menerima hadiah dalam bentuk hasil hutan. Pernah sekali seorang rakan sejawat saya menerima seekor rusa hasil buruan penduduk tempatan. Ia memang sesuatu yang tidak dijangka dan membuatkan kami rasa amat dihargai,” terang Syimir yang melahirkan harapan agar anak didiknya mampu mengamalkan apa yang telah diajar kepada mereka untuk menjadi insan yang berjaya. – KHADIJAH MOHAMAD NOR