Berita gembira 28 September – Utusan


Berita gembira 28 September

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

RASAH 13 Sept. – Seramai 10,000 graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan lepasan Institut Perguruan (IPG) yang kini menganggur dijangka menerima berita gembira mengenai kedudukan mereka daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman mengenai nasib graduan itu pada pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September ini.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 3,000 orang lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan 7,000 orang lulusan IPG yang kini menganggur kerana tidak mendapat tawaran untuk menjadi guru.

“Kita berhadapan dengan masalah 10,000 graduan pendidikan yang tidak mendapat tawaran bekerja daripada Kementerian Pelajaran.

“Kerajaan telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian.

“Apa jalan penyelesaian itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan belanjawan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Politeknik Nilai (PNS) di sini hari ini.

Menurutnya, semua para graduan berkenaan diharap bersabar dan menunggu pengumuman yang akan menentukan masa depan mereka.

Ditanya sama ada mereka yang terlibat akan menerima berita gembira, Khaled berkata: “Mudah-mudahan”.

PNS yang dirasmikan oleh Mohamed Khaled hari ini adalah institusi pendidikan pertama beroperasi di Kompleks Pendidikan Bandar Enstek dekat sini.

Ia didirikan di kawasan 40 hektar melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM248 juta yang mampu menampung sehingga 2,400 pelajar dalam tujuh program pengajian yang ditawarkan.

Nasib 10,200 graduan pendidikan diketahui 28 September ini – Bernama


Nasib 10,200 graduan pendidikan diketahui 28 September ini

13/09/2012 – 17:57:02 PMCetakEmel Kawan
NILAI: Nasib 10,200 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sehingga kini masih belum ditawarkan pekerjaan sebagai guru akan diketahui pada pembentangan Belanjawan 2013, 28 September ini.

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua graduan terbabit diharap dapat bersabar kerana kedudukan mereka sebagai guru akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada hari itu.

“Ada timbul isu masalah pengangguran bagi graduan pendidikan kerana selepas menamatkan pelajaran dan memperoleh ijazah, mereka tidak ditawarkan pekerjaan di Kementerian Pelajaran.

“Bagaimanapun, kita sudah dimaklumkan masalah ini dan jalan penyelesaian sudah diambil namun ia hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Belanjawan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Politeknik Nilai di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik untuk graduan berkenaan, Mohamed Khaled berkata beliau sendiri tidak mengetahuinya, namun berharap ia adalah khabar gembira kepada graduan terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kementeriannya kini dalam usaha untuk memantapkan mutu program pengajian di politeknik iaitu dengan menawarkan lebih banyak program pengajian peringkat ijazah.

Katanya, pada tahun ini, politeknik menawarkan lebih 10 program pengajian peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan dan menerima 12,000 permohonan daripada pelajar.
“Program pengajian ijazah ini dilaksanakan sama ada secara berkembar dengan institusi lain, secara anugerah bersama dengan institusi lain yang setara atau program pengajian yang dibangun dan dilaksana sendiri oleh politeknik.

“Apabila jumlah program peringkat ijazah sudah banyak, berkemungkinan kita akan mempertimbang mana-mana Politeknik untuk diangkat menjadi Kolej Universiti atau Universiti,” katanya.

– BERNAMA

Pelengkap pendidikan – Metro


Pelengkap pendidikan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengiktiraf Program Permata Pintar sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan negara yang ketika ini banyak memberi tumpuan terhadap keperluan pelajar sederhana dan sederhana tinggi.

Katanya, pendekatan program itu yang menyedia kurikulum khas untuk pelajar pintar dan memiliki kelebihan kecerdasan akal tinggi, membolehkan mereka dididik dengan sukatan pelajaran sesuai.
Beliau berkata, ia sekali gus mengelak aliran keluar bakat pintar berkenaan ke luar negara, malah mereka boleh terus mendapat pendidikan sempurna di Malaysia menerusi Permata Pintar.

