Jabatan Pelajaran Melaka siasat kes pelajar dipanggil ‘pelacur’ – Bernama


Jabatan Pelajaran Melaka siasat kes pelajar dipanggil ‘pelacur’

2013/07/16 – 13:06:44 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Jabatan Pelajaran Melaka diarah supaya menyiasat punca seorang pelajar sekolah rendah dipanggil ‘pelacur’ oleh guru disiplinnya.

Insiden itu agak tidak wajar, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Pelajar berumur 12 tahun dari Batu Berendam itu membuat laporan polis semalam dengan mendakwa guru disiplinnya memanggilnya ‘pelacur’ selepas tersilap menuduhnya sebagai sebahagian daripada kumpulan yang membuat bising dan menimbulkan masalah kepada seorang guru lain.

Laporan itu ibu pelajar perempuan itu turut diminta oleh guru disiplin terbabit supaya memindahkan anaknya ke sekolah lain.

– BERNAMA

Aktiviti kokurikulum perlu ditekankan selain syarat minimum kelulusan – KGMMB – Bernama


Aktiviti kokurikulum perlu ditekankan selain syarat minimum kelulusan – KGMMB

 

11/07/2013 2:10pm

 

KUALA LUMPUR – Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan kepada mereka yang ingin menceburi profesion perguruan bagi meningkatkan taraf profesion itu yang semakin mencabar selain syarat baharu kelulusan akademik bermula tahun ini.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, sehubungan itu, Kementerian Pendidikan perlu memberi perhatian kepada kegiatan kokurikulum selain kecemerlangan akademik.

“Kita tidak mahu melihat dari segi intelek sahaja, kokurikulum juga satu aspek yang perlu diberi penekanan, guru-guru ini juga sekiranya mereka ditempatkan opsyen Matematik, maka Matematiknya juga mesti A di dalam SPM,” katanya di sini.

Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai kerjaya itu.

Bagaimanapun, kelonggaran minimum 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini, syarat asas ialah mendapat cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dipohon.

Mohamed Sabri berkata, kementerian juga perlu menawarkan gaji yang lebih tinggi dan kemudahan lain seperti perumahan kepada guru yang berkelulusan cemerlang. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2YjIM5xpL
Hakcipta terpelihara

Beri keutamaan guru lama bertukar – KGMMB – Bernama


Beri keutamaan guru lama bertukar – KGMMB

 

KUALA LUMPUR 10 Julai – Penubuhan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk menangani masalah pertukaran guru diharap dapat memberi keutamaan kepada guru-guru yang lama berkhidmat selain memberi keadilan sama rata.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, permohonan pertukaran guru akan menjadi sukar sekiranya Kementerian Pendidikan mengisi penempatan bagi guru-guru yang baru sahaja menamatkan pengajian sebelum penempatan itu diisi oleh guru yang memohon pertukaran.

“Sekiranya kementerian mengisi dulu guru-guru yang baru keluar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) ataupun universiti, ia akan jadi masalah kerana guru-guru yang hendak ditukarkan tidak dapat masuk.

“Jadi saya sarankan guru-guru baharu ini hendaklah ditempatkan selepas pertukaran dibuat kepada guru-guru yang sudah lama memohon,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik memandangkan permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongan hanya setakat 2,000 hinga 3,000 tempat.

Mohamed Sabri berkata, jawatankuasa itu juga harus berfungsi dengan memberi keadilan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dalam agensi keselamatan seperti polis atau tentera tetapi juga dalam kalangan guru sesama guru yang turut sukar mendapatkan pertukaran.

“Ada guru yang ingin mengikut suami, tetapi mereka yang berkahwin dengan pegawai penting seperti polis dan tentera berpeluang untuk mengikut suami masing-masing kerana mereka perlu keluar dari kuaters, tetapi masalahnya di mana mereka akan ditempatkan,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar jawatankuasa itu turut dianggotai oleh persatuan dan kesatuan guru kerana mereka ini lebih memahami masalah yang dihadapi golongan guru.

Beliau berkata, masalah pertukaran guru semakin kritikal dan dilihat sukar menemui jalan penyelesaian kerana kekosongan yang terhad di kebanyakan sekolah di negeri-negeri.

“Kami dapati banyak sekolah sudah penuh gurunya, kalau kita tinjau masalah di Semenanjung, permohonan pertukaran kritikal dan sukar diluluskan, tetapi di Sabah dan Sarawak mungkin ada ruang khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula yang mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu berkata, diharapkan mekanisme yang akan digunakan oleh jawatankuasa itu dapat menarik nafas lega golongan guru yang sekian lama memohon untuk ditukarkan tetapi sehingga kini belum diluluskan.

