Takut buta terus – Metro


Takut buta terus

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI BULOH: “ Saya sangat takut menjadi buta selama-lamanya. Kejadian itu membuatkan saya risau dan sentiasa trauma,” kata mangsa mercun dibaling rakan sendiri Mohd Firdaus Mohd Azlee, 10 menceritakan detik cemas menimpanya 1 September lalu.

Menurutnya, kedua matanya cedera teruk setelah terbakar apabila terkena serpihan mercun dipercayai buatan sendiri yang dilempar rakannya dari tingkat atas di Pangsapuri Teratai di Taman Bunga Raya dekat Bukit Beruntung.
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya 2 ini , berkata, kejadian berlaku jam 5 petang ketika dia bersama adiknya Mohd Fariz Aiman, 8; sedang bermain di perkarangan rumahnya itu.

 

“Ketika terkena serpihan mercun itu, saya rebah di situ. Ada jiran membantu membawa saya pulang ke rumah sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HS) sejam kemudian.
“Saya tidak sangka malang menimpa diri ini walaupun tidak bermain mercun sepanjang Aidilfitri tahun ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di HS di sini semalam.
Hadir sama melawat mangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno cawangan Apartmen Teratai, Ahmad Nordin. Mohd Isa turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa bagi meringankan beban.

 

 

Ayah mangsa, Mohd Azlee Ibrahim, 36 berkata, dia membuat laporan polis mengenai kejadian malang menimpa anaknya itu pada jam 9 pagi Ahad lalu.
Katanya, walaupun masih terkejut dengan kejadian itu namun mereka pasrah dengan dugaan Allah menimpa anak sulungnya yang pintar dalam pelajaran.

 

“Setiap hari saya dan isteri, Siti Aishah Omar menemani anak di dalam wad ini. Doktor memaklumkan pembedahan mata kirinya akan dilakukan pada 13 September ini di Hospital Selayang (HS).
“Kami tidak mampu menanggung kos rawatan yang tinggi kerana mempunyai pendapatan amat terhad setiap bulan,” katanya yang bekerja sebagai chef hotel di ibu negara.
Menurutnya, beliau perlu menyara empat anak termasuklah Nurul Aqilah, 3 dan Nor Aifa Qalisha, 7 bulan yang masih kecil.
Katanya, anaknya sering menangis dan berada dalam ketakutan apabila sentiasa bimbang menjadi buta setelah kejadian malang menimpa dirinya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08

Dipukul main mercun, bapa buat laporan polis – Sinar Harian


Dipukul main mercun, bapa buat laporan polis

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012
Dipukul main mercun, bapa buat laporan polis
Jusop menunjukkan laporan polis sambil diperhatikan Mohd Adam.

TUMPAT – Angkara bermain mercun seorang kanak -kanak istimewa dipukul seorang lelaki berpakaian uniform di tengkuk, sehingga menyebabkan dia tersungkur ke tanah dan mengalami luka kecil di tapak tangan di hadapan rumahnya di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor, di sini.

Dalam kejadian pada 28 Julai lalu, Mohd Adam Jusop, 15, bermain mercun bersama kawannya kira-kira jam 5.45 petang di dalam kawasan perumahan JKR, Pengkalan Kubor.

Ketika kawan Mohd Adam sedang leka bermain mercun, datang seorang lelaki beruniform mengejar mereka sehingga sampai di rumah Mohd Adam yang terletak beberapa meter dari perumahan JKR itu.

Bapa mangsa, Jusop Ibrahim, 64, berkata, dia kesal dengan tindakan anggota beruniform itu kerana memukul anak angkatnya itu, Mohd Adam sehingga menyebabkan kecederaan.

“Anak saya melarikan diri dengan menunggang basikal ketika dikejar lelaki beruniform ini.

“Bila sampai di hadapan rumah saya, dia terjatuh dari basikal, dan tersungkur selepas dipukul lelaki itu di tengkuk,” katanya.

Jusop berkata, bila bunyi bising di luar rumah, dia keluar dan sempat melihat tindakan lelaki berkenaan menyepak basikal anaknya serta mengugutnya.

“Kalau dia (lelaki beruniform) ternampak Mohd Adam bermain lagi dalam kawasan perumahan JKR, akan dipukulnya, dan selepas itu dia menendang basikal dan terus berlalu,” katanya.

