85 kantin sekolah diarah tutup kerana kurang bersih – Dr. Subramaniam – Bernama


85 kantin sekolah diarah tutup kerana kurang bersih – Dr. Subramaniam

 

24/07/2013 8:34pm

 

PUTRAJAYA – Sebanyak 85 buah kantin sekolah telah diarahkan ditutup dari Januari hingga Mei tahun ini kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan dan tidak menepati peraturan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan hasil pemeriksaan dan pengauditan yang dilakukan terhadap 6,168 kantin sekolah di seluruh negara oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan.

“Pada tahun 2012, sebanyak 8,288 kantin sekolah telah diperiksa dan hasil daripadanya, sejumlah 112 kantin sekolah telah diarah tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, kementerian itu bersama Kementerian Pendidikan telah mewujudkan Jawatankuasa Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) yang antara lain bagi memantau kebersihan kantin sekolah di bawah Program Pemeriksaan Sendiri (KENDIRI) Kantin Sekolah sebagai salah satu kaedah mengurangkan keracunan makanan dan meningkatkan tahap kebersihan kantin sekolah. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0724&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_33.htm#ixzz2Zxyi1UXD
Hakcipta terpelihara

Audit sekolah, kantin pastikan keselamatan makanan – Metro


Audit sekolah, kantin pastikan keselamatan makanan

 0  0 Google +0  0  0

PUTRAJAYA: Semua sekolah dan kantin di seluruh negara akan diaudit untuk memastikan penyediaan dan pembekalan makanan memenuhi ciri keselamatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam berkata, pengauditan itu dilakukan bagi memastikan murid dihidangkan dengan makanan yang bersih dan sihat, sekali gus mengelakkan kejadian keracunan makanan di sekolah.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24

Kementerian Pendidikan Diminta Kaji Mengapa Pelajar Cemerlang Gagal Mendapat Tempat Di Universiti – mStar


Kementerian Pendidikan Diminta Kaji Mengapa Pelajar Cemerlang Gagal Mendapat Tempat Di Universiti

Oleh EILEEN NG

BANGI: Kementerian Pendidikan diarahkan oleh Kabinet untuk mengkaji kelemahan dalam prosedur pemilihan bagi kemasukan ke universiti-universiti tempatan berikutan ramai pelajar cemerlang gagal mendapat tempat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kementerian itu juga perlu lebih telus dalam proses pemilihan itu dilakukan.

“Saya percaya perkara ini boleh diselesaikan dengan lebih telus, untuk orang ramai mengetahui bagaimana proses pemilihan dilakukan. Ia adalah sistem (itu masalahnya), tidak begitu banyak kepada bilangan tempat,” katanya selepas merasmikan Pameran Sains Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak 2013.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata kebanyakan pelajar dengan Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) 4.0 ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan tetapi universiti hanya boleh mengambil beberapa pelajar kerana tempat yang terhad.

Menurut beliau, terdapat mekanisme untuk menilai kesesuaian pelajar dengan mengambil kira pembabitan ko-kurikulum dan prestasi mereka pada temuduga untuk proses kemasukan.

“Isunya adalah ketelusan dan membiarkan orang ramai tahu apa sebenarnya berlaku. Apa yang berlaku di sini tidak banyak bezanya dengan negara lain. Di kebanyakan negara, tidak semua yang memohon mendapat tempat di universiti,” katanya.

Beliau berkata majoriti pelajar cemerlang yang layak mendapat tempat di universiti tempatan dan hanya kira-kira 30% daripada mereka gagal dalam permohonan untuk mendapat tempat di IPTA.

Bagaimanapun, beliau berkata pelajar yang gagal dalam permohonan itu boleh membuat permohonan sekali lagi.

“Kabinet akan mencari jalan bagaimana untuk menempatkan mereka ke institusi pengajian tinggi swasta sekiranya permohonan rayuan mereka tidak berjaya,” katanya.

Kerajaan Digesa Kaji Punca Ramai Remaja Sakit Mental – Bernama


Kerajaan Digesa Kaji Punca Ramai Remaja Sakit Mental

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera mengenal pasti punca dan mencari langkah menangani peningkatan jumlah pesakit mental di negara ini, termasuk kanak-kanak dan remaja, yang berada pada tahap membimbangkan.

Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) berkata peningkatan angka itu saban tahun menunjukkan isu tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. “Kajian menyeluruh perlu dibuat untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan peningkatan pesakit mental di negara ini saban tahun.

“Kita sebagai ibu bapa mungkin tidak dapat kesan kedudukan anak kita dan tidak tahu mereka dalam keadaan yang memerlukan rawatan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini mendedahkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, yang mendapati kelaziman masalah kesihatan mental golongan kanak-kanak dan remaja meningkat daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus tahun lepas. Liow berkata pengaruh Internet dan teknologi komunikasi selain faktor kesibukan ibu bapa dijangka terus membawa kepada peningkatan peratusan itu, yang dijangka terus meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ismail berkata pendedahan lebih meluas perlu dibuat bagi memberi pengetahuan terutama kepada ibu bapa dan penjaga supaya dapat mengesan kemungkinan penyakit mental di kalangan kanak-kanak serta remaja lebih awal.

“Kita tidak mahu apabila negara maju, perkara seperti ini kita tinggalkan dan menjadi perkara terpencil sedangkan ia merupakan perkara yang serius,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan mewujudkan Jabatan Psikiatri di setiap daerah dan penambahan pakar kesihatan mental.

