Merajuk telefon dirampas – Metro


Merajuk telefon dirampas

Seremban: Angkara berang telefon bimbit dirampas ibunya, seorang gadis berusia 16 tahun melarikan diri sejak Khamis lalu, dipercayai mengikut kenalan lelaki.

Ibunya, Rozetah A Latif, 45, berkata, kali terakhir dia melihat Nur Yusra Amira Zulkhairimi, 16, Rabu lalu selepas berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum anak sulungnya melarikan diri dari rumah keesokkannya.
Menurutnya, gadis yang dikenali sebagai Mira itu lari pada jam 10 pagi selepas memecahkan pintu pagar besi ketika ibu dan ayahnya keluar bekerja.

 

“Pagi Khamis lalu saya dan suami tiada di rumah kerana bekerja, bagaimanapun sebaik pulang anak kedua memberitahu Mira sudah lari dari rumah.
“Kami mencarinya di merata tempat, namun gagal sebelum bertanya dengan teman lelaki anak, tetapi dia tidak tahu di mana Mira berada,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.
Rozetah berkata, seorang rakan di tempat kerja anaknya memberitahu ada ternampak Mira mengikut seorang lelaki yang datang menjemputnya menaiki motosikal di perhentian teksi di Terminal One, Jumaat lalu.

 

Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu seorang yang suka bergaul dan gemar keluar dengan lelaki yang baru dikenali.
“Sudah seminggu Mira menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita dan laporan dibuat di Balai Polis Sikamat.

 

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Mira boleh menghubungi saya di talian 017-2261170 atau Zulkhairimi (ayah) di talian 012-9417433,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/21