Muhyiddin cadang tubuh Yayasan Pendidikan Pengerang – Bernama


Muhyiddin cadang tubuh Yayasan Pendidikan Pengerang

18 Disember 2012

KOTA TINGGI –  Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan penubuhan Yayasan Pendidikan Pengerang bagi menjaga kebajikan dan membiayai pendidikan anak-anak Pengerang.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia merupakan satu penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan penduduk setempat sehingga membolehkan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang melibatkan pelaburan keseluruhan RM170 bilion itu dilaksanakan.

“Saya mencadangkan Yayasan Pendidikan Pengerang ini ditubuhkan dengan dana disumbangkan oleh Petronas dan Dialog Group Bhd (Dialog) serta pelabur-pelabur lain.

“Ia demi masa depan anak-anak Pengerang. Saya harap ia dapat diputuskan secepat mungkin oleh syarikat Petronas dan syarikat pelaburan lain,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat PIPC di tapak penempatan pemindahan penduduk Bayu Permai Plot A, Pengerang di sini.

Taklimat turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman dan Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Berhad (JPDC) Mohd Yazid Jaafar.

Muhyiddin berharap menerusi yayasan itu juga Petronas dan Dialog dapat memberikan biasiswa kepada anak-anak Pengerang dengan dana diuruskan oleh pemegang amanah yang layak.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan perkembangan projek berkenaan yang melibatkan pembangunan tanah seluas 8,800 hektar.

Katanya, selain pelbagai kemudahan lain seperti perumahan dan sekolah, sebanyak RM1 bilion juga diperlukan untuk penyediaan bekalan air mentah bagi keperluan industri di PIPC.

Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengambil kesempatan dengan mempolitikkan projek berkenaan dan menjadikannya sebagai kempen pilihan raya.

“Projek ini memberi impak ekonomi bukan sahaja kepada Johor untuk muncul sebagi hub minyak dan gas di rantau ini tetapi juga memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian akan meneliti resolusi 11 perkara yang dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) untuk membela nasib pendidik dan pesara guru.

Beliau meminta Kongres untuk menghantar resolusi berkenaan kepada kementerian secara rasmi.

Muhyiddin mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai resolusi yang diputuskan pada mesyuarat Exco Khas Kongres, Sabtu lalu yang antara lain mencadangkan penubuhan bank guru selain penubuhan organisasi seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). – Bernama

Kualiti pendidikan Islam perlu ditingkat, titah Sultan Johor – Sinar Harian


Kualiti pendidikan Islam perlu ditingkat, titah Sultan Johor
MOHD FIRDAUS YON
14 Ogos 2012

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima cenderahati daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin – Foto Bernama
JOHOR BAHRU – Dalam suasana dunia yang semakin terbuka dan mencabar, kualiti pendidikan agama Islam perlu dipertingkat dan pengurusan agama juga perlu dijalankan dengan lebih tersusun, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda bertitah, tumpuan perlu diberikan bukan sahaja kepada pelajaran dan kurikulum pelajar, tetapi juga kemudahan tempat belajar yang selesa.

“Pengurusan yang cekap dan keupayaan tenaga pengajar yang cemerlang perlu diberikan perhatian yang serius,” titah baginda pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pendaftaran Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor Sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, termeterainya perjanjian pendaftaran lapan buah Sekolah Agama Rendah Agama Bersepadu dan 20 buah Sekolah Menengah Agama di negeri ini sebagai SABK di bawah Kementerian Pelajaran.

Turut berangkat tiba ke majlis berkenaan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Ali Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil dan Mufti Negeri Johor, Datuk M Tahrir Shamsudin.

Sultan Ibrahim bertitah, perjanjian persefahaman yang ditandatangani bukan bermakna penyerahan kuasa Kerajaan Negeri dalam bidang pendidikan agama di negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi ia untuk membolehkan Kementerian Pelajaran menyalurkan bantuan dan meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri.

