Sekolah angkat: Telekom Malaysia sedia RM2 juta – Bernama


Sekolah angkat: Telekom Malaysia sedia RM2 juta

20 Oktober 2012

SEREMBAN – Telekom Malaysia Bhd (TM) memperuntukkan RM2 juta untuk projek sekolah angkat yang melibatkan 10 buah sekolah terpilih di seluruh negara sejak 2003 sehingga kini, kata Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie.

Beliau berkata, projek itu bertujuan meningkatkan pencapaian pendidikan sekolah selain menyediakan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang lebih baik dalam usaha merapatkan jurang digital. Katanya, projekĀ  sekolah angkat bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPPK) ini adalah antara fokus tanggungjawab sosial korporat TM.

“TM memperuntukkan RM200,000 bagi setiap sekolah angkat berkenaan untuk tempoh tiga tahun,” katanya pada majlis graduasi projek sekolah angkat TM bersama KPKK yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz di sini hari ini.

Majlis graduasi projek itu melibatkan dua buah sekolah di Negeri Sembilan iaitu Sekolah Menengah Rendah Agama Repah, Tampin dan Sekolah Kebangsaan Teriang, Kuala Klawang, Jelebu, yang terlibat dengan projek berkenaan sejak 2009.

Halim berkata, sepanjang tempoh tiga tahun itu, kedua-dua buah sekolah berkenaan menunjukkan kemajuan dan pencapaian yang memberangsangkan dalam keputusan akademik serta aktiviti kokurikulum.

Katanya, program ini bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan pencapaian akademik yang baik di kalangan pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah untuk memberi mereka peluang menikmati masa depan yang lebih baik.

“Program sekolah angkat TM merupakan program menyeluruh yang menggalakkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya bagi menghadiri kursus ICT dan motivasi serta seminar keibubapaan agar lebih bersedia dalam mendidik anak-anak mereka,” katanya. – Bernama

Salang terkejut dengan kemelut berkaitan netbook – Bernama


Salang terkejut dengan kemelut berkaitan netbook

2012/05/06

LUBOK ANTU (Sarawak): Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang terkejut dengan tindakan beberapa sekolah di kawasan luar bandar Sarawak yang melarang pelajar membawa netbook 1Malaysia mereka ke sekolah.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa sekolah berkenaan tidak mahu pelajar terbabit mengecas semula netbook mereka di sekolah kerana ini akan meningkatkan bil elektrik.

“Ini satu berita baru kepada saya, tetapi malanganya ia bukan berita baik,” katanya semasa merasmikan program sesi rakaman sambutan Gawai Dayak oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di rumah panjang 57 pintu, Rh Jubang anak Bin, di Sebangki Panjai di sini malam semalam.

“Netbook diberikan kepada pelajar untuk membantu mereka dalam pelajaran mereka. Tetapi jika mereka tidak dibenarkan membawanya ke sekolah, matlamat itu tidak akan tercapai,” katanya.

Turut hadir pada program itu ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak dan Pengerusi Telekom Malaysia, Datuk Dr Halim Shafie.

“Jika pendekatan itu menjadi amalan atau bakal dijadikan peraturan, ini juga merupakan satu kerugian besar di pihak kerajaan. Di pihak saya, saya akan maklumkan perkara ini kepada Kementerian Pelajaran untuk mencari penyelesaian secara baik demi kebaikan pelajar,” katanya Salang.

Beliau berkata, kerajaan akan mengagihkan lebih banyak netbook kepada pelajar dan pemimpin masyarakat di kawasan luar bandar di seluruh negeri pada bulan ini dalam usaha untuk merapatkan jurang digital luar bandar-bandar.
Mengenai permohonan yang disampaikan oleh Nyalau bagi pihak penduduk yang mahu RTM mempertimbangkan menambah durasi penyiaran TVi daripada 15 minit ketika ini kepada 30 minit atau lebih, Salang berkata, beliau sudah bangkitkan perkara itu dengan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail.

“Saya dimaklumkan yang penyiaran ini amat popular terutama di kalangan kaum Iban di kawasan luar bandar yang melanggan perkhidmatan Astro. Norhyati memberitahu saya RTM sedang mencari slot untuk berbuat demikian. Apabila RTM bersiaran secara digital sepenuhnya tidak lama lagi, akan ada lebih banyak slot,” katanya.

Salang juga menasihatkan rakyat supaya menyokong hanya calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, menyatakan hanya kerajaan BN mempunyai wawasan, strategi dan perancangan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. – BERNAMA