Sukan: Sekolah kena kreatif – Utusan


Sukan: Sekolah kena kreatif

Oleh Aznan Bakar

Muhyiddin Yassin diberi taklimat oleh Presiden Akademi Sukan Amerika Syarikat (USSA), Dr. Thomas P. Rosandich (dua dari kanan) dan Dr T.J Rosandich (kanan) semasa melawat USSA di Alabama, Amerika Syarikat, semalam.

MOBILE (Alabama) 19 Jan. – Pengurusan sekolah perlu kreatif merangka program sukan untuk pelajar bagi membantu merealiasikan dasar 1Murid 1Sukan yang dilancarkan pada 2010.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, di pihak kerajaan, usaha telah dilakukan untuk mempertingkatkan kemudahan sama ada yang berbentuk dalaman mahu pun luaran selain membaiki prasarana sedia ada.

Bagi sekolah yang tidak mempunyai kemudahan atau kemudahan tidak lengkap, katanya, pihak sekolah perlu bijak merangka program-program yang sesuai supaya setiap pelajar terlibat dalam sukan.

“Mungkin boleh adakan sukan seperti merentas desa atau boleh gunakan dewan-dewan majlis perbandaran, sekolah-sekolah berhampiran, universiti dan sebagainya untuk aktiviti sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia ketika ditemui dalam sesi lawatan kerjanya ke Alabama di sini semalam.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut melawat sekolah di bawah Program Reben Biru Amerika Syarikat iaitu Sekolah Tinggi Daphne dan turut menerima ijazah doktor kehormat antarabangsa daripada Akademi Sukan Amerika Syarikat (USSA).

Menurut Muhyiddin, apa yang penting, budaya sukan mesti dipupuk dari peringkat sekolah.

“Cara macam mana untuk membudayakannya terpulang kepada pihak sekolah. Sekolah yang sudah ada kemudahan memang mudah, tetapi bagi yang tidak ada, pengurusan sekolah kena bijak.

“Terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan sekolah untuk meluaskan pembangunan sukan di sekolah-sekolah,” katanya.

Daripada segi kepakaran pula, Muhyiddin berkata, pihak kementerian berusaha untuk memastikan kesemua 10,000 sekolah di seluruh negara memiliki sekurang-kurang seorang guru terlatih dalam Pendidikan Jasmani.

Untuk itu, katanya, Kementerian Pelajaran telah bekerjasama dengan USSA untuk melatih guru-guru Pendidikan Jasmani dengan peringkat awal membabit 1,018 guru dari seluruh negara.

Katanya, langkah itu penting supaya sekolah mempunyai guru Pendidikan Jasmani yang terlatih kerana pembangunan sukan negara bermula dari sekolah.

“Jika sekolah tidak ada sukan atau sukan mati di sekolah, maka usaha kita melahirkan juara-juara sukan adalah sukar. Usaha memperkemas dan memantapkan Pendidikan Jasmani di semua sekolah itu cukup penting kerana itu merupakan asas kepada pembangunan sukan.

“Ini tidak boleh dilihat secara terasing. Pembangunan sukan negara mesti bermula dengan pembangunan sukan di sekolah-sekolah.

“Cabaran besar kita adalah menyediakan guru-guru terlatih untuk membimbing pelajar. Pada masa ini kita sudah ada guru sukan, tetapi kemahiran mereka terbatas. Guru kena tengok keupayaan murid,” ujarnya.

Beliau berkata, USSA dipilih menjadi rakan dalam program tersebut kerana kurikulum mereka bertaraf antarabangsa dan sijil yang dikeluarkan pula diiktiraf di seluruh dunia.

Sementara itu, Naib Presiden USSA, Dr. T.J. Rosandich berkata, akademi itu yang terlibat dalam program pembangunan sukan di 65 buah negara di seluruh dunia telah terbabit dengan usaha memajukan sukan di Malaysia sejak di zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Sejak itu, katanya, akademi itu banyak terlibat dengan kerja-kerja pembangunan sukan di Malaysia termasuk menyediakan pelan induk pembangunan sukan di Sabah pada tahun 1983.

Malah katanya, USSA turut terlibat dalam program pembangunan untuk Majlis Sukan Kuala Lumpur ketika badan itu di bawah pimpinan Tan Sri Elyas Omar.

Kata Rosandich, USSA juga merupakan satu-satunya universiti di dunia yang menawarkan program sukan sepenuhnya melalui 21 fakulti yang ada di akademi itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130120/dn_06/Sukan-Sekolah-kena-kreatif#ixzz2IWi8nBJ6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bapa kesal anak hampir tertelan skru besi dalam roti – Utusan


Bapa kesal anak hampir tertelan skru besi dalam roti

PULAU PINANG 15 Feb. – Bapa seorang pelajar di sebuah sekolah menengah asrama penuh di sini mendakwa anaknya hampir tertelan sebatang skru besi ketika menikmati roti ban yang diedarkan sekolah berkenaan.

Anuar Abu Kassim, 49, berkata, kejadian berlaku pada 11 Februari lalu ketika sekolah itu mengadakan aktiviti merentas desa dan semua pelajar diberikan roti ban berkenaan sebelum acara bermula.

Menurut beliau, anaknya Nurul Ain telah memberitahu guru sekolah mengenai penemuan skru besi dalam roti itu.

“Sebagai seorang bapa, saya amat dukacita kerana kejadian ini boleh menyebabkan kehilangan nyawa anak saya.

“Saya bukan mahu meminta sebarang ganti rugi, namun sebagai seorang pengguna saya memandang serius pekara ini kerana ia melibatkan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Anuar, dia telah dihubungi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dua hari lalu mengenai kedatangan wakil syarikat pengeluar roti tempatan ke sekolah berkenaan.

“Wakil syarikat terbabit dikatakan tidak mahu perkara ini diperbesarkan dan telah mengambil roti dan skru tersebut untuk tujuan penyelidikan. Keputusan penyelidikannya hanya dimaklumkan kepada pihak sekolah pada 20 Februari ini,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan sekolah yang tidak memaklumkan pertemuan tersebut dengannya.

Anuar berkata, dia berharap agar insiden seperti itu tidak berlaku pada masa hadapan dan berharap pengeluar roti berkenaan lebih bertanggungjawab.

Sementara itu, Nurul Ain memberitahu, ketika menikmati roti berperisa coklat itu, dia tergigit benda keras.

“Apabila diteliti saya mendapatinya ia sebatang skru. Saya bernasib baik tidak menelan skru itu kerana jika tertelan saya tidak tahu apa yang akan terjadi,” katanya.