Penjawat awam diingat jangan sabotaj usaha kerajaan – Bernama


Penjawat awam diingat jangan sabotaj usaha kerajaan

KANGAR 11 Mac – Penjawat awam diingatkan agar tidak mensabotaj usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan negara semata-mata kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Perlis, Sabry Ahmad berkata, sudah terbukti janji pembangkang hanya mainan dan boleh merosakkan masa depan negara.

“…pembangkang tidak menjanjikan masa depan yang baik,” katanya, berucap mewakili Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa sabu pada perhimpunan bulanan sektor awam Perlis, di sini hari ini.

Sabry juga berkata, penjawat awam di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada menikmati kehidupan selesa.

Beliau juga berharap penjawat awam di Perlis membantu menjayakan wawasan negeri ‘Perlis Maju 2015’ yang kini 70 peratus daripada indikatornya telah dipenuhi.

Selain itu, penjawat awam juga antara kelompok yang turut berpeluang menikmati kemudahan rumah mampu milik di bawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia, membabitkan pembinaan 10,000 unit rumah di Perlis dalam tempoh lima tahun.

Sebelum itu, Pengarah Penerangan Perlis, Mohamed Lokman Mahmud dalam ucapannya berkata pihaknya akan memberi penerangan mengenai dasar kerajaan kepada rakyat secara lebih agresif menerusi pelbagai program.

Katanya, rakyat termasuk penjawat awam perlu diberi kefahaman tentang perkembangan semasa negara ini supaya mereka benar-benar menghayati pentadbiran kerajaan yang sentiasa menjaga kepentingan rakyt.

Pada majlis itu, penjawat awam turut dipersembahkan dengan nyanyian koir Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Perlis yang diterajui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130311/dn_34/Penjawat-awam-diingat-jangan-sabotaj-usaha-kerajaan#ixzz2NDFvwlAm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pendidik jangan terpengaruh dakyah jatuhkan kerajaan – Isa Sabu – Bernama


Pendidik jangan terpengaruh dakyah jatuhkan kerajaan – Isa Sabu

01/02/2012 11:50am

 

KANGAR 1 Feb. – Warga pendidik khususnya di negeri ini diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan demi kepentingan diri mereka.

Menteri Besar Perlis, Datuk Dr. Md. Isa Sabu ketika memberikan ingatan itu berkata sebagai golongan profesional dan intelektual, para guru perlu sentiasa berada di hadapan dan peka dengan usaha-usaha kerajaan yang sangat menitikberatkan soal pendidikan.

“Saya tidak mahu golongan pendidik terpedaya dengan pihak yang mahu menggugat kekuatan kerajaan. Sama-samalah hindarkan diri daripada dakyah yang tidak membawa faedah dan merosakkan peribadi,” katanya ketika berucap pada majlis Perutusan Tahun 2012 Jabatan Pelajaran Perlis, di sini semalam. – BERNAMA

Jawatan penolong kanan pendidikan Islam mungkin diperluas – Bernama


Jawatan penolong kanan pendidikan Islam mungkin diperluas

2012/01/05

KANGAR: Jawatan guru penolong kanan pendidikan Islam yang kini hanya wujud di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) mungkin diperluaskan ke sekolah harian tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran kini masih mengkaji keperluan itu dan jika didapati sesuai, ia akan dilaksanakan di sekolah harian yang mempunyai kelas aliran agama (KAA).

“Kajian itu membuktikan kesungguhan kerajaan memartabatkan pendidikan Islam di sekolah harian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama rakyat (SAR) seluruh Perlis di sini hari ini.

Mohd Puad juga berharap lebih banyak SAR dan Sekolah Agama Negeri (SAN) mendaftar sebagai SABK untuk membolehkan mereka menerima bantuan yang lebih sempurna daripada kerajaan.

Pada masa ini, sebanyak 169 daripada 247 SAR telah mendaftar sebagai SABK manakala bagi SAN hanya 77 daripada 472 sekolah yang mendaftar.

Beliau berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada SABK untuk kerja-kerja menaik taraf pembaikan dan jumlah itu tidak termasuk bayaran gaji kakitangannya.

Katanya, jika SAR dan SAN mendaftar sebagai SABK, sudah pasti sekolah itu akan menikmati kemudahan peruntukan itu.
Beliau percaya SAR dan SAN bimbang untuk mendaftar sebagai SABK dengan alasan kurikulum di sekolah mereka akan dikawal kerajaan.

Pada majlis itu, Mohd Puad menyampaikan bantuan sebanyak RM1.24 juta kepada lapan SMKA dan SABK dan RM1.3 juta kepada enam SAR, dari seluruh Perlis.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
– BERNAMA