“Kami mahu guru rasa selesa, gembira dalam kehidupan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik, terpulang kepada jawatankuasa untuk tentukan mekanisme yang akan diguna pakai,” katanya.

Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, isu pertukaran merupakan suatu yang rumit kerana ia berdasarkan kepada dua keperluan iaitu keperluan sekolah untuk mendapatkan guru dan keperluan dari segi kekeluargaan. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130710/dn_43/Beri-keutamaan-guru-lama-bertukar—KGMMB#ixzz2YeMHgx5e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isu pertukaran guru: Diselesai cara baik – Menteri – Bernama


Isu pertukaran guru: Diselesai cara baik – Menteri

 

IDRIS Jusoh bersama atlet-atlet Kejohanan Sukan Institut Pendidikan Malaysia Ke-5 2013 pada majlis pra pelancaran SIPMA 2013 itu di Putrajaya hari ini. – BERNAMA

PUTRAJAYA 8 Julai – Kementerian Pendidikan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelesaikan isu permohonan pertukaran guru sekolah, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik.

“Kementerian telah mengadakan satu jawatankuasa untuk menyiasat, menambah baik dan memastikan perkara ini diselesaikan dengan baik. Kita cuba cari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-5, 2013 di sini hari ini.

Menurutnya, masalah itu berlarutan kerana permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongannya hanya setakat 2,000 hingga 3,000 tempat sahaja.

Menyentuh, keselamatan pelajar Malaysia di Mesir, beliau berkata, mereka dalam keadaan selamat dan setakat ini masih belum ada keperluan membawa mereka pulang ke tanah air.

“Kerajaan belum buat keputusan sama ada mereka perlu balik atau tidak,” katanya.

“Kita masih mendapat berita mengatakan keadaan tidak begitu tegang sangat.

“Kalau pelajar-pelajar kita tak keluar, duduk dalam keadaan selamat, mereka masih selamat,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130708/dn_58/Isu-pertukaran-guru-Diselesai-cara-baik—Menteri#ixzz2YSP4KI70
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kementerian rancang hapus jaminan jawatan guru pelatih – Bernama


Kementerian rancang hapus jaminan jawatan guru pelatih

PUTRAJAYA 27 Mei – Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan, yang selama ini diberi secara automatik kepada guru pelatih dari institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu yang mungkin dilaksana secara berperingkat, bertujuan memastikan hanya pelatih berkualiti ditawar jawatan sebagai guru di sekolah.

“Amalan pada masa ini, guru pelatih IPG dan IPTA dijamin sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka tetapi kali ini kita nak guru jadi profesion yang mulia.

“Jadi kita perlu pilih yang terbaik, mempunyai keperibadian mulia, baru boleh melahirkan masyarakat hebat pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran kali ketiga, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, langkah itu juga bagi memastikan hanya benar-benar berminat dengan kerjaya guru dilantik, bukan mereka yang berbuat demikian kerana tiada pilihan lain.

“Di Finland misalnya hanya hanya calon terbaik sahaja akan dipilih menjadi guru kerana itu taraf pendidikan di negara itu tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, kata Idris, rancangan itu masih pada peringkat perbincangan dan memerlukan penelitian mendalam sebelum boleh dilaksana.

Pada konvokesyen tiga hari bermula hari ini, sebanyak 3,988 graduan menerima ijazah masing-masing. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130527/dn_35/Kementerian-rancang-hapus-jaminan-jawatan-guru-pelatih#ixzz2UUrlBeCL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hubungan ICT-pendidikan kekal saing – Muhyiddin – Bernama


Hubungan ICT-pendidikan kekal saing – Muhyiddin

 

KUALA LUMPUR 27 Mei – Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan rakyat mengenai pertikaian hubungan antara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pendidikan.

Beliau berkata, ICT memang membawa perubahan walaupun penyelidikan lebih 30 tahun masih belum membuat kesimpulan bahawa bidang teknologi itu telah memberi kesan kepada pendidikan.

“Sebaliknya, ia amat korelasi dan ini turut diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Pada 2011, penerbitan badan dunia itu menyatakan bahawa hubungan antara ICT dan pembelajaran pelajar adalah lebih rumit daripada yang berasaskan kepada ketersediaan semata-mata atau pengunaan. Apa yang penting ialah bagaimana ICT digunakan dan apa yang diuji,” katanya.

