Mengaku tidak bersalah cabul anak tiri – Sinar Harian


Mengaku tidak bersalah cabul anak tiri
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2012
KUANTAN – Seorang bapa mengaku tidak bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencabul anak tirinya, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 40 tahun dari Gambang, dekat sini, didakwa melakukan kekerasan jenayah kepada anak tirinya yang berusia 9 tahun dengan niat mencabul kehormatan gadis itu di ruang tamu sebuah rumah dekat Beserah, kira-kira jam 11 malam, 10 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabedah Ungku Ismail di hadapan Majistret Nurulnamim Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagaimanapun tertuduh sebelum itu memohon supaya jumlah itu dikurangkan
atas alasan dia mempunyai anak kecil berusia tujuh bulan.

Nurunaim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin selain diperintahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 20 haribulan sepanjang prosiding berlangsung.

Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa sepanjang prosiding itu manakala 20 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan seterusnya.