MB arah siasat kes keracunan – SInar Harian


MB arah siasat kes keracunan

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2013
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menyiasat kes 36 murid Sekolah Kebangsaan Guru Kalgidhar, Buntong mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada makanan yang dijual di kantin sekolah.

Menurutnya, langkah itu perlu memandangkan kes keracunan makanan tidak boleh diambil mudah, malah pihaknya bersedia dengan tindakan tegas sekiranya didapati berlaku kecuaian ketika menyediakan makanan kepada murid.

“Tindakan segera perlu diambil kerana kejadian ini melibatkan anak-anak kita yang sedang menimba ilmu, kerajaan negeri amat prihatin dengan kes tersebut dan kita mahu langkah-langkah pencegahan segera diambil untuk menangani masalah tersebut.

“Apa-apa pun kita tunggu laporan lengkap daripada JPN dan kita harap laporan menyeluruh dapat dilakukan segera,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini, semalam.

Jerebu: MB Pahang arah sekolah di Kuantan ditutup – Utusan


Jerebu: MB Pahang arah sekolah di Kuantan ditutup

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

 

BANDAR Kuantan diselubungi jerebu. Gambar ini dirakamkan pada pukul 12.21 tengah hari tadi. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 23 Jun – Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan semua sekolah di daerah ini dan kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu ditutup sehari mulai esok sehingga dimaklumkan kemudian. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_20/Jerebu-MB-Pahang-arah-sekolah-di-Kuantan-ditutup#ixzz2X2jbmjJj
© Utusan Melayu (M) Bhd

SJKT terima cek tendang daripada kerajaan negeri Kedah – Kosmo


SJKT terima cek tendang daripada kerajaan negeri Kedah

ALOR SETAR – Usaha kerajaan Kedah yang mahu menambat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) dengan memberi sumbangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini memakan diri apabila cek yang diberi adalah cek tidak sah.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Seri Mentalon di sini Selasa lalu.

Apa yang mengejutkan ialah penerima sumbangan yang diwakili Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah berkenaan menerima cek bertarikh 30 Disember 2012.

Pengerusi PIBG SJKT Ladang Somme, Serdang dekat sini memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh seorang rakan dari sekolah lain bahawa cek yang diterima adalah cek tendang.

Katanya, biarpun cek itu belum dimasukkan ke dalam akaun bank, dia percaya cek tersebut tiada wang.

“Saya yang mewakili sekolah menerima cek RM3,000 dan ia akan digunakan untuk kebajikan murid,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, cek itu seolah-olah dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga berlaku kesilapan.

“Berlaku kecuaian dan kerja pengeluaran cek dibuat secara tidak teliti. Ini menunjukkan kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Menurut laporan blog kedahan69ers.com, pada 2 April lepas satu majlis penyerahan sumbangan berupa cek kepada PIBG 58 buah sekolah Tamil diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar.

Salah satu cek bernilai RM2,000 yang disampaikan oleh Azizan kepada PIBG SJKT Ladang Harvard didapati telah tamat tempoh.

Perkara itu terbongkar apabila Pengerusi PIBG sekolah berkenaan pergi ke bank untuk menunaikan cek tersebut dan mendapati cek bertarikh 12 Disember 2012 itu hanya sah untuk tempoh tiga bulan.

Dalam pada itu, Pengerusi MIC Kedah, S. Ananthan berkata, kejadian itu menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pas.

Katanya, ia juga mencerminkan kerajaan negeri tidak menepati janji dan tidak bersungguh-sungguh membantu kaum India di negeri ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm#ixzz2Pr4zwzKc
Hakcipta terpelihara

Guru, ibu bapa di Terengganu diminta kekalkan kecemerlangan UPSR – Bernama


Guru, ibu bapa di Terengganu diminta kekalkan kecemerlangan UPSR

17 Jun 2012
KUALA TERENGGANU – Guru-guru dan ibu bapa di Terengganu diingat supaya mengekalkan kecemerlangan murid-murid negeri itu dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dicapai 11 tahun berturut-turut.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kejayaan yang diperoleh bukan alasan untuk guru dan ibu bapa murid yang akan menduduki peperiksaan itu tahun ini mendabik dada dan berpuas hati.

“Guru, ibu bapa dan pelajar perlu kerja keras untuk mencapai kejayaan kerana ia amat penting bagi mengekalkan kehebatan Terengganu dalam pendidikan.

“Jika kita tidak mengambil serius perkara ini, sukar untuk mengekalkan kecemerlangan, apatah lagi negeri lain juga sedang berusaha mengatasi kecemerlangan kita,” katanya pada perjumpaan dengan guru, ibu bapa dan murid UPSR 2012 di sini.

Ahmad berkata ibu bapa harus lebih peka terhadap keadaan persekitaran agar ia tidak mempengaruhi dan mengganggu perkembangan pendidikan anak-anak mereka. – Bernama