“Apa yang lebih penting, di peringkat awal isu perlu diberi penekanan dan Kementerian Kesihatan harus membuat kempen yang sesuai dalam menangani masalah tekanan ini sebelum ia sampai ke peringkat teruk,” katanya.

Kebimbangan serupa turut dibangkitkan Datuk Ismail Abdul Muttalib, yang menyifatkan isu itu amat serius kerana membabitkan kanak-kanak dan remaja, yang merupakan barisan pelapis negara.

“Saya mohon kerajaan memberi perhatian segera pada isu ini kerana anak-anak kecil dan remaja ini bila mental mereka terganggu, sudah tentu masa depan negara bangsa kita juga akan terjejas,” katanya. –BERNAMA

Individu lahir sebelum 1989 perlu saringan hepatitis – Bernama


Individu lahir sebelum 1989 perlu saringan hepatitis
03:39:59 AM Cetak Emel Kawan

Petaling Jaya: Kementerian Kesihatan menasihati rakyat Malaysia, khususnya yang lahir sebelum 1989, agar menjalani saringan penyakit hepatitis.

Ini berikutan, bilangan kes baru terutama Hepatitis B dan C meningkat sekali ganda tahun lalu berbanding 2010, iaitu daripada 640 kes kepada 1,250 kes bagi Hepatitis B dan 724 kepada 1,047 untuk Hepatitis C.

Berikutan itu, orang ramai diminta mengambil kesempatan menjalani saringan percuma yang ditawar 20 hospital kerajaan di seluruh negara sempena kempen Hari Hepatitis Dunia 2012.
Dianggarkan ada tiga hingga enam penghidap bagi kedua-dua jenis penyakit itu bagi setiap 100,000 penduduk dan 80 peratus daripada mereka berusia 25 hingga 55 tahun” – Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ramai yang berpendapat hepatitis sudah tidak wujud dan tidak mengambil vaksin.

“Dianggarkan ada tiga hingga enam penghidap bagi kedua-dua jenis penyakit itu bagi setiap 100,000 penduduk dan 80 peratus daripada mereka berusia 25 hingga 55 tahun,” katanya.

Liow berkata, walaupun Malaysia diisytihar Pertubuhan Kesihatan Sedunia mencapai matlamat mengawal Hepatitis B menerusi program vaksin untuk kanak-kanak yang dilancar pada 1989, mereka yang lahir sebelum itu mungkin menyumbang kepada peningkatannya sekarang.

Beliau juga bimbang penyakit itu yang lebih mudah dijangkiti berbanding HIV dan dikenal pasti antara penyumbang kepada 1.4 juta penghidap barah hati di negara ini akan menjadi satu epidemik jika tiada tindakan diambil.
“Penyakit maut ini berada di luar radar pengawasan kita buat sekian lama dan diabaikan sekalipun notifikasi jangkitan hepatitis adalah mandatori mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.

Kempen yang bermula semalam hingga Ahad di pusat beli-belah One Utama di sini itu bertemakan Its Closer Than You Think, antara lain menumpukan usaha meningkatkan kesedaran umum terhadap penyakit itu. – BERNAMA

Kementerian Kesihatan jamin susu 1 Malaysia selamat diminum – Bernama


Kementerian Kesihatan jamin susu 1 Malaysia selamat diminum

20 Mei 2012
Datuk Seri Liow Tiong Lai
Datuk Seri Liow Tiong Lai

BENTONG – Pelajar dan rakyat negara ini tidak perlu bimbang mengenai kualiti susu yang dibekalkan ke sekolah menerusi Program Susu 1Malaysia kerana minuman itu dijamin selamat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian itu sentiasa melakukan pemantauan menerusi Jabatan Keselamatan Makanan, bagi memastikan susu yang dibekalkan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, tempat penyimpanan yang tidak sesuai di sekolah mungkin menjadi punca kualiti sesetengah susu yang dibekalkan terjejas sehingga menyebabkan pelajar mengalami cirit-birit, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

“Pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran sedang bekerjasama untuk menangani masalah ini terutamanya bagi menyediakan tempat penyimpanan susu yang lebih selamat di sekolah,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Karnival
Jelajah Sihat Peringkat Kebangsaan.

Beliau mengulas kes beberapa pelajar di negeri ini mengalami cirit-birit, dipercayai selepas meminum susu di bawah Program Susu 1Malaysia.

Mengulas lanjut, Liow berkata secara keseluruhannya kes keracunan makanan murid sekolah rendah akibat susu 1Malaysia adalah kecil berbanding yang disebabkan oleh penyediaan makanan kurang bersih di kantin.

Mengenai perkara berbeza, Liow berharap pihak berkuasa tempatan memastikan kutipan sampah dibuat mengikut jadual bagi membantu menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Katanya usaha membasmi wabak denggi di seluruh negara belum mencapai kejayaan sekalipun pelbagai usaha dilakukan agensi kerajaan termasuk kementeriannya.

“Kes denggi negara kita sehingga hari ini telah mencecah 9,500 kes yang mengakibatkan 20 kematian berbanding 7,800 dalam tempoh yang sama tahun lalu yang mencatatkan 12 kematian.

“Bagi memerangi denggi tahun ini, Kementerian Kesihatan akan melancarkan kempen yang bertemakan ‘Tiada Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes, Tiada Denggi’,” katanya.-Bernama