Jusop berkata, dia cukup kesal dengan tindakan lelaki tersebut kerana seakan menyalahgunakan kuasanya sebagai anggota berpakaian uniform.

Katanya, berikutan kejadian itu, dia membuat  laporan polis di Pejabat Polis Pengkalan Kubor dan meminta kes ini disiasat.

Lebaran bukan lesen anak terlalu bebas – Kosmo


Lebaran bukan lesen anak terlalu bebas

 

Oleh SUHANA VERU

 


 

HANYA tinggal dua hari sahaja lagi umat Islam di negara ini dijangka akan menyambut 1 Syawal. Secara tradisinya, kedatangan Aidilfitri juga akan menyebabkan keadaan ibu negara semakin lengang memandangkan kebanyakan anak-anak perantau akan pulang ke kampung masing-masing.

Trend balik kampung sememangnya sinonim dengan sambutan hari raya dalam kalangan masyarakat negara ini.

Pada waktu inilah, kebanyakan orang pasti sibuk membuat persiapan untuk meraikan 1 Syawal. Golongan wanita pasti sibuk di dapur atau menghias rumah, manakala si lelaki pula membersihkan halaman atau mengecat rumah.

Namun, jangan dilupa anak-anak atau si kecil juga ketika ini tidak kurang ‘sibuknya’.

Di saat, ibu bapa atau datuk nenek ghairah membuat persiapan hari raya atau melayan tetamu pada pagi Syawal, si kecil bersama sepupu atau kawan-kawan seolah-olah mendapat ‘lesen’ untuk bermain di luar sepuas-puasnya.

Bagaimanapun, buat para ibu bapa haruslah diingat, lebaran bukanlah bermakna keselamatan anak-anak perlu diabaikan.

Si kecil masih terdedah dengan pelbagai kejadian tidak diingini seperti kecederaan atau lebih buruk menjadi mangsa jenayah.

Mangsa ragut

GOLONGAN kanak-kanak yang gemar bermain mercun seringkali menjadi mangsa bahana letupan itu. – Gambar hiasan

 

Bagi Norhadirah Muhammad Hakim, 38, kejadian ragut yang melibatkan anaknya tiga tahun lalu pada hari raya tidak mungkin dapat dilupakannya.

Mengimbas kembali kisah tersebut, ibu yang mempunyai dua orang anak itu mengakui sekitar kediamannya di Taman Silibin, Ipoh, Perak ketika itu memang agak ‘panas’ dengan kejadian jenayah.

Namun demikian, dia tidak menyangka kejadian itu akan menimpa anak bongsunya yang berusia 11 tahun itu.

“Ketika itu, dia (anak bongsu) mengikut rakan seusianya berhari raya di rumah jiran-jiran. Secara tiba-tiba dia didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal dan merentap rantai lehernya.

“Biarpun, cedera di leher dan lutut tetapi saya bersyukur kerana dia tidak mengalami kecederaan yang teruk,” katanya.

Sejak kejadian itu, dia tidak lagi memakaikan barangan kemas kepada anak-anaknya kerana khuatir kejadian itu berulang.

“Saya menjadi fobia, tetapi ada juga hikmahnya. Kini, selain hari raya, saya lebih kerap memantau pergerakan anak-anak kerana bimbang ditimpa kejadian yang lebih teruk lagi,” jelasnya yang mengalami kerugian hampir RM600.

HARI raya akan lebih meriah dengan kunjungan kanak-kanak, namun ibu bapa perlu mengetahui ke mana hala tuju mereka. – Gambar hiasan

 

Bagi seorang ibu, Mazila Mohammad Niakat Ali, 33, pula dia dan suaminya juga pernah mengalami situasi seperti itu, apabila anak pernah hilang beberapa jam bersama kawan-kawan sebaya.

Menyingkap kembali pengalaman tahun lalu, ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu dia yang sibuk memasak di dapur untuk menyediakan juadah hari raya sememangnya tidak mampu menjaga anak-anak yang gemar bermain di luar rumah.

Pantau pergerakan anak

Mempunyai anak berusia enam hingga 11 tahun, wanita itu berkata, biarpun beberapa kali memarahi mereka namun, tidak sampai satu jam mereka tetap akan keluar dari rumah.

