Najib lulus RM530,000 kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil


Najib lulus RM530,000 kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil
18:26:12 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan RM530,000 bagi kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G Palanivel.

Palanivel, yang juga Presiden MIC berkata, projek ‘Road to England’ bertujuan melahirkan pelajar kaum India di Malaysia yang dapat menjadikan bola sepak sebagai satu kerjaya dengan memiliki standard yang setara dengan pemain England dari segi jangka panjang. Ke arah itu, beliau menyerahkan cek lebih RM530,000 kepada Karen Barnes, pengarah Ken Barnes Football Academy, di pejabatnya di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
“Ini adalah julung kali pelajar sekolah Tamil mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak ‘Road to England'” kata Palanivel kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek itu.

Projek berkenaan, yang dijangka dimulakan akhir bulan ini, akan membabitkan 523 sekolah Tamil di 11 lokasi di seluruh negara.

Palanivel berkata, 11 pemain berbakat dan berkemahiran dari kejohanan itu akan dihantar untuk berlatih serta bermain di kelab bola sepak Manchester United di England hujung tahun ini.

Latihan akhir dan pemilihan 11 pemain akan dilakukan oleh bekas pemain antarabangsa England Peter Barnes.
Beliau berkata, projek Road to England adalah hasil kerjasama antara Peter Barnes Football Academy dan Majlis Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia.

– BERNAMA

Rakyat diminta ubah tanggapan terhadap pendidikan vokasional – Bernama


Rakyat diminta ubah tanggapan terhadap pendidikan vokasional

13 Julai 2012
BUTTERWORTH – Ibu bapa diminta supaya mengubah tanggapan kononnya pendidikan vokasional adalah sebagai kelas kedua, kerana kelulusan bidang vokasional sekarang ini mempunyai masa depan yang cerah berbanding pendidikan akademik biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kelulusan dalam bidang kemahiran sebenarnya kini mendapat permintaan tinggi dari sektor swasta dan tenaga kerja mahir juga diperlukan untuk menjana ekonomi negara.

“Bidang vokasional jelas mampu melahirkan modal insan kelas pertama ke arah menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Kecekapan Kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kepada 435 pelatih di Dewan Besar Sungai Dua di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai contohnya, tenaga kerja di negara-negara maju adalah golongan yang mendapat pendidikan dalam bidang vokasional.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti latihan selama sembilan bulan anjuran Akademi Binaan Malaysia Utara Sdn Bhd, (ABM) dan CIDB menikmati gaji antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Beliau berkata, pelatih bekenaan senang mendapat pekerjaan kerana mempunyai kemahiran berbanding siswazah yang menamatkan pengajian di universiti dan ini membuktikan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran adalah meningkat.

Terdahulu Nor Mohamed ketika melawat Pasar Tasek Gelugor di sini, berkata projek menaik taraf pasar itu yang membabitkan peruntukan bernilai RM474,000 telah siap sepenuhnya.

Katanya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM1.4 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat kawasan Parlimen Tasek Gelugor pada September 2011. – Bernama

Tapak tanah baharu untuk SJKT Batu Ampat – Kosmo


Tapak tanah baharu untuk SJKT Batu Ampat

SRJKT Batu Ampat di Kampung Jawa, Klang akan dinaik taraf sebaik proses pembelian tapak baharu selesai dilakukan bagi membina bangunan tambahan.

KLANG – Nasib lebih 1,000 murid dan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Ampat, Kampung Jawa di sini yang selama ini terpaksa belajar dalam bangunan yang terjejas teruk akibat serangan anai-anai dan masalah banjir bakal berubah.

Ia berikutan tindakan kerajaan Pusat yang membeli tanah seluas 1.2 hektar di sebelah tapak sekolah itu bagi membina bangunan baharu yang lebih selamat dan selesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel berkata, proses jual beli tanah itu daripada pemilik asal sedang diuruskan oleh kerajaan bagi tujuan tersebut.

