20,000 murid tahun 4 di Terengganu bakal terima E-Book – Bernama


20,000 murid tahun 4 di Terengganu bakal terima E-Book

19 Mac 2013
Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Kira-kira 20,000 murid Tahun 4 di seluruh Terengganu akan memerima seunit E-Book pada tahun ini yang diagihkan secara berperingkat mulai hari ini.

E-Book sebuah komputer mini yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan Kementerian Pelajaran itu mula diberi sejak tahun 2009 bertujuan
memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas, sekaligus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sejak diperkenalkan lima tahun lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan RM114 juta bagi memastikan
proses pembelajaran menggunakan E-Book berjalan lancar.

“Bermula tahun ini juga, kita akan mengagihkan komputer riba kepada 4,000 guru yang mengajar murid Tahun 4 supaya melancarkan lagi proses pembelajaran dua hala antara guru dan murid di dalam kelas.

“Sebelum ini, kita hanya beri kepada guru murid Tahun 5 dan 6 sahaja, namun guru Tahun 4 juga akan menikmati kemudahan sama kerana penggunaan komputer riba itu lebih sesuai untuk mengajar murid yang dibekalkan E-Book,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan program pengagihan E-Book kepada 7,546 murid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di sini hari ini.

Kerajaan negeri turut menempatkan 456 Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) di setiap sekolah seluruh Terengganu untuk tujuan membaiki dan menyelenggara kerosakan E-Book.

Ahmad berkata walaupun pendapatan yang diperoleh Terengganu bukanlah yang tertinggi dalam negara, namun peruntukan untuk sektor pendidikan sebanyak RM340 juta setiap tahun membuktikan keprihatinan barisan kepimpinannya dalam melahirkan generasi muda yang berilmu untuk menjadi aset bangsa dan negara.

“Selain E-Book, banyak bantuan dan program khas diadakan untuk memastikan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu tercapai sedikit masa lagi.

“Justeru, saya sangat berharap agar ibu bapa dapat memantau dan membimbing anak mereka supaya menggunakan E-Book untuk tujuan akademik sahaja,” katanya. – Bernama

76 Sekolah Di Terengganu Capai Sasaran Akademik – Bernama


76 Sekolah Di Terengganu Capai Sasaran Akademik

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 76 sekolah di Terengganu mencapai sasaran kerajaan negeri dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata jumlah itu meliputi 21 sekolah menengah dan 55 sekolah rendah.

Kerajaan negeri menetapkan sasaran berdasarkan formula ’20-10-5-2′ iaitu 20 peratus calon UPSR mendapat semua ‘A’, 10 peratus bagi PMR, lima peratus untuk Sijil Pelajaran Malaysia dan dua peratus bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, katanya di sini, Selasa.

Katanya sekolah terbaik akan menerima Anugerah Anjung Ilmu yang diperkenal kerajaan negeri bermula tahun ini.

Beliau ditemui pemberita selepas penyampaian anugerah itu kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu (peringkat UPSR) dan Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud (peringkat PMR). Setiap sekolah turut menerima wang tunai RM10,000.

“Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM300,000 untuk anugerah itu yang baru diwujudkan tahun ini dan akan diteruskan pada masa akan datang bagi melonjakkan lagi motivasi para guru untuk terus cemerlang dalam pencapaian akademik sekolah masing-masing,” katanya.

Menurutnya bagi tujuan itu juga satu perhimpunan warga pendidik bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said akan diadakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Guru Besar SK Tapu Shukri Ghaza berkata kejayaan sekolah berkenaan yang menyaksikan 16 daripada 20 calon UPSRnya mencatat keputusan semua A tahun lalu merupakan hasil penat lelah para guru dan pelajar.

“Tahun ini kita menjangkakan 13 orang calon yang akan mendapat 5A daripada 27 orang calon UPSR,” katanya kepada Bernama selepas majlis itu.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SM Sultan Mahmud, Zulkeflee A.Rahman pula berkata pada PMR yang lepas, 88 daripada 104 calonnya mendapat keputusan 8A.

“Alhamdulillah, sekolah ini berjaya mendapat tempat terbaik di peringkat negeri dan tempat ketiga terbaik bagi Sekolah Berasrama Penuh peringkat kebangsaan dengan pencapaian sebanyak 84.62 peratus dalam PMR tahun lepas,” katanya menambah kejayaan itu hasil pelaksanaan pelbagai program membabitkan guru dan pelajar.BERNAMA

30 guru Terengganu terima Anugerah Guru Unggul ExxonMobil 2012 – Bernama


30 guru Terengganu terima Anugerah Guru Unggul ExxonMobil 2012

23 Januari 2013

 

KUALA TERENGGANU – Seramai 30 guru cemerlang dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Unggul ExxonMobil 2012 di Terengganu sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi mereka.

