Permintaan terakhir remaja lemas: ‘Saya mahu mandi lagi’ – Sinar Harian


Permintaan terakhir remaja lemas: ‘Saya mahu mandi lagi’

NORHAFIZAN ZULKIFLI
28 Mei 2013
‘Saya mahu mandi lagi’
Lubuk Yu yang meragut nyawa Raguventan.

BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA – ‘Saya mahu mandi lagi’ itulah permintaan terakhir seorang remaja India sebelum lemas ketika berkelah di Lubuk Yu, Maran, kira-kira jam 6.45 petang kelmarin.

Mangsa, Raguventan Perumal, 17, lemas buat kali pertama namun dapat diselamatkan oleh saudaranya sebelum terjun semula dan disahkan maut akibat lemas kali kedua.

Saudaranya, Ravi Raaman, 31, berkata, setelah mangsa lemas kali kedua, dia sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

“Ketika lemas kali kedua, Ragu (gelaran mangsa) diselamatkan seorang lelaki Melayu yang bekerja di Jabatan Perhutanan yang kebetulan ada ketika itu namun apabila dibawa naik, Ragu sudah lagi tiada,” katanya.

Sejurus itu katanya, dia dan 11 lagi saudara mara yang turut serta dalam perkelahan terbabit terus menghantar mayat mangsa ke Hospital Jengka.

“Kami semua datang dari Klang dan pergi ke kuil di Maran untuk bersembahyang. Selesai sembahyang, kami singgah berkelah di Lubuk Yu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, ASP Abdul Razak Abdul Majid mengesahkan kejadian tersebut.

Ketika kejadian, ramai pengunjung berkelah di Lubuk Yu yang kini dibuka semula setelah disahkan selamat daripada virus kencing tikus.

Remaja derita ketumbuhan ovari, dipandang serong gara-gara perut membesar – Sinar Harian


Remaja derita ketumbuhan ovari, dipandang serong gara-gara perut membesar

ERMA YUSNIDA JUSOH
14 Januari 2013
Remaja derita ketumbuhan ovari, dipandang serong gara-gara perut membesar
Rohani (dua kiri) menunjukkan keadaan perut Widdad yang membengkak selepas mengalami ketumbuhan ovari kepada Wan Azlan (tiga kanan).

KUANTAN – Seorang remaja tidak menyangka, kesakitan pada bahagian kiri perutnya sejak November tahun lalu yang disangkanya hanya penyakit biasa rupanya boleh meragut nyawa.

Pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini, Widdad Shairi berkata, dia tidak mengesyaki sebarang masalah serius sehinggalah pemeriksaan lanjut dijalankan di hospital minggu lalu.

Menurutnya, selepas mendapati perutnya mengeras dan bengkak, dia bersama kedua  ibu bapa, Shairi Mohd Yunan, 51, dan Rohani Osman, 43, mengambil keputusan ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Saya sering rasa sakit pada bahagian kiri perut, selepas rujuk pakar di HTAA, Khamis lalu, doktor mengesahkan saya mengalami ketumbuhan  ovari.

“Walaupun terkejut dengan keputusan pemeriksaan itu, tetapi saya reda dan dalam masa sama berharap berpeluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Balok Pine, di sini.

Widdad berkata, dia kini berdebar menunggu masa untuk menjalani pembedahan yang dijangka pada 25 Januari ini.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, keadaan perutnya yang membengkak mengganggu keselesaan terutama pada waktu tidur kerana terpaksa mengiring.

Katanya, dia juga terkilan apabila ada segelintir pihak memandang serong terhadap dirinya selepas melihat perutnya yang membesar kerana tidak mengetahui perkara sebenar.

“Bagaimanapun, keluarga sentiasa memberi sokongan, malah rakan sekelas sering melawat saya di rumah kerana saya tidak mampu ke sekolah sepanjang tahun ini,” katanya.

Ibunya, Rohani berkata, buat masa ini, Widdad bercuti dan dia sudah memaklumkan pihak sekolah mengenai perkara itu.

Bagaimanapun katanya, dia terkilan dengan saranan seorang guru di sekolah anaknya yang menyarankan Widdad berhenti sekolah.

“Guru tersebut tidak seharusnya berkata demikian, malah dia juga tidak bertanya mengenai keadaan anak saya.

“Malah guru kelasnya turut diarahkan supaya menghantar surat amaran kepada anak saya atas alasan ponteng,” katanya.

Rohani berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu sehinggalah anaknya selesai menjalani pembedahan tidak lama lagi.

Penderitaan Widdad turut mendapat perhatian Badan Kebajikan Kemanusiaan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (Bakkiss) yang hadir menyampaikan sumbangan kewangan.

Yang Dipertuanya, Wan Azlan Wan Salleh berkata, pihaknya menziarahi Widdad selepas dimaklumkan mengenai penderitaan remaja itu.

Katanya, Bakkiss sedaya upaya membantu keluarga tersebut termasuk hal persekolahan selepas pembedahannya selesai.

Perut hampir pecah – Metro


Perut hampir pecah

Oleh Pretty Licha
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUKAH: “Hati saya sayu melihat perut budak lelaki itu hampir pecah,” kata saksi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa kanak-kanak berusia lapan tahun apabila lori dipandu bapanya merempuh sebuah lori lain di Sungai Selat, Jalan Bintulu-Tatau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Bryant Tiong Kung Yan, murid tahun dua sekolah rendah di bandar Sibu, mati di tempat kejadian akibat cedera di perut selepas lori membawa muatan gam dipandu bapanya, Tiong Ing Tung, 44, merempuh belakang lori baja.
Saksi berkenaan, Edward Banting, 21, berkata, ketika kejadian dia memandu keretanya mengekori lori berkenaan sebelum pemandu lori di depannya menekan brek secara tiba-tiba sambil mengelak sesuatu sebelum berhenti secara mengejut.

 

“Saya sendiri nyaris merempuh belakang lori dipandu mangsa, tetapi disebabkan berada pada jarak yang selamat, saya mengelak daripada terbabit dalam kemalangan itu.
“Sejurus kemudian saya melihat pemandu lori berkenaan turun dengan kepalanya berlumuran darah menuju ke arah tempat duduk sebelah pemandu,” katanya. Edward berkata, dia memberhentikan kereta dan terkejut apabila mendapati pemandu lori itu cuba mengeluarkan anak lelakinya yang tidak sedarkan diri, tersepit di tempat duduk penumpang.
“Ketika itu saya sempat melihat perut kanak-kanak itu cedera parah dan banyak darah keluar. Selepas 10 minit, kami mengeluarkan kanak-kanak itu, namun tubuhnya langsung tidak bergerak,” katanya.

 

 

Pemandu lori baja terbabit, Latip anak Kerani, 42, berkata ketika kemalangan, lalu lintas di jalan berkenaan sesak kerana ada kerja naik taraf jalan dilakukan menyebabkan kenderaan berderet menunggu giliran melepasi kawasan pembinaan.
“Tiba-tiba lori saya dirempuh kuat dari belakang. Saya turun dan mendapati lori lain melanggar bahagian belakang kenderaan saya.

 

“Ketika itu saya nampak pemandunya cedera di kepala manakala seorang kanak-kanak berlumuran darah tersepit di tempat duduk depan,” katanya.
Difahamkan, Bryant menemani bapanya menghantar muatan gam ke Bintulu berikutan cuti sekolah sempena Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung sekarang. Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian beberapa minit kemudian akibat cedera parah pada badan, manakala bapanya dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Mayat kanak-kanak malang itu dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kemalangan berkenaan menyebabkan keadaan lalu lintas di situ sesak lebih tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

Murid maut diputar pembajak – Utusan


Murid maut diputar pembajak

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Anggota trafik, Sarjan Zakaria Saidin menunjukkan pengisar jentera pembajak yang meragut nyawa Muhammad Fariz Najmi Nurizan (gambar kecil) selepas mangsa terjatuh dari jentera tersebut di Kampung Kubang Palas, Kedah, kelmarin.

PADANG TERAP 6 Mei – Seorang murid lelaki berusia sembilan tahun maut dalam keadaan mengerikan setelah terkena bilah mesin pembajak yang dipandu bapa saudaranya di Kampung Palas, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Muhammad Fariz Najmi Nurizan dikatakan mengikuti bapa saudaranya, Habibullah Halim, 27, membajak sawah dengan duduk di bahagian tepi jentera tersebut sebelum terjatuh.

Lebih malang, Muhammad Fariz terjatuh tanpa disedari oleh Habibullah yang memandu jentera jenis Ford 6600 tersebut.

Habibullah hanya mengetahui kemalangan itu selepas mendapati mangsa tiada di tepi sebelah kiri jentera setelah memandu kira-kira 30 meter.

2 lagi wanita mangsa simbah asid di Rawang – Bernama


2 lagi wanita mangsa simbah asid di Rawang

28 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dan seorang gadis menjadi mangsa simbahan asid oleh dua lelaki ketika menunggu bas di Batu 16, Rawang, dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, S.Rani, 46, dan Nuraqilah Osman, 16, telah disimbah asid oleh seorang daripada suspek yang berjalan kaki.