“Lebih menggembirakan, pemilik asal tanah juga bersetuju untuk memberikan tambahan 0.4 hektar tanah secara percuma demi masa depan murid-murid sekolah itu.

“Kita akan mengumumkan secara rasmi pemberian tanah itu untuk pembinaan bangunan baharu sejurus selepas menerima surat pengesahan urusan jual beli daripada pemilik tanah tersebut,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

210 lepasan SPM, STPM kumpulan pertama terima biasiswa YPPB – Bernama


210 lepasan SPM, STPM kumpulan pertama terima biasiswa YPPB
2012/06/24
SUNGKAI: Seramai 210 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah kumpulan pertama yang terpilih untuk menerima biasiswa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) yang dilancarkan akhir tahun lalu.

Setiap pelajar akan menerima biasiswa antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk sepanjang pengajian mereka di institusi pengajian tinggi yang akan bermula bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata YPPB ditubuhkan bertujuan memberi laluan kepada pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
“Kerajaan sedar terdapat pelajar yang cerdas tidak berpeluang untuk menggilap potensi mereka disebabkan wujudnya kekangan persekitaran seperti kemiskinan keluarga, keadaan rumah yang kurang sesuai dan ketiadaan akses kepada kemudahan pembelajaran,” katanya ketika berucap pada program Kemuncak Jelajah Aspirasi 2012 dan penyampaian surat tawaran biasiswa YPPB kepada pelajar terpilih di sini, hari ini.

Nor Mohamed berkata, kerajaan bertekad untuk memastikan kedaifan hidup tidak menjadi penghalang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pendidikan adalah platform anjakan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga, membasmi kemiskinan dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk bangsa dan negara kita,” katanya. – BERNAMA

Umur persaraan sektor awam kekal – Sinar Harian


Umur persaraan sektor awam kekal
ARHIZA AHMAD
19 Jun 2012

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan umur persaraan wajib sektor awam kepada 66 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, bagaimanapun bagi memenuhi keperluan perkhidmatan tertentu kerajaan boleh membuat pelantikan secara kontrak.

“Pelantikan secara kontrak ini, dilaksanakan bagi kakitangan yang telah bersara wajib.

“Ini dapat memastikan mereka yang mempunyai prestasi tinggi saja akan dilantik selepas bersara wajib bagi memenuhi keperluan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang meminta kerajaan memberikan penjelasan umur persaraan kakitangan awam akan ditingkatkan kepada 66 tahun, selaras umur persaraan hakim.

Mohamed Nazri berkata, kerajaan sentiasa memantau situasi pasaran buruh, sebelum menimbang sebarang cadangan untuk meningkat umur persaraan wajib bagi sektor awam.

Pusat salur RM3.6 juta latih penyelia dan guru Kafa – Bernama


Pusat salur RM3.6 juta latih penyelia dan guru Kafa

10 Jun 2012
KUALA TERENGGANU – Kerajaan persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan RM3,581,660 juta untuk latihan penyelia dan guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi membeli bahan-bahan peralatan bantu mengajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata peruntukan itu disalurkan kepda kerajaan negeri melalui jabatan atau Majlis Agama Islam negeri-negeri.

“Bagi negeri Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, peruntukan disalurkan melalui jabatan atau Pejabat Pembangunan Persekutuan negeri masing-masing manakala bagi Terengganu ia disalurkan melalui Yayasan Islam
Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pengenalan Kaedah Iqra kepada guru-guru KAFA negeri Terengganu dan penyerahan bantuan kerajaan persekutuan kepada kelas-kelas KAFA seluruh negara di sini. Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Terengganu Khazan Che Mat.

Jamil Khir berkata rayuan dan permohonan penyelia dan guru-guru KAFA antaranya tentang buku-buku rekod mengajar, pendedahan kaedah untuk mengajar, bantuan peralatan mengajar dan sebagainya sememangnya diambil kira kerajaan dalam usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan guru-guru KAFA.

“Jadi kita duduk berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah dapat merumuskan satu pendekatan bantuan untuk menambah keberkesanan dan pendedahan kaedah-kaedah mengajar dalam kalangan guru KAFA di seluruh negara,” katanya.

