Kementerian Pelajaran diminta atasi kekurangan guru di pedalaman Kelantan – Bernama


Kementerian Pelajaran diminta atasi kekurangan guru di pedalaman Kelantan

 

GUA MUSANG 26 Mac – Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta Kementerian Pelajaran melihat isu kekurangan guru di sekolah-sekolah pedalaman di Kelantan bagi mengelak prestasi pelajar terjejas.

Katanya, masalah itu harus ditangani segera selaras dengan usaha kerajaan mahu memastikan pencapaian anak luar bandar setanding dengan yang di bandar.

“Kita faham dengan luahan ibu bapa mengenai masalah tidak cukup guru itu dan saya akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Pelajaran,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sungai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan telah membina banyak sekolah di pedalaman, sama ada sekolah rendah atau menengah, untuk meningkatkan lagi kecemerlangan pelajar luar bandar yang sebelum ini sukar bersaing dengan pelajar di kawasan bandar.

“Sekarang kita telah nampak kemajuan yang dicapai pelajar sekolah luar bandar hingga semakin ramai mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi,” katanya.

Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk pembelian buku bagi perpustakaan sekolah itu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130326/dn_27/Kementerian-Pelajaran-diminta-atasi-kekurangan-guru-di-pedalaman-Kelantan#ixzz2OcWEv6lP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cuepacs: Sediakan pinjaman mudah elak kakitangan awam jadi mangsa Along – Bernama


Cuepacs: Sediakan pinjaman mudah elak kakitangan awam jadi mangsa Along

25 Mac 2013
Omar Osman
Omar Osman

KUALA LUMPUR – Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) disaran mewujudkan skim pinjaman mudah untuk penjawat awam.

Dalam membuat cadangan itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, ia bagi mengelak penjawat awam daripada membuat pinjaman dari peminjam wang haram atau ‘Along’ dan agensi pinjaman yang mengenakan faedah tinggi yang dilihat membebankan.

“Skim pinjaman ini sesuai untuk perkara seperti kematian, persekolahan anak dan memperbaharui cukai jalan yang membolehkan peminjam memperoleh wang segera tanpa penjamin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung pertama KSA1M di Wisma Cuepacs di sini, hari ini.

Omar berkata melalui skim itu, penjawat awam misalnya boleh meminjam maksimum RM2,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga hingga enam bulan melalui potongan gaji.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, Omar menggesa semua penjawat awam menjadi anggota KSA1M untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Sehingga kini, 200 penjawat awam telah mendaftar sebagai anggota koperasi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata KSA1M akan mengendalikan dua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) iaitu di Bandar Tun Razak di sini dan Presint 16, Putrajaya selain peruntukan RM1.3 juta yang disalurkan KPDNKK untuk tujuan itu.

Omar berkata kedua-dua kedai dan peruntukan itu akan diserahkan secara rasmi April ini.

KSA1M ditubuhkan Februari tahun lalu dan keanggotaannya terbuka kepada semua penjawat awam untuk menambah pendapatan kumpulan pekerja itu. – Bernama

CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir – Berita Harian


CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir

Oleh Syed Azwan Syed Ali

2012/05/30

KUALA LUMPUR: CUEPACS mencadangkan gred minimum N17 pembantu tadbir dikaji semula selain membuka ruang kenaikan pangkat golongan itu daripada gred maksimum N26 kepada gred bersepadu N42.

Cadangan itu bagi membolehkan kenaikan kerjaya dan pangkat lebih luas kepada 80,000 pembantu tadbir yang dikelompokkan dalam kumpulan sokongan kerajaan.

CUEPACS juga mencadangkan gelaran jawatan itu ditukar kepada pegawai kerani atau pegawai hemat tadbir bagi melambangkan peranan kelompok itu selaku kumpulan sokongan yang melicinkan urusan pentadbiran.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan melalui suruhanjaya khas penambahbaikan sistem saraan baru perjawatan awam yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Katanya, kajian gred kelompok kakitangan kerajaan itu perlu dilakukan sejajar perubahan tuntutan tugas dan cabaran golongan itu, selain peningkatan taraf hidup rakyat.

“Cadangan sebenar (gred minimum) dibincang pada 12 hingga 14 Jun ini dalam bengkel semakan skim gred gaji penjawat awam anjuran CUEPACS di Muar, Johor.

“Cadangan dibawa kepada suruhanjaya yang akan diumumkan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-16 Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah Pendidikan (KEPTAN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Omar berkata, kajian semula gred minimum N17 bermakna kelompok itu akan menerima kenaikan gaji pokok yang kini dibayar RM926.60 sebulan.

“Gred (minimum) jawatan jururawat juga U19, jadi (gred bagi jawatan) pembantu tadbir kerajaan juga perlu dikaji semula,” katanya.

Katanya, kenaikan gred bersepadu memberi mereka peluang kenaikan pangkat gred bersepadu yang mengambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan kepada organisasi tanpa perlu merujuk kepada kelulusan akademik.

“Maknanya (bagi gred bersepadu) tak perlu ada ijazah atau diploma tetapi ambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan. Namun, bukan semua boleh dapat gred ini, hanya mereka yang layak,” katanya.

Kementerian Pelajaran peruntuk RM87 juta bina sekolah baru dan baik pulih – Bernama


Kementerian Pelajaran peruntuk RM87 juta bina sekolah baru dan baik pulih

21 April 2012

GUA MUSANG – Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM87 juta tahun ini bagi membina sekolah baru dan membaik pulih bangunan sekolah sedia ada di seluruh negara untuk memberi keselesaan kepada guru dan pelajar.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kerajaan memberi peruntukan besar itu setelah kementerian mendapati banyak sekolah baru diperlukan selain keadaan sekolah uzur dan perlu diperbaiki.

“Kementerian sentiasa mengambil berat mengenai perkara itu supaya setiap guru dan pelajar dapat memberi tumpuan sepenuh masa kepada kecemerlangan pendidikan.

“Saya sentiasa turun padang untuk melawat mana-mana sekolah yang tidak cukup bangunan atau bangunan sedia ada yang rosak kerana kita tidak mahu masalah itu yang menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Chiku di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan berhasrat dapat melaksanakan pengajian sesi pagi di semua sekolah bagi membolehkan pelajar menghadiri kelas tambahan pada waktu petang.

“Kita mempunyai 7,712 sekolah rendah di seluruh negara, tetapi hanya 806 sekolah sahaja yang masih mengadakan dua sesi. Daripada 8,410 sekolah menengah, sebanyak 1,583 sekolah lagi yang masih melaksanakan pengajian dua sesi,” katanya.- Bernama