Beliau berkata, suspek telah meragut rantai leher Rani sebelum melarikan diri ke kawasan berhampiran.

“Semasa melarikan diri, seorang daripada suspek itu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah wanita itu yang turut mengenai mangsa kedua menyebabkan belakang badannya melecur,” katanya dalam satu sistem pesanan ringkas malam ini.

Abdul Rahim berkata Nuraqilah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang manakala Rani, yang cedera di muka, leher, tangan serta dada, masih dirawat di hospital sama.

“Mangsa tidak dapat mengecam identiti kedua-dua suspek kerana semasa kejadian, keadaan gelap dan perlakuan suspek terlalu pantas,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – Bernama

Pelajar maut dipanah petir selepas latihan memanah – Utusan


Pelajar maut dipanah petir selepas latihan memanah

KUALA KANGSAR 1 Feb. – Seorang pelajar tergamam apabila melihat seorang rakannya maut akibat dipanah petir selepas selesai menjalani latihan memanah di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Muzwin, di sini petang semalam.

Muhammad Izhar Jamaluddin, 10, antara lapan murid yang sedang berehat di tepi padang berkenaan berkata, sampai bila-bila pun dia tidak dapat melupakan kejadian pukul 5.30 petang itu yang meragut nyawa Muhammad Syafiq Mohd. Tajul Ariffin, 11.

Menceritakan detik-detik cemas tersebut, Mohd. Izhar berkata, dalam keadaan hujan renyai-renyai, semua ahli pasukan memanah sedang bersiap untuk bersurai, manakala mangsa pula sedang menyusun peralatan memanah di bawah sebatang pokok, kira-kira tiga meter dari rakan-rakannya.

“Tiba-tiba saya perasan ada cahaya kuning sepantas kilat diiringi dentuman kuat yang menyebabkan kami semua terpelanting. Selepas itu, kami melihat Syafiq terbaring di bawah pokok.

“Saya sendiri takut melihat kaki saya pucat dan apabila guru lain mencurahkan air bagi menanggalkan kasut yang terkoyak bersama stokin melekat, ia mengeluarkan bunyi macam sedang dimasak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, Muhammad Syafiq yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik meninggal dunia setelah cedera parah di seluruh badan akibat dipanah petir.

Muhammad Izhar melecur di kaki kanan, manakala dua lagi rakannya, Anuar Azlin, 12, dan Nor Arifah Fatimah, 12 serta seorang guru jurulatih pasukan tersebut, Azizul Rahman Ismail, 31, hanya mengalami kekejangan di kaki.

Azizul Rahman yang masih trauma dengan kejadian itu masih dirawat di Hospital Kuala Kangsar, di sini.

Menurut Muhammad Izhar, selepas kejadian itu, dia serik untuk menjalani latihan memanah lagi kerana trauma dengan apa yang berlaku.

“Kami sepatutnya menyertai satu kejohanan memanah pada bulan ini tetapi tidak tahu lah macam mana selepas kejadian ini,” katanya yang diberikan cuti sakit selama tiga hari.

Sementara itu, Azizul Rahman yang juga seorang guru Matematik berkata, dia begitu sedih dan terkejut mendengar berita kematian tersebut kerana mangsa merupakan anak didiknya sejak setahun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat sekumpulan pasukan bola sepak sedang berehat tidak jauh daripada tempat kejadian selepas menjalani latihan di padang berkenaan.

“Dalam hati, saya rasa seolah-olah macam bersalah, walaupun perkara ini berlaku di luar jangkaan sama sekali,” katanya sambil menegaskan semua aktiviti memanah tersebut dijalankan mengikut peraturan pihak sekolah.

Sementara itu, suasana suram menyelubungi keluarga mangsa yang berkumpul di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal di sini apabila jenazah Muhammad Syafiq dikebumikan pukul 11.30 pagi ini.

Bapa mangsa, Mohd. Tajul Arifin Shahruddin, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 6 petang apabila menerima panggilan daripada seorang guru ketika menanti kepulangan anaknya sewaktu hujan lebat semalam.

“Kadang kala, saya selalu juga melihat anak saya menjalani latihan di sekolah tetapi semalam, saya tidak berkesempatan. Biasanya, kalau hujan, dia akan pulang awal kerana cikgu suruh balik cepat,” katanya.

Ibu mangsa, Suhila Anwar, 37, yang terlalu sebak kehilangan anaknya itu tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang kata-kata.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Ghaffar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Guru Besar SK Raja Perempuan Muzwin, Mohd Jamaai Ahmad pula berkata, laporan lengkap berhubung kejadian itu telah dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).