Katanya mereka juga perlu didedahkan untuk mendapat peluang-peluang dan kaedah mengajar atau kursus-kursus berkaitan KAFA.

Katanya kaedah Iqra dilihat amat berkesan sehingga peringkat prasekolah anak-anak di Terengganu yang telah menjalankan proses pendidikan itu sudah mampu membaca al-Quran.

Jamil Khir berkata dari sudut fizikal pula bukan gaji dan bangunan tempat belajar saja yang diberi tumpuan, tetapi perkembangan kerjaya guru-guru KAFA yang berjumlah hampir 34,000 orang turut dititikberatkan.- Bernama

Sembilan sekolah agama baru sedang dan akan dibina di Parlimen Pontian – Sinar Harian


Sembilan sekolah agama baru sedang dan akan dibina di Parlimen Pontian

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mei 2012
Sembilan sekolah agama baru sedang dan akan dibina di Parlimen Pontian
Ahmad menyerahkan pencetak komputer kepada wakil SRAB Benut, Pontian

BENUT – Sebanyak sembilan sekolah agama sedang dan akan dibina di kawasan Parlimen Pontian tahun ini dengan kos dianggarkan kira-kira RM12.6 juta.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, sekolah agama tersebut ialah Sekolah Agama (SA) Seri Pulai, Seri Sekawan Desa, Tanjung Air Hitam, Seri Semangat, Seri Bugis, Jaya Mulia, Seri Anom, dan bangunan tambahan SA Parit Semerah.

Menurutnya, setiap bangunan akan menelan belanja di antara RM1.2 hingga 1.5 juta yang meliputi pembinaan satu atau dua blok bangunan dengan enam bilik darjah, bilik guru, pejabat guru dan kantin.

Beliau berkata, dengan pembinaan sembilan sekolah agama berkenaan akan meleraikan penantian penduduk kampung di kawasan terbabit sejak 10 tahun lalu, bagi memiliki sekolah agama sendiri untuk kemudahan pembelajaran anak mereka.

“Selama ini, mereka menumpang di sekolah kebangsaan yang kadang kala menimbulkan sedikit masalah apabila berkongsi bangunan sama,” katanya pada perasmian pelancaran Dana Pembangunan Insan, Sekolah Rendah Arab Bersepadu (SRAB), Pontian, di sini, semalam.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah meluluskan peruntukan bagi membina SA di kawasan Parlimen Pontian.

“Diharap dengan adanya bangunan sendiri ini, ia bakal memberi keselesaan kepada murid-murid yang dianggarkan berjumlah kira-kira 7,000 orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Dana Pembangunan Insan SRAB ini bakal meringankan beban kewangan sekolah untuk mengadakan program atau menambah baik kemudahan sekolah.

“Langkah menubuhkan dana pembangunan insan ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan pendidikan sekolah.

“Ia juga wajar dijadikan contoh kepada sekolah lain kerana banyak faedah yang mampu diperoleh sekolah dan pelajar,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 dan menyerahkan empat unit pencetak komputer untuk kegunaan sekolah.

MIC mahu kementerian pelajaran tubuh bahagian khusus – Bernama


MIC mahu kementerian pelajaran tubuh bahagian khusus

21 April 2012

KUALA LUMPUR – MIC hari ini meminta Kementerian Pelajaran menubuhkan sebuah bahagian baru yang diketuai oleh seorang pengarah khusus bagi menjalankan program pembangunan dan pembinaan sekolah Tamil di negara ini.

Presidennya Datuk seri G. Palanivel berkata bahagian tersebut perlu dianggotai oleh jurutera, pereka dan pegawai kewangan.

