Semua Sekolah Dapat Bekalan Air Bersih, Elektrik Tahun Depan – Muhyiddin – Bernama


Semua Sekolah Dapat Bekalan Air Bersih, Elektrik Tahun Depan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di seluruh negara akan mendapat bekalan air bersih dan elektrik yang sempurna serta mencukupi pada tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata buat masa ini sebanyak 46 projek bekalan air masih belum beroperasi kerana pelaksanaan projek bekalan elektrik belum siap sepenuhnya.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kementerian merancang untuk melaksanakan projek bekalan air bersih bagi memastikan semua sekolah di seluruh negara dibekalkan dengan air bersih,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Katanya sebanyak 570 buah projek bekalan elektrik di seluruh negara telah dilaksanakan di bawah RMK-9 dan RMK-10 membabitkan 42 projek di Semenanjung, Sabah (179) dan Sarawak (427).

Beliau berkata kementerian juga merancang untuk melaksanakan 1,605 projek penyelenggaraan di bawah program Pakej Ransangan Khas (PRK) 2012 di seluruh negara di bawah skop penyelenggaraan bangunan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM435 juta. – BERNAMA

Guru perlu lalui penilaian integriti secara berkala – Muhyiddin – Utusan


Guru perlu lalui penilaian integriti secara berkala – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 10 April – Kementerian Pelajaran mempertimbangkan kemungkinan setiap guru selepas ini perlu melalui penilaian integriti secara berkala dari semasa ke semasa bagi membolehkan sebarang penambahbaikkan dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberi bayangan itu berkata, ia perlu bagi membolehkan aspek kefahaman serta kesedaran mengenai integriti dapat disebar luas kepada warga pendidik.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, proses untuk memantapkan nilai integriti di kalangan warga pendidik termasuk penilaian secara berkala, memerlukan penglibatan serta usaha bersungguh-sungguh dari semua peringkat pengurusan pendidikan.

“Justeru strategi serta pelan tindakan secara berfokus diharap dapat dilaksanakan secara kolektif untuk memastikan tahap integriti setiap warga pendidik bukan sahaja sentiasa tinggi tetapi dapat dipertingkatkan lagi.

TPM: Gabung sekolah vernakular kurang murid – Utusan


TPM: Gabung sekolah vernakular kurang murid

PAGOH 7 April – Sekolah vernakular yang kurang murid boleh bergabung dengan mana-mana sekolah sealiran bagi mengatasi masalah tersebut tetapi keputusan itu perlu mendapat persetujuan masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut adalah untuk kepentingan pendidikan selain manfaat bagi murid dan guru di sekolah jenis itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu bukan bermakna kerajaan mahu menutup sekolah aliran tersebut tetapi memberi pilihan kepada mereka untuk kebaikan bersama.

“Untuk kepentingan pendidikan lebih baik ada persetujuan (gabung sekolah), ini kena cakap baik (terang), nanti ada kata kerajaan nak tutup sekolah (vernakular).

“Kalau ada persetujuan, bolehlah berpindah ke sekolah lain, jadi boleh bersatu, itu kita boleh setujukan tetapi terserah kepada PIBG dan masyarakat di kawasan berkenaan,” katanya.

Kes serangan terhadap Wee Ka Siong disiasat – Utusan


Kes serangan terhadap Wee Ka Siong disiasat

KUALA LUMPUR 29 Mac – Polis sudah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong yang mendakwa ditumbuk seorang lelaki dalam perhimpunan pendidikan Cina di Kajang pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, setakat ini, polis menerima empat laporan berhubung kejadian tersebut iaitu tiga dibuat oleh Pemuda MCA di Pahang dan satu oleh seorang pemuda yang menafikan dia menumbuk Timbalan Menteri itu di Kajang dekat sini.

“Walaupun ada empat laporan polis diterima tetapi kita hanya membuka satu kertas siasatan kerana ia melibatkan kes yang sama.

“Kita akan jalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada benar wujud unsur serangan atau hanya tohmahan,” katanya di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, Ka Siong hadir pada siri bantahan berkaitan isu kekurangan guru di sekolah Cina yang disertai ratusan aktivis masyarakat, penyokong dan pimpinan pembangkang di Kolej New Era Kajang.

Pendidikan negara perlu kajian semula – Utusan


Pendidikan negara perlu kajian semula

BARAM, Miri 25 Feb. – Sistem pendidikan negara perlu dikaji semula dalam usaha meningkatkan kualiti bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu berdaya saing di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk tujuan itu, Kementerian Pelajaran akan menyediakan satu laporan lengkap yang dijangka siap akhir tahun ini berhubung inisiatif yang perlu bagi mewujudkan sistem pendidikan berkualiti tinggi.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerusi laporan berkenaan, kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkaitan di samping mengadakan beberapa sesi dialog pendidikan bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara itu.

‘‘Saya belum berpuas hati dengan tahap pencapaian dalam sistem pendidikan kita kerana masih banyak perkara yang boleh dilakukan dan satu daripadanya ialah kita perlu mempunyai sejumlah warga pendidik yang mahir dan terlatih.

‘‘Di negara kita, menerusi beberapa ujian tertentu yang dilaksanakan, kompetensi guru jika dilihat dari segi penanda aras antarabangsa, masih ada perbezaan ketara berbanding negara-negara lain,” katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar, Pekan Lapok, daerah kecil Bakong dekat sini petang ini.

