36 murid sekolah Tamil di Ipoh keracunan makanan – Bernama


36 murid sekolah Tamil di Ipoh keracunan makanan

2013/07/23 – 18:03:12 PMCetakEmel Kawan
IPOH: Seramai 36 murid Sekolah Kebangsaan Guru Kalgidhar, Buntong di sini mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada makanan yang dijual di kantin sekolah itu, hari ini.

Mereka yang makan semasa waktu rehat pada jam 10 pagi mengadu sakit kepala, sakit perut, muntah dan cirit-birit dikejarkan ke Klinik Kesihatan Buntong.

Pengawai Pelajaran Daerah Kinta Utara, Marazlen Amran, berkata semua pelajar kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan pesakit luar.

“Semua murid dihantar ke klinik sekitar pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari. Hanya lima daripada mereka memerlukan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jabatan Kesihatan negeri dan kantin berkenaan disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, kantin itu beroperasi sejak 30 tahun lalu dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemilik tapak sekolah itu yang juga dipercayai pengusaha kantin.

Beliau berkata, Pegawai Khas Menteri Besar Perak, C Sivaraj akan mengagihkan makanan percuma kepada murid sekolah itu esok.
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Idris Ramli, berkata jabatan itu menunggu laporan lengkap daripada pihak sekolah sebelum menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Sekolah bantuan penuh kerajaan itu mempunyai 96 pelajar tahun satu hingga enam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Nolee Ashilin Radzi, berkata kejadian itu berlaku dipercayai daripada sejenis makanan India iaitu idli yang diperbuat daripada tepung beras yang dikukus.

“Makanan itu adalah dari kantin sekolah dan bakteria yang disyaki adalah bacillus cereus,” katanya.

– BERNAMA

Manfaat pelajar, pendidik – Berita Harian


Manfaat pelajar, pendidik

13/09/2012 – 05:34:12 AMCetakEmel Kawan
Keputusan kerajaan mengubah sistem pendidikan negara mendapat sokongan semua pihak dan pada masa sama memberikan pelbagai cadangan penambahbaikan.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin itu bagi memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan mencabar.

Generasi sekarang makin cerdik

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata anak-anak zaman sekarang semakin cerdik dan cepat matang, jadi tak perlu bersekolah terlalu lama.

Dengan perubahan ini, pada usia 21 tahun mereka sudah lulus sebagai siswazah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata, laporan itu memberi petanda baik kepada masa depan pendidikan negara dan yakin ia dapat membantu kerajaan terus melakukan transformasi pendidikan yang merentasi politik bagi melahirkan generasi berwibawa.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, berkata pelan itu adalah satu rancangan jangka panjang yang memberi banyak manfaat kepada pendidik.
Saya lihat, apa yang ditegaskan Perdana Menteri adalah untuk meningkatkan prestasi pendidik. Untuk itu, ia memerlukan perubahan sikap semua pihak dalam bidang pendidikan, katanya.

Di Jerantut, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sabri Arshad yang menyokong pelan itu mahu laporan itu dilaksanakan dengan penuh teliti, komprehensif dan berhati-hati dari semua sudut bagi mengelak kegagalan.

Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, pula berpendapat laporan pelan tindakan holistik itu membabitkan semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar dalam usaha menjaga piawaian pendidikan setara.

Ini akan merapatkan jurang perbezaan mutu pendidikan di bandar dan luar bandar kerana selama ini ramai beranggapan perbezaan lokasi menentukan mutu dan kejayaan sesebuah sekolah, katanya.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam pula menyarankan beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menjadikan pelan itu lebih inklusif.

Katanya, dasar pendidikan negara sepatutnya menghapuskan sistem dikotomi dengan memastikan semua aliran sekolah diberi karektor kebangsaan dan bersifat inklusif untuk kepentingan perpaduan nasional.

Tidak dinyatakan bagaimana sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah agama yang dikategorikan sekolah jenis kebangsaan dan menerima bantuan kewangan terhad, boleh dijadikan sekolah bantuan penuh dan sekolah kebangsaan. Majoriti pelajar di sekolah mubaligh adalah pelajar Melayu, maka kajian semula adalah perlu, katanya.

14 isu beban guru ditangani – Utusan


14 isu beban guru ditangani

Muhyiddin Yassin menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai sokongan terhadap guru sambil diperhatikan Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak,Kuala Kangsar, Perak, semalam.

KUALA KANGSAR 16 Mei – Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru termasuk memperkenalkan sistem tunggal kemasukan data.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu antara lain memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah bagi menangani keluhan guru yang terbeban dengan penggunaan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.

”Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013,” katanya ketika berucap merasmikan perayaan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.

Selepas kajian itu, katanya, satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memperluaskan penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah kementerian.

”Bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendaliannya di peringkat sekolah.

”Oleh itu, pada tahun ini, hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuat kuasa mulai 2013, iaitu semuanya akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.

Sehingga kini, katanya, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikut pengajian di institusi pengajian tinggi.

Remaja maut selepas hadir perhimpunan di rumah MB Perak – Bernama


Remaja maut selepas hadir perhimpunan di rumah MB Perak

14 April 2012

IPOH – Seorang remaja terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Km 242.8 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt Abdul Ghaffar Mohamad berkata mangsa, Meor Mahffuz Meor Abdullah, 16, dari Lenggong meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Kejadian berlaku pada pukul 4.45 petang tadi dan mangsa dipercayai menunggang dengan laju sebelum terbabas dan merempuh penghadang di tengah lebuh raya lalu tercampak di atas jalan, katanya ketika dihubungi di sini.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh ke rumahnya di Lenggong selepas menghadiri majlis perhimpunan Barisan Nasional (BN) Pilihan Orang Muda di kediaman Menteri Besar Perak yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri  Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein tengah hari tadi.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Perak Khairul Azwan Harun berkata seluruh anggota Pemuda BN Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Pemuda Umno Perak juga akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa, katanya ketika dihubungi. – Bernama