Walaupun begitu, Malaysia tidak mampu mengambil risiko dengan masa depan negara, katanya pada perasmian Persidangan dan Pameran “The Digital Education Show Asia 2013” di sini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kian Ching.

Dalam ucapannya, Muhyiddin juga menyatakan nilai dan bahaya ‘pengasuh digital’ di mana ibu bapa memberi peranti ‘tablet’ untuk anak-anak mereka seawal usia empat tahun daripada meluahkan masa bersama anak-anak mereka.

“Dalam trend semasa, kanak-kanak seawal usia empat tahun mempunyai iPads dan peranti ‘tablet’ yang lain yang diberikan oleh ibu bapa sebagai alat pembelajaran. Ini memang di luar jangkaan…mereka menggunakan alat-alat ini tanpa perlu belajar daripada ibu bapa mereka.

“Bagaimanapun, saya berpendapat trend ini mempunyai kedua-dua nilai dan bahaya. Walaupun pembelajaran boleh berlaku dengan pengunaan alat-alat ini tetapi lebih sering ibu bapa menggunakan peranti ini bagi mengalih perhatian daripada meluahkan masa bersama anak-anak mereka,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata banyak laporan menyatakan bahawa kanak-kanak bermain permainan dan berinteraksi dalam talian tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kanak-kanak ini menjadi ketagih kepada peranti seperti itu.

Beliau berkata, jurang antara pembelajaran dan penerimaan adalah paradoks.

“Kita ingin melihat kanak-kanak belajar dengan peranti ini tetapi pada masa sama, kita mahu mereka mengambil kandungan dan aplikasi secara bertanggungjawab dan beretika.

“Oleh itu, saya percaya celik digital adalah penting kerana ia memastikan soal tanggungjawab dan etika sebagai sebahagian daripada warga siber di Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau sedar bahawa ICT dan teknologi berubah pada kadar yang lebih pantas daripada perubahan di peringkat sekolah.

“Oleh itu pendidikan perlu fleksibel dalam menggabungkan ICT di sekolah.

Saya juga khuatir bahawa kadar perubahan teknologi mungkin menyebabkan guru-guru sentiasa menjadi pendatang baru dalam bidang teknologi,” katanya.

Bahaya lain seperti cabaran sosial dan etika perlu ditangani, katanya.

“Pelaksanaan jelas dan berstruktur perlu bagi menampung perubahan ini serta menyokong kemasukkan sifat penyertaan teknologi dan masyarakat,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130527/dn_42/Hubungan-ICT-pendidikan-kekal-saing—Muhyiddin#ixzz2UUrB9zfh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kementerian Pelajaran kini dikenali Kementerian Pendidikan: Muhyiddin – Bernama


Kementerian Pelajaran kini dikenali Kementerian Pendidikan: Muhyiddin

2013/05/24 – 12:31:55 PMCetakEmel Kawan
PHUKET: Kementerian Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Beliau, yang juga Menteri Pendidikan berkata, perubahan nama kementerian itu diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lalu selepas pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.

“Pakar bahasa berpendapat istilah pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya juga beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baharu, malah nama kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya kepada wartawan Malaysia, di sini.

Beliau berkata proses penggabungan dua kementerian – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi – yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan bermula sejurus kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi kesukaran kerana kedua-duanya mencakupi proses pembelajaran dan pengajaran yang berasal daripada satu kementerian sebelum dipisahkan.

Muhyiddin berkata, penggabungan itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri kecuali aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah satu kementerian dengan mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.

“Saya telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana minggu depan akan ada perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan ‘Ministry of Education’.

Beliau berkata, walaupun digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku perubahan terhadap dasar yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan itu menghasilkan penjimatan dari segi guna tenaga dan kepakaran kakitangan.
Muhyiddin berkata, sebagai contoh, koordinasi dua kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana kepakaran tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar di Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya akan membabitkan perubahan kepada dasar tertentu.

Muhyiddin berkata, proses pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan berikutan jumlah pelajar yang tidak begitu ramai.

“Itu sebenarnya bukan baru tetapi setelah ada pihak yang mencadangkan sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana kita nak melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu orang bukan Melayu melihat Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.

“Persoalan besar yang mencabar kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita perlu sediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah… jadi sebelum kita nak buat keputusan yang membabitkan dasar kita perlu kaji dengan sebaik-baiknya,” katanya. – BERNAMA