50 pelajar tahfiz ke Yaman – Bernama


50 pelajar tahfiz ke Yaman

18 Julai 2013
 50 pelajar tahfiz ke Yaman
Seramai 50 pelajar tahfiz berumur 11 hingga 19 tahun dari seluruh negara berserta 15 orang pengiring bergambar beramai-ramai di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini sebelum berlepas ke Yaman bagi menjayakan program Bertalaqqi Al-Quran. – Foto Bernama

SEPANG – Seramai 50 pelajar tahfiz berusia antara 11 hingga 19 tahun berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini untuk mengikuti program bertalaqqi dan bersanad Al-Quran di Yaman.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelajar-pelajar Tahfiz Malaysia Datuk Mustapa Othman berkata mereka adalah antara pelajar terbaik yang dipilih dari seluruh sekolah tahfiz dalam negara.

“Talaqqi adalah membaca Al-Quran dengan guru, iaitu dengan orang yang mempunyai tauliah, yang bertali arus hingga ke Rasulullah S.A.W.

“Para pelajar nanti akan berguru, diperbetulkan sebutan dan makhraj yang tepat dan kemudiannya diberi sanad atau ijazah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan para pelajar di sini hari ini.

Mustapa berkata program anjuran pertubuhan itu yang ditaja Lembaga Tabung Haji diadakan buat julung kalinya, bermula 20 Julai dan dijangka berakhir 14 Ogos depan.

Beliau berkata mereka sepatutnya berlepas ke Mekah sebelum ini untuk bertalaqqi dan bersanad, namun terpaksa dibatalkan akibat masalah visa.

“Jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyarankan pelajar ke Yaman tahun ini. Tetapi tahun depan kita akan buat program ini di Mekah pada bulan selain Ramadan seperti dicadangkan menteri,” katanya.

Sementara itu Muhammad Nabil Sapidin, 11, berkata meskipun gembira kerana terpilih menyertai program itu, beliau tetap sedih kerana terpaksa menyambut Aidilfitri jauh daripada keluarganya.

Anak sulung daripada lima adik beradik ini berkata sejak tahun lepas beliau menghafaz lima juzuk Al-Quran sebagai persediaan untuk menyertai talaqqi.

Muhammad Hazim Fatullah Mohd Helmi, 11, pula menghafaz Al-Quran sejak berusia tujuh tahun dan kini mampu menghafaz 11 juzuk, katanya memaklumkan perlu mengulangi bacaan setiap hari sebagai tips menghafaz Al-Quran.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji Datuk Kamaruddin Mat Ali berkata pihaknya menaja RM500,000 bagi membiayai keperluan penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta tiket penerbangan para pelajar ke Yaman.

“Ini merupakan tanggungjawab sosial korporat kami dalam bidang pendidikan untuk memberi motivasi kepada remaja bagi meningkatkan ilmu dalam bidang Al-Quran, sekaligus berjaya menjadi tahfiz,” katanya.  – Bernama

Pendidikan agenda utama – Metro


Pendidikan agenda utama

 1  1 Google +0  0  0

Klang: Kira-kira 460,000 guru di seluruh negara diminta untuk terus menyokong kerajaan yang mementingkan soal pendidikan yang ternyata menjadi agenda utama kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini terbukti apabila usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi bidang pendidikan di negara ini bukan saja mendapat perhatian di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah usaha gigih guru di seluruh negara untuk memastikan pelajar semua bangsa menguasai sepenuhnya ilmu pengetahuan yang diajar di sekolah.

 

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran akan terus memperkukuh dan meningkatkan lagi kemahiran guru sedia ada dengan menyediakan pelbagai bentuk latihan dan sokongan untuk memastikan mereka dapat menyampaikan ilmu sebaik-baiknya kepada pelajar.
“Saya menyeru guru untuk bersama dengan kerajaan bekerja sebagai satu pasukan untuk menuju sasaran sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.
“Untuk mencapai kemajuan dalam bidang pendidikan, ia bukan hanya terletak pada bahu kerajaan tetapi perlu persefahaman dan kerjasama antara guru, masyarakat dan pelajar agar dapat merangka masa depan yang lebih baik,” katanya sewaktu berucap sempena Majlis Perjumpaan Khas bersama warga pendidik Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di SJKT Simpang Lima, di sini, semalam.