Pada majlis penghargaan yang diadakan di Primula Beach Hotel di sini malam tadi, Pengerusi ExxonMobil Subsidiaries Malaysia, J Hunter Farris berkata pihaknya akan sentiasa memberi sokongan dari pelbagai aspek bagi memastikan sektor pendidikan di Terengganu terus unggul dan cemerlang untuk masa depan yang lebih gemilang.

“Insan penting yang menjadi tonggak utama kecemerlangan pendidikan di Terengganu ialah guru dan kami memperuntukkan RM45,000 pada program ini sebagai mengiktiraf peranan guru yang sangat berdedikasi selama ini,” katanya pada majlis itu yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Kesemua guru terbabit menerima wang tunai RM1,050, sijil penghargaan dan plak setiap seorang.

Bagi Kamariah Jusoh, 52 seorang guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, beliau menganggap anugerah itu sebagai pembakar semangat untuk terus mencurah bakti kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya

“Saya memohon kepada Kementerian Pelajaran untuk mengajar di kelas khas ini kerana mahu memastikan kanak-kanak istimewa ini mampu menguruskan keperluan diri sendiri dan menerima hak pendidikan yang sama seperti insan normal lain.

“Kenangan manis saya ialah apabila seorang murid yang pada mulanya langsung tidak tahu menulis, membaca dan mengira akhirnya dapat menguasai kemahiran itu selepas setahun belajar di kelas saya,” katanya yang pertama kali menerima anugerah itu.

Bagi Hong Ching Teck pula, pengalaman beliau mengajar Bahasa Inggeris selama 34 tahun akan dimanfaatkan untuk terus memberi khidmat terbaik kepada anak Terengganu menguasai bahasa utama dunia itu.

“Saya akan gandakan usaha dan fokus diberi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini supaya mereka mampu menguasai BI dengan baik,” katanya yang kini mengajar di SK Seri Geliga, Kemaman.  – Bernama

Manfaat pelajar, pendidik – Berita Harian


Manfaat pelajar, pendidik

13/09/2012 – 05:34:12 AMCetakEmel Kawan
Keputusan kerajaan mengubah sistem pendidikan negara mendapat sokongan semua pihak dan pada masa sama memberikan pelbagai cadangan penambahbaikan.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin itu bagi memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan mencabar.

Generasi sekarang makin cerdik

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata anak-anak zaman sekarang semakin cerdik dan cepat matang, jadi tak perlu bersekolah terlalu lama.

Dengan perubahan ini, pada usia 21 tahun mereka sudah lulus sebagai siswazah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata, laporan itu memberi petanda baik kepada masa depan pendidikan negara dan yakin ia dapat membantu kerajaan terus melakukan transformasi pendidikan yang merentasi politik bagi melahirkan generasi berwibawa.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, berkata pelan itu adalah satu rancangan jangka panjang yang memberi banyak manfaat kepada pendidik.
Saya lihat, apa yang ditegaskan Perdana Menteri adalah untuk meningkatkan prestasi pendidik. Untuk itu, ia memerlukan perubahan sikap semua pihak dalam bidang pendidikan, katanya.

Di Jerantut, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sabri Arshad yang menyokong pelan itu mahu laporan itu dilaksanakan dengan penuh teliti, komprehensif dan berhati-hati dari semua sudut bagi mengelak kegagalan.

Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, pula berpendapat laporan pelan tindakan holistik itu membabitkan semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar dalam usaha menjaga piawaian pendidikan setara.

Ini akan merapatkan jurang perbezaan mutu pendidikan di bandar dan luar bandar kerana selama ini ramai beranggapan perbezaan lokasi menentukan mutu dan kejayaan sesebuah sekolah, katanya.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam pula menyarankan beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menjadikan pelan itu lebih inklusif.

Katanya, dasar pendidikan negara sepatutnya menghapuskan sistem dikotomi dengan memastikan semua aliran sekolah diberi karektor kebangsaan dan bersifat inklusif untuk kepentingan perpaduan nasional.

Tidak dinyatakan bagaimana sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah agama yang dikategorikan sekolah jenis kebangsaan dan menerima bantuan kewangan terhad, boleh dijadikan sekolah bantuan penuh dan sekolah kebangsaan. Majoriti pelajar di sekolah mubaligh adalah pelajar Melayu, maka kajian semula adalah perlu, katanya.

Terengganu, Pahang umum bonus separuh bulan untuk kakitangan awam – Bernama


Terengganu, Pahang umum bonus separuh bulan untuk kakitangan awam

2011/08/10

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu dan Pahang adalah dua kerajaan negeri yang setakat ini mengumumkan keputusan mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

“Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam,” kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Katanya, ia membabitkan 20,000 penjawat awam termasuk pekerja badan berkanun.

Ahmad berkata, bayaran itu membabitkan peruntukan RM10 juta.

Di Kuantan, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pembayaran bonus melibatkan 12,570 penjawat awam di negeri itu.

Adnan menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian bonus itu satu pembaziran sebaliknya ia bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam membangunkan negara. – BERNAMA