“Saya amat menghargai usaha Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kualiti pendidikan agama Islam di negeri ini.

“Dengan persefahaman termeterai kelak, saya dimaklumkan bahawa kerajaan persekutuan akan memberikan bantuan modal dan peruntukan yang khusus kepada 28 buah sekolah Sekolah Rendah Agama Johor dan Sekolah Menengah Agama Johor yang disenaraikan sebagai SABK,” titah baginda.

Baginda bertitah, kuasa mutlak Raja sebagai Ketua Agama Negeri Johor tidak akan tergugat atau terjejas dengan perjanjian berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, segala tindakan yang hendak dilakukan oleh Kementerian Pelajaran kepada SABK selepas termeterainya perjanjian itu perlu dibuat mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 Bahagian Pendidikan Islam dan perlu disembahkan kepada Sultan Johor terlebih dahulu.

“Jika saya lihat terdapat perlanggaran syarat, maka saya akan membatalkan perjanjian ini dengan serta merta. Adalah menjadi tanggungjawab dan amanah saya untuk menjaga kepentingan agama Islam dan rakyat negeri saya.

“Saya akan sentiasa memastikan keutamaan diberikan kepada rakyat negeri Johor. Sebagai contoh, pelantikan pengetua, guru besar dan guru-guru kanan hendaklah dilantik daripada kalangan rakyat negeri Johor.

“Walau bagaimanapun Kerajaan Persekutuan boleh mencadangkan calon yang lain jika sudah tiada guru-guru yang berasal dari negeri Johor. Itu pun terpulang kepada saya untuk perkenan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, segala usaha yang hendak dibuat oleh mana-mana pihak untuk meningkatkan pembangunan dan kualiti taraf pendidikan Islam di negeri ini amat dialu-alukan.

Bagaimanapun, apa-apa hasrat atau dasar yang hendak digubal mestilah sesuatu berfaedah kepada masyarakat umum dan tidak akan melemahkan kuasa Raja sebagai Ketua Agama Islam negeri.

“Sekiranya ada pihak yang betul-betul ikhlas untuk memberi sumbangan bantuan, silalah menghulurkan bantuan tersebut tanpa meletakkan apa-apa syarat demi untuk pembangunan agama Islam di negeri Johor,” titah baginda.

Johor sentiasa ambil berat kebajikan SJKC – Bernama


Johor sentiasa ambil berat kebajikan SJKC

19 Jun 2012
JOHOR BAHRU – Kerajan negeri Johor sentiasa mengambil berat tentang kebajikan, pembangunan dan permasalah yang dihadapi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini.

Goh Tee Tee (BN-Tangkak) berkata, ia jelas ditunjukkan melalui pengagihan bantuan dan sokongan berterusan kerajaan terhadap hal pendidikan di SJKC.

“Hal ini dibuktikan di 11 buah SJKC di Parlimen Ledang yang mana telah mendapat peruntukan khas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman sejak tahun 2008 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.5 juta.

“Malah sekolah menengah persendirian atau sekolah swasta juga tidak ketinggalan dalam mendapat sentuhan dan perhatian Menteri Besar…sebagai contoh SMJK Pei Hwa di Sungai Mati, Muar yang menerima peruntukan sebanyak RM1.08 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Sultan Johor sempena perasmian persidangan kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kali ke-12 di sini hari.

Beliau yang mewakili kaum Tiong Hua di kawsan Parlimen Ledang amat berterima kasih dengan keprihatinan tersebut sekaligus menunjukkan kerajaan negeri tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih.

Sementara itu, Tang Nai Soon (BN-Bukit Nenas) berharap kerajaan dapat memberikan bantuan tertentu untuk meringankan beban hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana, khasnya golongan belia di kawasan bandar.

Katanya ia terutama dalam hal membantu mereka merealisasikan impian memiliki rumah sendiri, melalui dasar sewa dahulu dan beli kemudian.

“Perkembangan pesat di negeri ini terutama di kawasan Wilayah Iskandar telah meningkatkan kos sara hidup sejajar dengan peningkatan pendapatan dan taraf hidup yang lebih selesa.

“Lebih memeritkan apabila berlaku peningkatan nilai hartanah dan keadaan ini sebenarnya telah memberi tekanan yang hebat kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, yang mempunyai pendapatan dalam lingkungan RM3,000 sebulan,” katanya.

Justeru itu, katanya, syarat pinjaman bank komersial kepada golongan belia untuk memiliki rumah pertama harus dipermudah dan dilonggarkan, termasuklan memberi pinjaman 100 peratus dengan tempoh ansuran bayar-balik yang lebih panjang.

Beliau juga mencadangkan agar satu jawatankuasa khas diwujudkan untuk memantau dan mengawal harga pasaran rumah binaan pemaju swasta agar ia tidak melambung tinggi ke satu tahap yang tidak munasabah dan tidak terkawal akibat kegiatan spekulasi.

Ini kerana, katanya walaupun kerajaan telah mewujudkan satu skim yang diberi nama ‘Skim Rumah PertamaKu’, namun difahamkan bahawa skim itu tidak dapat menyelesaikan masalah memiliki rumah, selagi nilai hartanah tetap melambung tinggi dan syarat bayaran ansuran bulanan tidak lebih 60 peratus daripada pendapatan bersih bulanan terus dikenakan. — Bernama

Jangan beri tekanan pada anak – Sinar Harian


Jangan beri tekanan pada anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012

LEDANG – Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengingatkan ibu bapa supaya tidak terlalu memberikan tekanan kepada anak-anak dengan menetapkan syarat kepada mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Menurutnya, tindakan sedemikian akan memberi kesan emosi kepada anak-anak sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran, malahan ada sebilangannya yang gagal.

“Ibu bapa wajar membantu mereka dengan memberikan sokongan, bimbingan dan perhatian dalam membentuk keyakinan untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Setiap ibu bapa pasti menyimpan harapan tinggi mahu lihat anak mereka berjaya tetapi mereka juga harus mempunyai rasa tanggungjawab dan komited membantu serta mendorong mereka memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran,” katanya ketika berucap
merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-39 Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), di sini.

Jelas beliau, untuk merealisasikan impian tersebut, maka tanggungjawab itu tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah semata-mata.

“Walaupun kita mahu lihat anak berjaya dalam pelajaran tetapi perlu mengelakkan daripada menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah semata-mata dan ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak sekolah untuk membina kecemerlangan anak-anak bersama.

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk menasihat dan memberikan kemudahan belajar seperti menghantar anak ke kelas tambahan selain pembelajaran yang diperoleh di sekolah,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Mustaffa Kamal Datuk Shamsuddin; Yang Dipertua PIBG, Padil Md Amin dan Guru Besar, Nik Fauziah Nik Yusoh.

Tambah Abdul Ghani, peluang melanjutkan pelajaran semakin luas dan mereka perlu merebut peluang yang diberikan.

“Sebagai contoh, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memperuntukkan kira-kira RM3 juta setiap tahun bagi membolehkan kira-kira 70,000 pelajar terpilih mengikuti Projek Hikmah – Tiusyen Kampung secara percuma.

“Ia bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan mengikuti kelas tambahan bagi meningkatkan penguasaan dalam pelajaran untuk mencapai kecemerlangan yang diharapkan,” katanya.

Katanya, keberkesanan program itu sudah terbukti apabila ramai pelajar yang mengikuti program tersebut berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Untuk sampingannya, anak-anak digalakkan menyertai program kokurikulum bagi membina jati diri yang kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan yang hebat,” katanya.

Dalam majlis itu, Abdul Ghani turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 kepada tiga murid yang memperolehi 5A dan lima murid 4A termasuk wang tunai sumbangan PIBG sekolah berkenaan.