 

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G Palanivel dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Muhyiddin berkata, bagi memantapkan lagi bidang pendidikan seiring dengan perkembangan teknologi yang diguna negara maju, BN dalam manifestonya yang dilancarkan baru-baru ini berjanji akan membekalkan komputer riba kepada pelajar seluruh negara mulai tahun depan. Beliau berkata, perkara itu akan diperincikan dengan lebih halus cara untuk melaksanakan pemberian komputer berkenaan agar semua pelajar mendapat manfaat daripada perancangan yang dilaksanakan kerajaan BN. “Teknologi adalah suatu perkara yang tak boleh dielakkan untuk meningkat pencapaian dalam bidang pendidikan. Di negara maju, teknologi maklumat sudah menjadi alat penyampai ilmu pengetahuan yang begitu penting.

 

“Maka sebab itu, kita dah mulakan sejak tahun lalu program Bestari.net dan semua sekolah seluruh negara akan diperlengkapkan dengan talian Internet dan WiFi agar pelajar dan guru dapat menggunakan teknologi maklumat,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Rogol bawah umur kena 30 tahun – Berita Harian


Rogol bawah umur kena 30 tahun

2012/11/25 – 06:36:33 AM Oleh Nurhayati AbllahCetakEmel Kawan
Padang Rengas: Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) akan dipinda bagi mengenakan hukuman penjara mandatori sehingga 30 tahun ke atas perogol gadis bawah umur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pindaan itu dicadangkan supaya mereka yang didapati bersalah merogol gadis bawah umur dan dijatuhi hukuman penjara mandatori, tidak boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan hukuman.

Katanya pindaan seksyen berkenaan akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Saya telah minta kepada Peguam Negara dan dengan persetujuan beliau dan nasihatnya, kita nak pinda Seksyen 376 KK supaya tidak diberikan budi bicara kepada hakim untuk memberikan hukuman yang ringan kepada pesalah.

Pesalah rogol yang melakukan perbuatan itu terhadap gadis berusia bawah umur 16 tahun mesti dikenakan hukuman sedia ada iaitu tidak kurang tiga tahun penjara atau tidak lebih 30 tahun serta sebatan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Kepemimpinan Berkesan di pejabat Perkumpulan Wanita Padang Rengas, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai langkah kerajaan sebelum ini meminda Seksyen 376 KK kerana perangkaan rogol statutori (jenayah persetubuhan membabitkan individu bawah umur dengan kerelaan) mencatatkan hampir 6,000 kes bagi tempoh 2007 hingga 2012.

PM umum WP Labuan dapat cuti am Deepavali – Utusan


PM umum WP Labuan dapat cuti am Deepavali

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytihar cuti am Deepavali kini merangkumi Wilayah Persekutuan Labuan.

Kata beliau, walaupun keputusan itu tidak memberikan kesan besar ke atas Labuan yang mempunyai jumlah penganut Hindu yang kecil, kawasan itu secara simbolik tetap layak memandangkan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, keputusan yang dicapai oleh Kabinet itu juga menunjukkan Malaysia mengamalkan dasar inklusif ke atas semua kaum.

“Orang-orang India di Malaysia tetap mendapat pembelaan yang sebaik mungkin daripada kerajaan Barisan Nasional,” ketika berucap dalam majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Batu Caves, dekat sini hari ini.

Sementara itu, kira-kira 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran parti PPP Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Selain orang ramai, kehadiran Perdana Menteri serta beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut menyerikan lagi majlis sempena perayaan bagi masyarakat India beragama Hindu itu.

Yang hadir sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Kehadiran Perdana Menteri disambut oleh Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan serta kepimpinan PPP dan BN peringkat Wilayah Persekutuan.

Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit menikmati juadah yang disediakan sebelum pulang meninggalkan majlis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121114/dn_02/PM-umum-WP-Labuan-dapat-cuti-am-Deepavali#ixzz2C9CGc3Dn
© Utusan Melayu (M) Bhd

YPPB lancar biasiswa untuk 100 calon UPSR tahun ini – Bernama


YPPB lancar biasiswa untuk 100 calon UPSR tahun ini

22 Oktober 2012

BANTING – Calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berpeluang memohon program biasiswa Peneraju Tunas Geliga (Tunas Geliga) untuk ditempatkan di sekolah berprestasi tinggi yang dilancarkan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) hari ini.

Ketua Eksekutifnya Raja Azura Raja Mahayuddin berkata kriteria permohonan terbuka kepada calon-calon UPSR bumiputera yang mendapat keputusan ‘sederhana baik’ iaitu tiga A dan dua B ke atas, dan daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

“Pemohon juga perlu aktif dalam sukan atau kegiatan kokurikulum, dan mempunyai bakat dalam kepimpinan.

“Selain latar belakang daripada keluarga yang mencabar seperti ibu tunggal, anak-anak yatim dan daripada etnik minoriti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif terbaharu yayasan itu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang di sini.

Permohonan program biasiswa dibuka pada 29 Oktober ini dan pemohon boleh menggunakan keputusan percubaan sementara menunggu keputusan sebenar UPSR menerusi laman webnya http://www.peneraju.edu.my. Tarikh tutup dua minggu selepas keputusan UPSR dikeluarkan.

Beliau berkata RM20 juta diperuntukkan bagi biasiswa Tunas Geliga untuk menampung kos yuran pembelajaran termasuk asrama serta wang saku.

“Di bawah program ini para pelajar yang terpilih akan digilap menjadi pelajar cemerlang dengan sasaran sekurang-kurangnya mendapat sembilan A apabila mereka menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya.

Para pelajar terpilih akan ditempatkan di 10 sekolah berprestasi tinggi di seluruh negara untuk sesi persekolahan 2013, dan akan menyertai program peralihan selama sebulan sebelum dihantar ke sekolah-sekolah berkenaan, katanya.

Yayasan itu yang ditubuhkan pada November tahun lepas setakat ini telah mempunyai dana hampir RM150 juta hasil sumbangan warga korporat dan individu bagi membiayai empat projek pembiayaan akademik dan latihan kemahiran, iaitu Peneraju Tunas Potensi, Peneraju Profesional, Peneraju Skil dan Tunas Geliga, katanya.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata beliau yakin program Tunas Geliga akan berjaya mewujudkan pelajar yang berpotensi untuk menjadi tenaga kerja mahir dan berkualiti tinggi negara.

Ini adalah berdasarkan kepada perkembangan yang memberangsangkan dalam kalangan 210 peserta program peneraju Tunas Potensi daripada lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang kini sedang mengikuti program A-Levels dan ijazah sarjana muda, katanya. – Bernama

Ibu bapa perlu sokong usaha kerajaan untuk kecemerlangan pendidikan – Bernama


Ibu bapa perlu sokong usaha kerajaan untuk kecemerlangan pendidikan

2 Oktober 2012

SIK – Ibu bapa seharusnya menyokong usaha kerajaan ke arah kecemerlangan pendidikan untuk semua kaum di negara ini menjelang 2015, kata Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Mansor Lat.

Beliau berharap mereka tidak akan terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang ingin menggagalkan usaha kerajaan itu.

“Kerajaan meletakkan bidang pelajaran di satu tahap yang tinggi untuk melahirkan rakyat dan generasi yang berilmu dan sanggup berhadapan dengan kemajuan global,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Sik hari ini.

Pada majlis itu, sekolah tersebut turut menghargai jasa dan kecemerlangan bekas pelajar termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Allahyarham Tan Sri Dr Hamid Osman, Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad dan tokoh sejarah negeri Kedah Datuk Wan Shamsuddin Wan Yusof.

