Teruk dirotan selepas ejek rakan – Kosmo


Teruk dirotan selepas ejek rakan

 

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my

 

ABDUL RAHIM menunjukkan kesan lebam dan luka pada belakang badan anaknya selepas dirotan seorang ustaz di Bukit Rambai, Melaka semalam.

 

MELAKA – Seorang bapa mendakwa anaknya yang belajar di sebuah sekolah agama swasta sejak hampir dua bulan lalu dirotan sehingga lebam semata-mata kerana kesalahan mengejek kawan-kawannya.

Abdul Rahim Abdul Wahid, 37, mendakwa, Amir Azamuddin, 14, disebat dengan rotan sebesar ibu jari pada pukul 7.30 pagi Khamis lalu oleh seorang guru Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar Rashidin, Alor Gajah sebanyak 10 kali di belakang, bahu kiri dan kedua-dua betis sehingga lebam-lebam dan luka.

“Saya tidak kisah anak saya dirotan tetapi biarlah hukuman itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan bukan ikut emosi sampai cedera,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Rambai di sini semalam.

Katanya, Amir Azamuddin memberitahu, kejadian mengejek kawan-kawannya itu berlaku di asrama mereka di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada malam Rabu lalu sebelum seorang rakannya mengadu perkara berkenaan kepada guru terbabit keesokan harinya.

“Sebaik menerima aduan, guru itu yang juga seorang ustaz berjumpa anak saya dan tiga lagi rakannya sebelum merotan mereka,” ujarnya.

Hukuman itu dijalankan di madrasah tersebut yang terletak bersebelahan taman berkenaan.

Menurut Abdul Rahim, anaknya dirotan sebanyak sepuluh kali sedangkan rakan-rakannya sebanyak empat atau lima sebatan sahaja.

Dakwa dipukul guru muzik – Metro


Dakwa dipukul guru muzik

Oleh Siti Sofia Md Nasir
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PRIHATIN...aktivis masyarakat Klang, Peter Tan (kiri) menunjukan kesan lebam pada pipi Ng, sambil diperhatikan ibunya.
PRIHATIN…aktivis masyarakat Klang, Peter Tan (kiri) menunjukan kesan lebam pada pipi Ng, sambil diperhatikan ibunya.

KLANG: Hanya kerana menegur rakan sekelasnya bermain satu permainan tangan, seorang pelajar sekolah swasta cedera di kepala, muka, mulut, kaki dan bahagian belakang kerana dipukul guru muziknya.

Menceritakan semula kejadian pada 29 Februari lalu, mangsa, Ng Shoon Vee, 14, berkata, guru muzik berumur 50 tahun itu mengarahkan dia keluar dari kelas tanpa memberitahu kesalahannya.
“Saya tidak tahu apa kesalahan saya, tetapi cikgu terus mengarahkan saya ke luar kelas sebelum merotan bahagian belakang, kaki dan tangan saya.

 

“Saya sempat menepis rotan itu, tetapi cikgu menumbuk pula muka saya bertalu-talu melebihi 10 kali hingga saya terhantuk ke dinding,” katanya dalam sidang media di Kelab Eksekutif Klang, semalam.
Ng berkata, guru terbabit hanya berhenti memukulnya selepas menyedari kehadiran guru lain di kawasan itu.
Ibu mangsa, Tan Wan Ching, 40, berkata, selepas kejadian itu dia terus membuat laporan polis dan membawa anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

 

 

“Saya juga sudah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pengetua sekolah berkenaan, namun guru terbabit menceritakan cerita yang sebaliknya,” katanya.
Wan Ching berkata, dia harap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap guru itu sebelum lebih ramai pelajar lain menjadi mangsanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
Jurucakap Jabatan Pelajaran Selangor berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, namun jika pelajar terbabit bersekolah di sekolah swasta, Jabatan Pelajaran tiada kuasa.

e-mel anda: Kuasa guru disiplin pelajar – Berita Harian


e-mel anda: Kuasa guru disiplin pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BEZA ‘budak sekolah’ dulu dengan ‘budak sekolah’ sekarang begitu ketara di mana pelajar zaman dulu, apabila dirotan hingga lebam di tapak tangan atau di punggung kerana tidak membuat kerja sekolah yang guru berikan adalah perkara biasa.

Mereka tidak akan mengadu kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kerana jika mereka tahu, akan bertambah lebam kena rotan.

Pelajar sekarang terlalu manja. Jika dijentik sedikit atau dicubit oleh guru yang ada bekas lebam saja, mulalah ibu bapa datang ke sekolah mengadu kepada guru besar.

Tidak cukup dengan itu, mereka akan buat laporan polis dan memanggil pemberita untuk kejadian disiarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Jika inilah sikap kebanyakan ibu bapa yang kerjanya suka mengadu hingga ke peringkat Kementerian Pelajaran hanya kerana denda cubit atau ketuk ketampi, bererti kuasa guru untuk mendidik dan mendisiplinkan pelajarnya menjadi terhad.
Tindakan ibu bapa murid manja ini akan mematahkan semangat guru untuk mengajar adat dan adab ketika belajar dan berikutan itu, ada antara guru kini membiarkan saja murid nakal dan tidak berdisiplin itu.

Maka lahirlah murid tidak lagi menghormati guru kerana kini di belakang pelajar ada ibu bapa yang sanggup ‘menyerang’ sesiapa saja yang cuba ‘mencubit’ anak mereka.

Ibu bapa perlu lebih rasional kerana tiada guru yang merotan hingga patah tangan atau patah riuk tulang muridnya kerana segala yang dilakukan itu hanya sebagai pengajaran yang menunjukkan keprihatinan guru yang sayangkan muridnya supaya jadi manusia berguna.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban