Budak patah kaki tersepit eskalator – Berita Harian


Budak patah kaki tersepit eskalator

2013/01/10 – 04:55:27 AM Oleh Badrul Kamal ZakariaCetakEmel Kawan
Kota Tinggi: Seorang kanak-kanak lapan tahun berdepan detik cemas apabila kaki kirinya tersepit pada tangga bergerak ketika mengikut ibu bapanya menghantar barang di sebuah pusat beli-belah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 6.40 petang itu, Mohd Fathur Rahman Fadel bersama keluarganya dikatakan sedang menuruni tangga bergerak itu sebelum hujung seliparnya tersangkut pada tangga itu.

Kejadian itu menyebabkan kaki kiri Mohd Fathur patah dan berlaku pendarahan selepas ibu bapanya berjaya menarik keluar kaki anaknya itu.

Ibu mangsa, Norfadilah Anuar, 32, berkata kejadian berlaku terlalu pantas ketika dia dan suami bersama dua anaknya sedang menuruni tangga bergerak terbabit.

Saya terkejut apabila melihat kaki Mohd Fathur tersepit. Pada mulanya saya menyangka hanya seliparnya yang tersangkut pada celah tangga bergerak itu, tetapi anak saya meraung kesakitan.

Keadaan menjadi genting apabila saya lihat darah banyak keluar dan dapat melihat tulang kakinya. Suami saya menarik kaki Mohd Fathur beberapa kali sehingga berjaya mengeluarkan kakinya dan bergegas membawanya ke Hospital Kota Tinggi (HKT), katanya.

Norfadilah berkata, walaupun lega keadaan anaknya kini stabil, dia kecewa dengan sikap kakitangan pusat beli-belah terbabit dan HKT.
Ketika kejadian, kakitangan terutama pengawal pusat beli-belah itu tidak peduli dengan keadaan menimpa anak saya. Mereka hanya melihat selain nasihatkan supaya menghantar anak ke hospital.

Ketika di HKT pula anak saya diperiksa sambil lewa. Mereka memaklumkan ia hanya kecederaan kecil dan hanya perlu menjahit bahagian yang luka, katanya.

Katanya, mereka terpaksa membawa anaknya semula ke hospital apabila dia sering menangis kesakitan dan pemeriksaan susulan mendapati tulang kaki kiri anaknya itu patah.

Mohd Fathur yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan dijangka menjalani pembedahan kecil, katanya.

Kaki kebas, bau hangit kena petir – Berita Harian


Kaki kebas, bau hangit kena petir
Oleh Nurhayati Abllah dan Mohd Hairi Azmi Tham

2012/02/02

KUALA KANGSAR: “Selepas bunyi dentuman kuat, saya terus tidak sedarkan diri. Apabila tersedar beberapa minit kemudian, kaki terasa kebas, kasut terbakar dan bau hangit.

“Saya terus meraung sebaik cikgu menanggalkan kasut kerana bau hangit itu berpunca daripada kaki kanan saya melecur,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini, yang cedera dalam kejadian dipanah petir, petang kelmarin.

Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan Muhammad Izaha, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin , 11, maut selepas badannya disambar petir, manakala dua rakan lain serta seorang guru cedera.

Mereka yang cedera ialah Azizul Rahman Ismail, 31, guru dan juga jurulatih memanah sekolah serta dua murid lain dikenali sebagai Anuar Azlin, 12 dan Nor Arifah Fatimah, 12.

Menceritakan kejadian jam 5.30 petang itu, Muhammad Izaha berkata sebelum kejadian dia bersama lapan rakan lain, termasuk arwah dan seorang guru berehat berhampiran sebatang pokok selepas selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah.

“Ketika itu cuaca mendung dan arwah bangun untuk mengemaskan peralatan memanah di tengah padang. Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat dan saya terus tidak sedarkan diri.

“Selepas tersedar saya sempat melihat arwah kaku tersandar pada sebatang pokok, manakala rakan lain meraung kesakitan. Beberapa guru kemudian cuba memberi bantuan pernafasan kepada arwah, namun beberapa minit kemudian saya mendapat tahu rakan saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, semalam.
Muhammad Izaha, murid Tahun Empat, berkata sebelum kejadian arwah sempat mengajarnya menarik tali memanah itu dan mereka bersemangat mengikuti latihan kerana berhajat untuk terpilih mewakili sekolah.

“Arwah tidak lokek ilmu. Kami sentiasa berlatih bersama-sama dan arwah sangat teruja untuk berlatih memanah, apatah lagi selepas dapat membeli penutup mata khas untuk mengikuti latihan itu,” katanya.

Muhammad Izaha kini mengakui sudah hilang minat untuk menjalani latihan memanah kerana trauma dengan kejadian itu.

“Saya sudah kehilangan rakan baik, apatah lagi kaki masih terasa kebas dan telinga berdengung kesan dentuman kuat itu,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu dan sedih menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, ketika jenazah Muhammad Syafiq yang juga anak ketiga daripada lima beradik dikebumikan jam 11.30 pagi semalam.

Ibu mangsa, Suhila Anuar, 37, berkata sebelum kejadian, arwah kelihatan sangat seronok dan bersemangat menjalani latihan memanah, apatah lagi dia baru saja membeli penutup mata bagi sukan itu.

“Dia (arwah) sanggup mengambil upah membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah sebanyak RM2 sehari untuk mengumpul wang bagi membeli peralatan berharga RM10,” katanya.

“Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar untuk meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. Lagipun, arwah tidak pandai bermain sukan lain seperti bola, jadi dia berhajat untuk mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.