Budaya manusia sakit emosi – Metro


Budaya manusia sakit emosi

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Hilmi Isa

Bagi orang ‘dulu-dulu’ apabila anak dara menginjak usia tertentu seperti 20 tahun dianggap kahwin lewat. Berbeza dengan generasi baru hari ini, pada usia tertentu di alam persekolahan dikatakan lewat jika belum melakukan hubungan seks.

Ya, hari ini ada yang mendakwa seolah-olah menjadi suatu yang mengaibkan sekiranya seorang remaja perempuan belum melakukan hubungan seks apabila mencapai tahap usia tertentu. Mereka akan diejek rakan kerana kononnya ‘tak laku’. Gurauan lucah yang menjijikkan, hatta orang berkahwin pun malu untuk memperkatakannya secara terbuka sudah menjadi mainan bibir. Si lelaki akan cuba menarik perhatian dan merangsang si perempuan dengan kata-kata lucah. Perkataan yang biasa pada pendengaran kita sebagai orang dewasa, boleh membawa maksud yang mendalam kepada mereka. Jika kita mengajar di hadapan mereka, tiba-tiba ada sesetengah perkataan yang kita gunakan akan membuatkan mereka tergelak dengan tiba-tiba. Selepas disiasat, barulah diketahui perkataan itu biasa saja di telinga kita, tetapi membawa maksud berbeza di minda mereka. Di samping itu, akan berlaku cabar-mencabar di antara lelaki dan perempuan. Si lelaki mengatakan yang dia ‘gagah’. Dia mencabar si perempuan untuk mencuba ‘kegagahannya’ atau si lelaki akan bersaing untuk mencatatkan ‘rekod’ siapa yang ‘bertahan’ lebih lama apabila melakukan seks dengan seseorang perempuan. Di kalangan remaja perempuan, mereka berlumba-lumba untuk mencatatkan rekod siapa yang tidur dengan paling ramai lelaki. Bagi remaja perempuan, mereka berterus-terusan terbabit dalam aktiviti perzinaan kerana bagi mereka tidak apa yang perlu ‘dipertahankan’ lagi setelah terlanjur kali pertama. Ada yang melakukan seks kerana berasa disayangi terutamanya apabila dipeluk dan dibelai oleh si kekasih. Kalau anda bertanya kepada mereka beberapa soalan mengenai rasional mereka melakukan seks, mereka sedar bahawa ia adalah satu kesalahan. Jika anda menyelidiki lebih mendalam, sesetengah mereka menyedari bahawa mereka hanya diperalatkan untuk kepuasan nafsu kekasih mereka semata-mata. Kalau sudah tahu diperalatkan, mengapa masih sanggup menyerahkan tubuh kepada kekasih? Itu persoalan yang datang daripada minda logik dan jawapan logik. Tentu sekali dengan menyedari diri diperalatkan membuatkan mereka berhenti daripada melakukan perbuatan berkenaan.
Namun, malangnya tidak bagi mereka kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mereka berasa disayangi. Kerjaya dan bisnes hari ini menuntut komitmen yang tinggi dari segi tenaga dan masa. Ramai ibu bapa keluar rumah sewaktu matahari belum terbit dan hanya kembali ke rumah apabila matahari sudah terbenam. Apabila sampai di rumah, hari sudah lewat dan badan sudah penat. Dalam keadaan sedemikian adakah terlintas di fikiran untuk bermesra dan berbual-bual dengan anak? Kebanyakan ibu bapa dalam keadaan keletihan, sudah tentu ingin menghilangkannya dengan rehat dan tidur. Tambahan pula keesokan harinya kerja yang tidak siap harus diselesaikan. Satu isu utama juga adalah ibu bapa yang berpangkat tinggi. Kita sedia maklum secara umumnya lebih tinggi pangkat seseorang itu, lebih besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul. Lebih besar tanggungjawab yang terpaksa dipikul, maka lebih berat beban emosi terpaksa ditanggung. Menjadi ketua sesebuah organisasi memerlukan ketabahan tinggi. Orang bawahan mempunyai latar belakang keluarga, pendidikan dan sosial yang pelbagai. Apabila sesuatu keputusan dibuat oleh ketua, tidak semua memberikan persetujuan. Andai kata persetujuan dinyatakan dengan cara yang elok seperti perbincangan bersemuka atau mesyuarat, ia boleh diterima. Malangnya manusia yang ada hari ini terdiri daripada golongan manusia yang sakit emosi. Apabila mereka tidak bahagia, mereka akan membuatkan orang lain pun tidak bahagia. Budaya fitnah dan tikam belakang seolah-olah menjadi sebahagian budaya dalam kebanyakan organisasi. Sistem pendidikan formal kita pula kurang menekankan unsur Emotional Quotient (EQ) yang menyebabkan kita mampu melahirkan manusia hebat dari sudut akademik tetapi tempang dari sudut emosi. Ditambah pula dengan bermacam-macam kerenah pasangan yang tidak memahami dan bertolak ansur, tekanan perasaan bertambah memuncak. Secara tidak sedar, ramai ibu bapa yang tidak mampu menangani tekanan dengan baik akan melepaskan perasaan terhadap anak. Ia seolah-olah menjadi kesan berantai di mana anak yang dimarahi dan dileteri setiap hari pula akan mencari seseorang yang boleh menenangkan dan membelai perasaan mereka. Penyelesaian yang mudah di pihak anak adalah mencari rakan mahupun kekasih yang boleh membuatkan hidup mereka gembira. Kalau bernasib baik, mereka akan menemui rakan yang baik. Itu kalau bernasib baik, kerana rakan yang baik jarang ditemui hari ini.