“Ke mana sahaja kami pergi, kami menerima permintaan dari sekolah Tamil untuk pelbagai bantuan dan sekiranya ada bahagian khusus dalam kementerian, maka bahagian itu boleh mengendalikan apa juga permohonan atau permintaan dari sekolah Tamil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata bahagian itu juga boleh membuka laman sesawang dan sistem e-mel bagi menerima permintaan dan memantau sekolah Tamil secara atas talian.- Bernama

Giliran Idris Jala Pula Jadi Guru – Kosmo


Giliran Idris Jala Pula Jadi Guru

Oleh KANG SOON CHEN

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengajar subjek Bahasa Inggeris di SMK Tengku Idris Shah pada Teach For Malaysia Week. Foto THE STAR Oleh: AZMAN GHANI

 

KLANG: Jika Isnin lalu, artis terkenal Lisa Surihani dan suaminya Yusry Abdul Halim meluangkan masa selama sejam bertugas sebagai guru di SMK Pandamaran Jaya di sini, pada Selasa, tiba giliran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala pula bertugas sebagai guru.

Mereka adalah sebahagian daripada selebriti dan juga tokoh awam serta korporat yang mengambil bahagian dalam minggu Teach For Malaysia yang sedang berlangsung sekarang.

 

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan atau Pemandu telah meluangkan masa untuk mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar tingkatan empat, SMK Tengku Idris Shah, di sini.

Anak kelahiran Bario Sarawak itu menyuntik semangat kepada pelajar-pelajar tingkatan empat sekolah itu bahawa melalui pembacaanlah dia kini menjadi seorang yang berjaya.

“Anda semua mesti ada cita-cita…jika seorang budak dari Bario seperti saya boleh berjaya, anda juga boleh!” katanya.

Idris juga turut berkongsi pengalamannya dengan pelajar-pelajar sekolah menengah itu tentang zaman remajanya khususnya ketika di sekolah.

“Ketika saya masih bersekolah lantai bilik darjah saya diperbuat daripada lumpur dan kami diberikan hanya sekeping papan dan kapur untuk menulis kerana kami tidak mempunyai buku latihan untuk menulis.

 

“Dan bandar yang paling dekat dengan kampung saya ialah dua minggu berjalan kaki. Itu menunjukkan betapa jauhnya kampung kami dengan bandar,” ujar beliau.

Di akhir program itu, Idris telah menyumbang satu set buku The Chronicles of Narnia karya C S Lewis dan berjanji siapa yang dapat menghabiskannya dengan pantas akan berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM1,000 daripadanya disamping berpeluang untuk makan bersamanya di Malaysian Petroleum Club KLCC.

RM440j untuk pembangunan, naik taraf sekolah Tamil – Bernama


RM440j untuk pembangunan, naik taraf sekolah Tamil

24/03/2012 9:20pm

 

TASEK GELUGOR 24 Mac — Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM440 juta bagi membiayai program pembangunan dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negara ini sejak tiga tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, peruntukan itu juga bertujuan menaikkan tahap pendidikan belia India di negara ini, dan sejajar dengan matlamat tersebut, kerajaan menambah bilangan penerima biasiswa bagi pelajar kaum berkenaan.

“Seramai 400 pelajar India di negara ini sudah menerima biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Yayasan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) supaya dapat membantu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Pengayaan Pendidikan Prasekolah Tamil di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed dan Pengarah Yayasan Masyarakat dan Pendidikan Malaysia (MCEF), Tan Sri C Rajandram.

Nor Mohamed berkata, kerajaan juga menyediakan 1,000 tempat di matrikulasi untuk pelajar India yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2011.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi memperuntukkan RM23.6 juta bagi melaksanakan program latihan kemahiran membabitkan belia India dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah di kalangan kaum tersebut.

Katanya, program itu sedang dilaksanakan di pelbagai institusi latihan swasta seluruh negara dan ia dijangka dapat mengurangkan kadar kemiskinan, selain menjana pendapatan melalui kemahiran yang dipelajari.

Nor Mohamed berkata kejayaan Program Harapan Prasekolah kendalian kerajaan bersama MCEF sejak 2007, berjaya menarik kemasukan kira-kira 9,000 pelajar kaum India di bawah umur enam tahun. — BERNAMA