Laung azan panik lihat pusaran angin – Berita Harian


Laung azan panik lihat pusaran angin

2013/01/22 – 00:35:47 AMCetakEmel Kawan
Mersing: Dalam ketakutan dan panik, saya hanya mampu melaungkan azan sekuat hati, sejurus melihat pusaran angin kencang dari arah laut, sedang menghala ke arah surau.

Sejurus azan berakhir, saya nampak pusaran angin itu bertukar arah menghala ke Blok B sebelum menerbangkan sebahagian bumbung bangunan itu dan garaj di situ, kata pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing (SMKM), Sapie Rahmat.

Sapie, 43, berkata ketika kejadian jam 7.50 malam kelmarin, beliau sedang bertugas sendirian di pondok pengawal sekolah itu sebelum menyedari pergerakan pusaran angin kencang itu.

Akibat kejadian itu, kerosakan bumbung yang dialami menyebabkan beberapa bilik pentadbiran dan perpustakaan di sekolah itu dimasuki hujan lebat.

Kejadian itu menyebabkan kelengkapan dan harta sekolah yang ada dalam bilik berkenaan termasuk komputer, mesin cetak, bahan bacaan di perpustakaan rosak selain bekalan elektrik terputus, katanya mengimbas kembali angin kencang yang melanda selama kira-kira 10 minit itu.

Pegawai Pelajaran Daerah, Md Jais Samat, yang mengesahkan kejadian itu, berkata sebaik menerima maklumat kejadian itu, beliau menugaskan seorang pegawainya ke lokasi.

Pekerja mesin cetak dipenjara dua tahun cabul kanak-kanak – Bernama


Pekerja mesin cetak dipenjara dua tahun cabul kanak-kanak

25 September 2012

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja membaik pulih mesin cetak dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, minggu lepas.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memerintahkan Rikki Azaraai Khan Agha Khan, 20, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 September lepas.

Rikki Azaraai Khan didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak itu di tangga tengah tingkat 3, Blok B, Teratak Muhibbah 2, Taman Desa, Brickfields, di sini pada 4.15 petang, 19 September lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang suri rumah berusia 32 tahun menerima aduan daripada kawan anaknya bahawa anak perempuannya diganggu seorang lelaki lalu dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anaknya berdiri dalam keadaan menangis dan seluar dalam anaknya berada di lantai.

Suri rumah itu kemudian ternampak seorang lelaki berlari menuruni tangga, lalu mengejarnya dengan bantuan penduduk sekitar sehingga tertangkapnya lelaki berkenaan sebelum membawa anaknya ke balai polis untuk membuat laporan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang dapat memberi keinsafan, amaran dan pengajaran terhadap tertuduh.

“Tertuduh berusia 20 tahun tergamak melakukan perbuatan sedemikian (mencabul) kepada kanak-kanak berumur enam tahun. Perbuatan itu mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami trauma,” katanya. – Bernama