Mansor turut menyampaikan sumbangan serta penghargaan kepada tiga pelajar sekolah itu yang berjaya ke peringkat kebangsaan program saintis muda. – Bernama

5,119 sudah dituduh rogol gadis bawah umur – Metro


5,119 sudah dituduh rogol gadis bawah umur

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DEWAN Rakyat di sini, semalam diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara sudah membawa 5,976 kes di bawah kesalahan rogol membabitkan gadis bawah umur berusia 16 tahun atau rogol statutori sejak 2007 hingga Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bagi tempoh sama sejak 2007 hingga Ogos lalu terdapat 5,119 orang sudah dituduh atas kesalahan rogol membabitkan gadis bawah umur 16 tahun.
“Sebahagian daripada 5,119 yang dituduh itu dipertuduh atas lebih daripada satu kesalahan menjadikan jumlah kes 5,976.

 

“Daripada 5,119 orang yang dipertuduh, 1,631 sudah disabitkan atas kesalahan berkenaan, manakala 327 orang sudah dilepas dan dibebaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan,” katanya.
Mohamed Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan utama Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan berapa ramai yang terbabit kes rogol gadis bawah umur sudah dihukum penjara bagi 10 tahun lalu.
Dalam soalan tambahan, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut ingin mengetahui kesediaan kerajaan mewujudkan jawatankuasa Jatuh Hukum Rogol seperti dilaksanakan di United Kingdom (UK).

 

 

Menurutnya, di UK, hukuman penjara sampai mati dikenakan terhadap perogol yang merogol gadis bawah umur berusia 13 tahun.
“Pada saya objektif utama untuk memperketatkan undang-undang membabitkan rogol untuk memastikan gadis bawah umur dilindungi,” katanya.

 

Mohamed Nazri kemudian berkata, beberapa badan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyampaikan bantahan terhadap keputusan Noor Afizal Azizan (dibebaskan bon berkelakuan baik kerana merogol gadis bawah umur).
“Saya sudah menghantar memorandum kepada pihak berkenaan dan dalam pertemuan itu pihak berkenaan sedang membincangkan dan sudah tentu ia datang dari pihak mahkamah.
“Dalam peringkat awal Ketua Hakim sudah memberikan pandangan, kemungkinan Jawatankuasa boleh ditubuhkan sekiranya pihak Eksekutif kerajaan bersetuju, tetapi cuma bagaimana untuk menyelaraskannya, tetapi dalam kes Noor Afizal, dia sudah dilepaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26

Kerajaan mahu selaras hukuman rogol bawah umur – Bernama


Kerajaan mahu selaras hukuman rogol bawah umur

25 September 2012
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mengkaji cadangan menubuhkan jawatankuasa untuk menyelaras hukuman rogol melibatkan gadis bawah umur untuk memastikan golongan itu dilindungi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Bagaimanapun, katanya keputusan berhubung perkara itu perlu mendapat persetujuan daripada pihak mahkamah.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam satu pertemuan dengan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

“Pada peringkat awal, Ketua Hakim telah berikan pandangan iaitu kemungkinan jawatankuasa yang disebut itu (jawatankuasa menyelaras hukuman) boleh ditubuhkan kalau sekiranya pihak eksekutif, kerajaan bersetuju tetapi ia cuma boleh menyelaraskan hukuman,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Nurul Izzah ingin tahu sama ada kerajaan bersedia mewujudkan jawatankuasa seperti yang terdapat di United Kingdom yang menyelaras secara konsisten semua hukuman rogol gadis bawah umur.

Nazri berkata, sekiranya jawatankuasa itu ditubuhkan, ia akan berperanan dari aspek penyelarasan hukuman dan bukannya mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Dalam soal sistem perundangan kita, mesti ada kata muktamad. Bahayanya (jika) kita mempunyai jawatankuasa untuk semak balik semua hukuman yang dijatuhkan mahkamah, kerana ia seolah ada satu lagi peringkat yang diwujudkan lebih tinggi daripada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata, menurut rekod Jabatan Peguam Negara terdapat 5,976 kes yang telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan di bawah kesalahan rogol melibatkan gadis di bawah umur 16 tahun atau rogol statutory sejak tahun 2007 hingga Ogos 2012.

“Seramai 5,119 orang telah dipertuduh dengan kesalahan rogol melibatkan gadis di bawah 16 tahun. Sebahagian daripada 5,119 orang yang didakwa itu menghadapi lebih daripada satu kesalahan menjadikan jumlah kes 5,976,” katanya.