Pada kebiasaan, ketiga-tiga anaknya itu gemar bermain luar rumah dan apabila sudah bosan mereka akan membawa basikal masing-masing sambil membonceng adik mereka bersiar-siar di sekitar taman.

“Namun, apabila saya sibuk di dapur selain mereka terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan seusia, akhirnya mereka berbasikal lebih jauh dari kawasan rumah,” ujarnya sambil menghela nafas lega, mujur tidak ada kejadian buruk berlaku ketika itu.

Sementara itu, Muhammad Kassim Mohammed Daud, 35, pula berkata, amalan ibu bapa membiarkan anak mereka terutamanya pada musim perayaan sudah menjadi kelaziman.

Tambahnya, golongan ibu bapa sememangnya tiada masa untuk memantau anak-anaknya kerana sibuk membuat pelbagai persiapan.

Bapa kepada dua anak itu bagaimanapun, mengakui tindakannya yang kurang mengambil berat terhadap anak-anak itu boleh mengundang padah.

“Kalau melihat kepada pelbagai laporan di dada akhbar perkara itu sememangnya boleh berlaku terutamanya kecederaan akibat bermain mercun. Lantaran itu, saya seboleh-bolehnya akan cuba untuk lebih mengawal tingkah laku anak-anak agar tidak terlalu bebas atau lasak ketika berhari raya,” ujarnya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Mayda Dr. Khaidzir Ismail berkata, di sebalik keghairahan berhari raya golongan ibu bapa perlu peka terhadap gerak-geri anak-anak mereka agar tidak ditimpa kejadian yang tidak diingini.

Menurutnya, kemalangan bukan sahaja berpotensi berlaku di luar, malahan di dalam rumah.

“Tumpahan air di lantai atau tercucuk sate lidi juga boleh menyebabkan kanak-kanak tercedera. Jadi, kita tidak pasti kemalangan boleh berlaku di mana dengan apa cara sekalipun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, beliau juga tidak menolak terdapat segelintir ibu bapa akan mengamalkan budaya passing kepada kakak atau abang untuk menjaga adik-adik mereka ketika bermain.

Tambahnya, apabila perkara tersebut berlaku, kakak atau abang itu sendiri tidak mampu mengawal kerana turut ghairah bermain.

“Jadi, lebih elok jika ibu bapa itu sendiri yang mengawal anak-anak yang masih kecil lagi atau meminta orang lebih dewasa membantu menjaga anak-anak,” ujarnya.

Amaran kepada ibu bapa benar anak main mercun – Berita Harian


Amaran kepada ibu bapa benar anak main mercun

06:08:05 AMCetakEmel Kawan
Alor Setar: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan ibu bapa yang membenarkan anak mereka bermain mercun larangan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata polis akan meningkatkan rondaan sepanjang musim perayaan ini dan akan terus mengambil tindakan termasuk menahan ibu bapa yang membenarkan anak mereka bermain mercun yang dilarang mengikut undang-undang.

Tahan peniaga mercun tiada permit

Kita akan meningkatkan kawalan, lebih-lebih lagi pada penghujung Ramadan kerana selalunya permainan mercun semakin aktif ketika waktu itu”. – Ahmad Ibrahim, Ketua Polis Kedah

Ahmad yang sebelum ini mengarahkan semua ketua polis daerah menahan peniaga mercun yang tidak mempunyai permit di sekitar bazar Ramadan di Kedah, berkata amaran berkenaan sudah berkuatkuasa sejak awal Ramadan, namun sehingga kini belum ada mana-mana pihak dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Kita akan meningkatkan kawalan, lebih-lebih lagi pada penghujung Ramadan kerana selalunya permainan mercun semakin aktif ketika itu. Kita akan kuatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Lebih tegas

“Polis akan lebih tegas kali ini kerana bermain mercun larangan memang berbahaya,” katanya pada sidang media ketika program Kacau Dodol Sempena Aidilfitri di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini semalam yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Abdul Ghaffar Rajab.
Program tersebut disertai 150 anggota polis dari 11 daerah seluruh negeri Kedah ini bergotong-royong mengacau 30 kawah dodol untuk diagihkan kepada anggota polis dan orang awam.