Ibu bapa jangan salahkan kerajaan – Utusan


Ibu bapa jangan salahkan kerajaan

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Jan. – Ibu bapa yang terlibat membawa kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah menyertai himpunan pembangkang Sabtu lalu tidak boleh menyalahkan kerajaan sekiranya mereka dikenakan tindakan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon berkata, ini kerana amaran telah dikeluarkan berhubung kesalahan mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Pihaknya, kata beliau, akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang mengingkari arahan tersebut.

“Kalau kita tengok anak dibawa dalam kereta sorong, umur tidak sampai setahun pun mereka bawa.

“Lagi satu anak- anak itu juga dipakaikan lilit kepala dan dipakaikan baju dengan lambang-lambang tertentu seperti menggunakan anak-anak sebagai alat untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130115/je_04/Ibu-bapa-jangan-salahkan-kerajaan#ixzz2HzdkJUnU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Himpun: Bertegas ke atas peserta bawa kanak-kanak – Utusan


Himpun: Bertegas ke atas peserta bawa kanak-kanak

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas ke atas peserta yang melanggar syarat pihak polis dengan membawa kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah menyertai Himpunan Shamsidar di Stadium Merdeka semalam.

Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Tan Sri Zaleha Ismail berkata, langkah itu akan memberi mesej kepada para ibu bapa sekali gus menjadi pencegahan yang berkesan untuk mengelakkan perkara itu berulang.

“Ini bukan perkara yang mudah dan boleh dipermainkan, adakah ibu bapa tidak sedar bahaya apabila terjadi pertelagahan semasa perhimpunan itu. Kita harus bertanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada perkara yang boleh membahayakan nyawa mereka,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pula berkata, sudah tiba masa bagi kerajaan mengetatkan lagi undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan memperuntukkan hukuman lebih keras ke atas peserta demonstrasi yang membawa kanak-kanak.

Katanya, tindakan tegas itu perlu diambil terhadap peserta himpunan pembangkang di ibu negara semalam yang jelas menyalahgunakan kebebasan diberikan kerajaan apabila membawa anak-anak menyertainya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu menunggu hasil laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil terhadap para peserta himpunan itu yang ingkar dengan membawa kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah.

Menurut beliau, meskipun tiada perkara buruk berlaku semalam tetapi keingkaran ibu bapa mengheret anak-anak mereka ke perhimpunan itu adalah satu perkara serius. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130113/dn_18/Himpun-Bertegas-ke-atas-peserta-bawa-kanak-kanak#ixzz2HqlDl23c
© Utusan Melayu (M) Bhd

Beri hadiah makanan, tonton wayang percuma – Kosmo


Beri hadiah makanan, tonton wayang percuma


ROSMAH sambil diiringi Saie Kie (kanan) bersalaman dengan kanak-kanak yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di Putrajaya semalam.

 

PUTRAJAYA – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan agar kanak-kanak diberi makan dan menonton wayang secara percuma sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia setiap tahun.

Beliau berkata, restoran dan panggung wayang wajar menjalankan tanggungjawab sosial untuk meraikan kanak-kanak yang bakal menjadi pewaris negara.

“Dahulu, apabila kami menyambut Hari Kanak-kanak, kami bukan sahaja berkumpul di stadium, kami juga boleh masuk ke mana-mana restoran atau panggung wayang secara percuma. Saya pun berasa hairan macam mana amalan ini dihentikan sekarang.

“Jadi, saya berharap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh kementerian berkenaan untuk berbincang dengan pengusaha restoran dan panggung wayang agar kanak-kanak boleh menonton wayang dan makan secara percuma pada Hari Kanak-Kanak,” katanya pada majlis perasmian sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di sini semalam.

Tema sambutan tahun ini adalah Karisma Kanak-Kanak: Serlahkan Potensimu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

Dua kes eksploitasi kanak-kanak dilaporkan – Berita Harian


Dua kes eksploitasi kanak-kanak dilaporkan

2012/03/29

KUALA LUMPUR: Sebanyak dua kes mengeksploitasi kanak-kanak untuk tujuan mengutip derma yang membabitkan empat kanak-kanak dilaporkan hasil usahasama yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kei, berkata usaha itu dijalankan untuk mencegah kegiatan terbabit.

Kanak-kanak didera ibu tiri nyaris bunuh diri – Bernama


Kanak-kanak didera ibu tiri nyaris bunuh diri

29 Februari 2012

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun nyaris mengambil keputusan membunuh diri kerana disyaki tidak tahan dengan penderaan ibu tirinya di Jinjang Utara di sini.

Mangsa ditemui dengan kesan lebam di bahagian pipi dan lengan kiri dipercayai didera oleh ibu tiri dengan kayu pada 20 Februari lalu hanya kerana mangsa telah membawa sijil kelahiran ke sekolah untuk menyertai pasukan bola keranjang tanpa memaklumkan kepadanya.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dilakukan oleh pak cik mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 21 Februari lepas apabila mendapati masalah tersebut semakin serius.

“Dia berasa amat takut dan tidak dapat menumpukan perhatian ke atas pelajarannya sekarang dan mengadu ingin bunuh diri,” kata pak cik mangsa, 31, ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya kanak-kanak tersebut kini ditempatkan di rumah neneknya di Rumah Panjang Jinjang Utara kerana tidak gembira tinggal bersama dengan ibu tiri dan bapa kandung yang merupakan seorang penagih dadah.

“Saya juga difahamkan bahawa pihak polis telah memberkas ibu tiri mangsa dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kei yang melawat mangsa penderaan itu hari ini berkata kementeriannya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) akan menempatkan mangsa di rumah neneknya selama sebulan bagi tujuan siasatan kes.

“Kita akan berunding dengan bapa mangsa dengan harapan kedua-dua pihak akan mencapai kata sepakat tetapi jika ia tidak berjaya, kes ini akan dibawa ke mahkamah bagi menempatkan mangsa terus di bawah jagaan nenek sehingga dia berumur 18 tahun,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai untuk menghubungi Talian Nur 15999 sekiranya mendapat sebarang maklumat kes penderaan berlaku di kawasan perumahan mereka. – Bernama