 

“Sistem pendidikan kita tak ada kurikulum mengambil kira mereka yang mempunyai IQ luar biasa dan jika kita tak dapat menyedia sistem mengikut keperluan kelompok ini, maka potensi mereka takkan dapat dioptimumkan.
“Di peringkat mereka sendiri mungkin akan cepat berasa bosan (dengan pengajaran yang tidak sesuai) atau dihantar ke luar negara kerana tentulah ibu bapa pelajar ini mahu anak mereka berjaya setanding akal luar biasa yang dimiliki.
“Atas sebab itu, kita akan hilang bakat pintar dan negara mengalami kerugian. Tetapi dengan Permata Pintar, mereka yang ada skil luar biasa ini dapat dicanai dan kelebihan diperkasa supaya mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya.

 

 

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Sekolah Permata Pintar, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Hadir sama, isteri beliau yang juga Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Turut serta Naib Presiden Yayasan Albukhary, Datuk Seri Ismail Yusof dan Pengarah Pusat Permata Pintar, Prof Dr Noriah Mohd Ishak.

Sekolah Antarabangsa Excelsior bernilai RM60j – Bernama


Sekolah Antarabangsa Excelsior bernilai RM60j

19/03/2012 2:57pm

 

JOHOR BAHRU 19 Mac – Sebuah sekolah antarabangsa akan dibina di kawasan Seri Alam di sini yang melibatkan kos berjumlah RM60 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun depan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Sekolah Antarabangsa Excelsior itu akan dibangunkan di kawasan seluas lapan hektar dan akan memberikan alternatif kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka bersekolah di Singapura ketika ini.

“Sekolah ini akan dibina dengan kerjasama Seri Alam Properties Sdn. Bhd., dan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura, Raffles Campus Pte Ltd.

“Ia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama, bilik darjah berhawa dingin, kolam renang dan gelanggang tenis,” katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah sekolah tersebut di sini hari ini.

Beliau menambah, sekolah tersebut nanti mampu menempatkan lebih 2,500 pelajar pada satu-satu masa dan akan diuruskan sepenuhnya oleh Raffles Campus dengan penyediaan silibus pembelajaran serta aktiviti kokurikulum mengikut piawaian antarabangsa untuk murid berusia tiga tahun hingga 18 tahun.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, selain jarak yang dekat, yuran yang bakal dikenakan kepada para pelajar juga adalah 15 peratus lebih rendah berbanding di Singapura. – BERNAMA

Pembatalan SBPA disambut baik – Sinar Harian


Pembatalan SBPA disambut baik

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2012

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan membatalkan perlaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) membuktikan pemimpin negara, khususnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengiktiraf suara rakyat.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pembatalan SBPA bukan sahaja dinantikan, malah perlu memandangkan agensi kerajaan tidak memahami peranan dan kehendak masyarakat umum serta gagal mencari kata putus dengan wakilnya iaitu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

“Apabila SBPA dibatalkan, ini menunjukkan PM mengotakan janjinya melalui slogan rakyat didahulukan. Beliau mahu SSM dikembalikan kepada kakitangan awam dengan beberapa penambahbaikan.

“Apa yang saya lihat, agensi kerajaan perlu memahami kehendak kakitangannya dan turut mengiktiraf suara Cuepacs. Saya harap, pada masa depan, kita semua belajar cara PM kendalikan urusan ini,” katanya.

Menurutnya, dalam sistem negara moden, tiga perkara yang perlu diberi keutamaan untuk memastikan pembangunan negara berjaya dilaksanakan iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat.

Mengulas mengenai konsep itu, beliau berkata, agensi kerajaan perlu mengiktiraf sektor lain dan setiap perundingan dengan mereka (Cuepacs) perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan tidak hanya ‘melepas batuk di tangga’.

Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Kedah, Mohd Fadzil Md Isa berkata, keputusan kerajaan membatalkan SBPA disifatkan sebagai satu langkah yang memberi faedah kepada semua penjawat awam di negara ini.
Mohd Fadzil mengalu-alukan keputusan itu namun berharap agar penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) turut merangkumi aspek kebajikan.

“Secara keseluruhannya, kami gembira dan bersetuju dengan keputusan membatalkan SPBA. Bagaimanapun kebajikan guru dan kakitangan awam secara keseluruhannya perlu dititikberatkan jika ingin melakukan penambahbaikan dalam SSM,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Setiausaha Kehormat NUTP Kedah, Wang Heng Suan pula berkata, Kerajaan Pusat juga diminta mengkaji semula tangga gaji kumpulan yang berada pada tahap maksimum.

