Hutang RM200,000 dek rakan – Metro


Hutang RM200,000 dek rakan

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Asmah Rusman

Gombak: Seorang guru mendakwa bukan saja kerugian sebanyak RM60,000 malah terpaksa menanggung hutang bank mencecah RM200,000 gara-gara ditipu rakan kongsi perniagaan yang dijalankan sejak 2010.

Mangsa berusia 48 tahun itu dikatakan melaburkan wang sebanyak RM60,000 sebagai modal permulaan selepas bersetuju menjadi rakan kongsi lelaki terbabit yang ingin menjalankan perniagaan menjahit pakaian seragam.
Menurut sumber, beberapa bulan selepas itu, lelaki berkenaan mengadu kononnya memerlukan wang tambahan bagi menampung kos pembelian mesin jahit baru selain ingin membayar gaji pekerja yang semakin bertambah.

 

Ekoran itu, mangsa membuat pinjaman peribadi dengan sebuah bank tempatan sebanyak RM200,000 sebelum menyerahkan kepada suspek.
“Mereka adalah kenalan lama malah mangsa turut mengenali isteri suspek maka atas alasan itu wujud keyakinan untuk menjalankan perniagaan bersama-sama.
“Lebih meyakinkan lelaki itu sudah mempunyai perniagaan sendiri yang diusahakan bersama isterinya iaitu sebuah syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan,” katanya.

 

Menurutnya, sebagai rakan kongsi lelaki berkenaan berjanji akan membayar mangsa antara lima hingga lapan peratus daripada jumlah keuntungan kepadanya.
“Malangnya tiada sebarang bayaran keuntungan diterima mangsa malah lelaki itu sering berdalih apabila ditanya mengenai perkara terbabit.

 

“Difahamkan, sehingga laporan polis ini dibuat, mangsa masih gagal menerima dokumen perjanjian perkongsian perniagaan yang sepatutnya ditandatangani sebagai rakan kongsi,” katanya.
Katanya, akibat tidak tahan dengan desakan mangsa, lelaki itu akhirnya mengancam akan mencederakan keluarga mangsa selain sering bertukar nombor telefon bagi mengelak dikesan.
Mangsa membuat laporan polis pada 9 Ogos lalu kerana mengesyaki dia ditipu pasangan berkenaan yang lesap bersama wang modal perniagaan selain bimbangkan keselamatan diri dan anaknya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/15

Ibu tunggal empat anak hidup melarat dapat bantuan JKM – Bernama


Ibu tunggal empat anak hidup melarat dapat bantuan JKM

19 November 2012

KULIM – Seorang ibu tunggal yang mengharungi pelbagai ujian hidup membesarkan empat orang anaknya selepas diceraikan suami empat tahun lalu kini bersyukur kerana kesusahannya itu sudah mendapat perhatian pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Norhaslinda Musa ,36, yang tinggal di Taman Raya Murni, Kampung Padang, Padang Serai, dekat sini diberi bantuan segera RM300 oleh jabatan itu manakala bantuan bulanan pula akan bermula Disember ini.

Pegawai JKM Kulim, Rohana Mohd Yusuf yang menyiasat kes ibu tunggal itu berkata Norhaslinda sepatutnya mendapat bantuan tahun lalu tetapi kerana permohonan pertamanya diuruskan di JKM Butterworth dan beliau telah berpindah menyebabkan tidak dapat dikesan.

Katanya, kes ibu tunggal itu dilaporkan kepada JKM oleh seorang rakannya yang bersimpati dan selepas ditemuduga jabatan itu meluluskan bantuan di bawah Program Bantuan Kanak-Kanak (BKK) untuk keempat-empat orang anak wanita itu.

Rohana berkata selain bantuan segera dan bulanan, jabatan itu akan menolong mendapatkan bantuan di bawah program Azam 1Malaysia berupa sebuah mesin jahit bagi membolehkan Norhaslinda berdikari.

Norhaslinda yang ditemui pemberita berkata beliau tidak diberitahu tentang permohonan pertamanya melalui JKM Butterworth ditolak atas alasan teknikal.

Wanita itu kini mengusahakan pembuatan kerisik kelapa yang dijual di kedai-kedai dan restoran sekitar pekan Padang Serai, mengambil upah menjahit pakaian dan membuat kuih pada musim perayaan.

“Saya boleh dapat RM300 hingga RM400 sebulan namun tidak cukup untuk menampung perbelanjaan tiga anak yang belajar dalam darjah 3, 5 dan 6, manakala yang bongsu berumur empat tahun serta untuk belanja harian kami,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan dengan memasukkan wang ke akaun Norhaslinda di Maybank nombor 157410105679.  – Bernama