Menurut beliau, daripada 5,119 yang didakwa, sejumlah 1,631 orang disabitkan atas kesalahan berkenaan manakala 327 orang dilepaskan dan dibebaskan selepas tamat perbicaraan.

Dalam pada itu, 446 orang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu. – Bernama

Program Tajaan 1MDB Mungkin Dipanjangkan Kepada Bilal, Siak & Guru KAFA – Bernama


Program Tajaan 1MDB Mungkin Dipanjangkan Kepada Bilal, Siak & Guru KAFA

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata program penajaan haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sahaja akan diteruskan, malah mungkin akan digandakan jumlahnya sekiranya ‘ada rezeki’.

Beliau berkata program itu juga tidak mustahil akan dipanjangkan kepada kelompok bilal dan siak serta guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), setelah sasaran menghantar para imam dan ketua kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat dicapai.

Dalam ucapannya pada majlis pelepasan jemaah haji 1MDB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia, yang merupakan duta kecil negara ke sana, agar menjaga kelakuan dan tutur kata, kerana adab sopan inilah yang menyebabkan Malaysia dihormati oleh masyarakat dunia.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Seramai 400 imam, ketua kampung dan pengerusi JKKK dari seluruh negara yang belum pernah mengerjakan ibadat haji diberi peluang menjadi tetamu Allah secara percuma melalui program itu kali ini, di mana surat tawaran diserahkan kepada mereka oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu.

Ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama 111 imam dan pengerusi JKKK menerima tajaan itu tahun lalu. Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia tidak bimbang berkenaan tarikh pilihan raya, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap amal ibadat agar dapat melaksanakan segala rukun dan syarat haji serta umrah dengan sempurna.

“Dan juga, sebagai tetamu Allah, doa tuan-tuan amat mahal dan mustajab di sisi Allah, oleh itu mohon disudikan untuk tuan-tuan mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara, para pemimpin serta rakyat keseluruhannya,” katanya.

Najib juga berkata berubah kepada suatu keadaan yang lebih baik merupakan satu tuntutan dan ajaran asas dalam agama Islam, dan usaha perbaikan atau ‘islah’ itu merupakan agenda terpenting kerajaan pimpinan beliau.

Beliau berkata ‘islah’ itulah yang menjadi roh kepada gagasan program transformasi nasional, untuk meletakkan negara menjadi sebuah negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi. “Sesungguhnya, kita tidak pernah melupakan bahawa agenda Islam merupakan teras dalam kita membangun serta memajukan negara Malaysia ini. ‘Islah’ yang menyeluruh dan berstrategik ini juga amat menepati kehendak Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara.

“Apa yang lebih penting untuk difahami bahawa rahmat yang dibawa oleh ‘islah’ ini bukannya terhad kepada orang Islam sahaja bahkan rahmat ini dapat dinikmati sama dengan sebaik-baiknya oleh warga negara yang bukan Islam,” katanya. –BERNAMA

RM100 juta diagih kepada 428 sekolah mubaligh seluruh negara – Bernama


RM100 juta diagih kepada 428 sekolah mubaligh seluruh negara

06/09/2012 – 15:25:02 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Kerajaan mula mengagih peruntukan RM100 juta yang diumum pada pembentangan Belanjawan 2012 kepada 428 sekolah mubaligh di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata sebagai permulaan, 75 sekolah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan menerima peruntukan masing-masing hari ini.

“Jumlah peruntukan adalah berbeza antara sekolah yang lain kerana ia bergantung kepada keperluan sekolah,” katanya selepas majlis penyampaian peruntukan itu, di sini.

Koh berkata, sebelum agihan dibuat, kerajaan berbincang terlebih dulu dengan badan yang mewakili sekolah mubaligh terbabit bagi memastikan agihan adil dan saksama.

“Secara puratanya setiap sekolah akan menerima antara RM40,000 dan RM50,000 dan sekolah yang mendapat peruntukan lebih adalah disebabkan ada projek pembinaan,” katanya. – BERNAMA