“Untuk golongan pendidik, mungkin ada pertukaran kepada gred baru tetapi bagi kakitangan kerajaan yang lain, tangga gaji mereka kekal kerana sudah mencapai tahap maksimum. Mungkin kajian menambahkan tangga gaji boleh dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara-pesara Kerajaan Malaysia negeri Kedah, Datuk Harun Hashim berkata, pihaknya sentiasa menyokong perubahan yang dilakukan asalkan ia membawa manfaat kepada semua kakitangan kerajaan.

“Namun, jika perkhidmatan kakitangan kerajaan masih belum mencapai tahap ditetapkan, perlu ada pengawasan yang baik daripada pihak atasan. Insentif perlu diberikan mengikut keadaan semasa (akibat kenaikan harga barang), namun dalam masa sama penjawat awam perlu memberikan khidmat terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail berkata, golongan peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan di sebalik pengumuman kenaikan gaji kakitangan kerajaan.
Menurutnya, kenaikan harga barang seakan-akan sudah sinonim dengan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.

“Saya berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang, malah pengguna juga disaran agar bijak membuat keputusan dalam urusan jual beli,” katanya.

Calon SPM, STPM perlu aktif kokurikulum untuk masuk universiti – Bernama


Calon SPM, STPM perlu aktif kokurikulum untuk masuk universiti 

2012/02/05

TEMERLOH: Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diingatkan supaya aktif dalam kegiatan kokurikulum sebagai syarat tambahan bagi melanjutkan pelajaran ke universiti di negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ini kerana terdapat di mana pelajar tidak dapat menyambung pelajaran dalam kursus yang dipohon berikutan tidak mengambil bidang kokurikulum ketika persekolahan.

Katanya, untuk memasuki universiti bukan sesuatu yang sukar, sebaliknya seseorang pelajar memerlukan dua persediaan awal iaitu kelulusan akademik yang cemerlang dan 10 peratus pencapaian dalam kokurikulum. – BERNAMA

UPSI akan tubuh sekolah makmal pertama di Malaysia – Bernama


UPSI akan tubuh sekolah makmal pertama di Malaysia

02/02/2012 7:44pm

 

TANJUNG MALIM 2 Feb. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini akan menubuhkan sebuah sekolah makmal pertama di Malaysia yang meliputi prasekolah sehingga sekolah menengah secara berperingkat-peringkat bermula pada awal tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, penubuhan sekolah makmal itu berharga RM41 juta mampu memberikan pendedahan dan latihan yang secukupnya kepada penuntut dan siswazah UPSI.

Operasi, kokurikulum dan pengurusan sekolah dalam universiti ini dijalankan sepenuhnya oleh UPSI, katanya kepada pemberita selepas melawat UPSI hari ini.

Beliau berkata, sekolah makmal tersebut diwujudkan yang melambangkan status dan peranan UPSI sendiri sebagai sebuah universiti pendidikan yang tersohor di negara ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, sekolah makmal bagi peringkat prasekolah telah dimulakan pada awal tahun ini, tetapi menumpang di sebuah bangunan di UPSI.

“Setakat ini kami mempunyai 70 orang kanak-kanak tadika di sekolah kami dan tahun depan kita akan mulakan peringkat seterusnya satu persatu iaitu peringkat sekolah rendah apabila mereka mula naik ke tahun satu,” katanya. – BERNAMA

Pendidikan vokasional perlu perubahan besar – TPM – Bernama


Pendidikan vokasional perlu perubahan besar – TPM

06/01/2012 3:02pm

 

BANGI 6 Jan. — Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan kebimbangan Malaysia tidak akan menjadi negara kompetitif dan terus ketinggalan sekiranya pendidikan vokasional tidak mengalami perubahan besar dan segera.

Mengambil kira perkembangan yang berlaku di negara maju dan serantau, Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan negara perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.

“Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya ketika melancarkan Transformasi Pendidikan Vokasional, di Institut Jerman-Malaysia Bangi, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.

Menurut beliau, kerajaan telah mengambil langkah proaktif sejak tahun 2009 dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan serantau.

Tambah beliau, kadar purata kemasukan pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.

“Jika melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara itu.

“Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria hampir 50 hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional di peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4-5 tahun) dan program perantisan,” katanya.

Justeru, Muhyiddin berkata, pendidikan vokasional di negara ini juga sedang menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). — BERNAMA