 

Penulis adalah Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Guru rangsang pelajar gagal dalam rayuan hukuman penjara – Bernama


Guru rangsang pelajar gagal dalam rayuan hukuman penjara

2 April 2012

PUTRAJAYA – Seorang guru sekolah gagal dalam rayuan terakhirnya berhubung hukuman penjara 16 bulan yang dihadapinya bagi kesalahan merangsang dua pelajar Tahun Enam melakukan perbuatan kelucahan melampau, lapan
tahun lepas.

Panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk K.N.Segara menolak rayuan dikemukakan oleh Muhammad Nizar Shuib, yang juga merupakan guru tuisyen Bahasa Inggeris kepada dua pelajar lelaki itu.

Muhammad Nizar, 31, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuannya berhubung hukuman penjara 16 bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 9 Mei, 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E, Kanun Keseksaan bagi dua pertuduhan merangsang dua budak lelaki itu yang berumur 14 tahun untuk melakukan perbuatan itu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kubang Pasu, Kedah, antara Mei 2003 dan April 2004.

Terdahulu, peguam yang mewakilinya G. Ravishankar berhujah pertuduhan terhadap anak guamnya itu adalah tidak kukuh kerana tiada tarikh dan masa spesifik mengenai kejadian yang didakwa dalam pertuduhan.

Katanya, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan umur dua budak lelaki itu adalah di bawah 14 tahun serta tiada sijil kelahiran dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan untuk membuktikan perkara itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi dalam hujahannya berkata umur kedua-dua mangsa telah dibuktikan melalui keterangan lisan diberikan ibu mereka, pegawai penyiasat dan guru sekolah semasa perbicaraan.

Katanya, tidak diragui bahawa pertuduhan memegang kemaluan kanak-kanak merupakan perbuatan kelucahan melampau.

Katanya, ibu kepada seorang daripada mangsa menyedari yang anaknya beberapa kali pulang lewat ke rumah daripada kelas tuisyen. Apabila dia bertanya mengenai perkara itu, anaknya berkata guru telah memintanya menyusun buku.

Bagaimanapun, apabila ditanya sekali lagi, budak lelaki itu memberitahu ibunya yang guru meminta dia mengurutnya, kata Tetralina.

Katanya, selepas itu ibu budak lelaki itu telah melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah. Kemudiannya ibu seorang lagi budak lelaki turut membuat laporan kepada pihak sekolah mengenai kejadian serupa.

Hakim Segara yang mendengar rayuan itu bersama-sama Hakim Datuk Azhar Ma’ah dan Hakim Datuk Linton Albert berkata hakim Mahkamah Sesyen membuat keputusan betul apabila mensabitkan  Muhammad Nizar dengan kedua-dua pertuduhan itu.

Katanya, terdapat keterangan lisan yang mencukupi untuk menunjukkan mangsa berumur bawah 14 tahun.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan itu, Muhammad Nizar dikerumuni anggota keluarganya sebelum dia dihantar ke penjara. – Bernama

Guru dipenjara 16 bulan rangsang dua murid lelaki – Utusan


Guru dipenjara 16 bulan rangsang dua murid lelaki

02/04/2012 6:08pm

 

Oleh NORLIZAH ABAS

 

PUTRAJAYA 2 April – Seorang guru Bahasa Inggeris terpaksa meringkuk dalam penjara selama 16 bulan atas dua kesalahan merangsang dua murid lelaki Tahun Enam untuk melakukan kelucahan melampau, selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk K.N. Segara yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma’ah dan Datuk Linton Albert sebulat suara menolak rayuan Muhammad Nizar Shuib, 31, terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap kesalahan.

Ketika kejadian lapan tahun lalu, perayu merupakan guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Kedah dan dia turut mengajar tuisyen mata pelajaran itu di rumahnya selepas waktu sekolah. Kedua-dua mangsa merupakan muridnya.

Keterangan kes menyatakan, guru berkenaan merangsang mangsa dengan memainkan filem lucah selain memegang kemaluan kedua-duanya.

Kuorum tersebut dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 9 Mei 2010 yang menjatuhkan hukuman tersebut dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya pada 20 Julai tahun lalu.

Muhammad Nizar disabitkan melakukan perbuatan itu terhadap dua murid berkenaan pada waktu yang berlainan di antara Mei 2003 dan April 2004 di rumahnya di Kubang Pasu.

Perayu diwakili oleh peguam G. Ravishankar manakala Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi mewakili pihak pendakwaan. – UTUSAN