Guru tidak akan naik pangkat secara automatik: Muhyiddin – Bernama


Guru tidak akan naik pangkat secara automatik: Muhyiddin

2012/02/18

BALIK PULAU: Kenaikan pangkat guru tidak akan berlaku secara automatik sebaliknya mereka harus melalui pelbagai proses termasuk temu duga, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kaedah kenaikan pangkat guru terbabit akan diputuskan selepas perbincangan antara Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan kerajaan selesai kelak.

“Berkaitan soal kebajikan guru kita sudah ambil kira. Tetapi apapun, keputusan muktamad belum tercapai kerana urusan ini sudah kita bawakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam disamping perbincangan di peringkat wakil kesatuan dan CUEPACS, katanya pada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri rakyat 1Malaysia di Kampung Permatang Tepi, Simpang Empat, di sini, hari ini.

Katanya, isu kenaikan pangkat itu bagaimanapun dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang memetik seramai 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan pada April ini. – BERNAMA

Empat belas sekolah lagi terima pengiktirafan SBT – Bernama


Empat belas sekolah lagi terima pengiktirafan SBT

03/02/2012 12:51pm

PUTRAJAYA 3 Feb. – Lima sekolah dari Johor, tiga dari Kedah, dua dari Terengganu, dua dari Pulau Pinang, serta masing-masing satu dari Pahang dan Negeri Sembilan, berada dalam kohort ketiga yang mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) hari ini, menjadikan jumlahnya kini 66 sekolah.

Semua pengetua dan guru besar 14 sekolah berkenaan tampil menerima watikah pengiktirafan dan peruntukan dana khas di Auditorium Parcel E di sini, yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata SBT bukan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan sekolah semata-mata, tapi yang lebih penting ialah memastikan kecemerlangan itu dapat memberi impak positif kepada pencapaian pelajar.

“Menerusi usaha-usaha terkini kerajaan, saya jangka selepas fasa penilaian semula, dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang akan dipikul warga SBT akan menjadi lebih mencabar lagi,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, SBT dilaksanakan dalam usaha mengangkat kualiti sekolah yang terbaik dengan cara meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan menerusi peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, di samping membenarkan ia melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing. – BERNAMA

Sistem pendidikan: Akan ambil kira pandangan masyarakat – Bernama


Sistem pendidikan: Akan ambil kira pandangan masyarakat

02/02/2012 5:02pm

 

KOTA BHARU 2 Feb. – Kajian bagi penambahbaikan sistem pendidikan negara akan turut mengambil kira pandangan masyarakat dan badan yang ada kepentingan dengan pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, maklumat balas seperti itu penting supaya Kementerian Pelajaran mengetahui langkah yang akan diambil menepati sasaran penambahbaikan itu atau terdapat perkara lain yang perlu diambil kira.

“Ini perkara biasa yang dilakukan kerajaan apabila kita hendak membuat kajian yang menyeluruh dan besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Peringat dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kajian itu dijangka siap dalam tahun ini.

Mengenai isu pelajar kurang berminat dalam bidang sains, beliau berkata kementerian akan meneliti perkara itu supaya beberapa langkah dapat diambil bagi meningkatkan minat mereka. – BERNAMA

Kerjasama kaji kurikulum, nilai rangka pengajaran bahasa Inggeris – Metro


Kerjasama kaji kurikulum, nilai rangka pengajaran bahasa Inggeris

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan Badan Amanah Pendidikan dan Pembangunan Cambridge Malaysia (CMEDT) untuk mengkaji kurikulum dan menilai rangka kerja pengajaran bahasa Inggeris di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara prinsipnya beliau bersetuju kajian itu dilaksanakan selaras usaha meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah di negara ini.
Menurutnya, tujuan utama adalah bagi meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar khususnya kemahiran lisan dan penulisan mereka. “Ia selaras usaha mewujudkan standard yang diperlukan bagi penguasaan bahasa dalam konteks Malaysia termasuk kecekapan guru dan pertimbangan demografi, dengan menggunakan kepakaran dan sumber CMEDT.

 

“Sehubungan itu satu kumpulan kerja ditubuhkan yang terdiri daripada wakil kementerian, CMEDT dan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk meneliti kerjasama yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Eksekutif Pusat Kajian Komanwel Malaysia, Cambridge (MCSC), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Pengarah MCSC, Dr Anil Seal dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Wan Mohd Noordin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerjasama itu juga selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

 

 

Namun katanya, bentuk kerjasama itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kerjasama CMEDT tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar – Utusan


Kerjasama CMEDT tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar

PUTRAJAYA 19 Jan. – Kementerian Pelajaran akan bekerjasama dengan Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT) untuk meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris (BI) di kalangan para pelajar terutamanya dari segi kemahiran bercakap dan menulis.

‘‘Bentuk kerjasama akan diumumkan tidak lama lagi,’’ kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan wakil CMEDT di sini, hari ini.

Menurutnya, CMEDT akan mengkaji kurikulum dan rangka kerja penilaian pengajaran BI sejajar dengan usaha kementerian untuk meningkatkan kepentingan bahasa itu.