Ibu bapa manfaat Festival Pendidikan Hari Guru – Metro


Ibu bapa manfaat Festival Pendidikan Hari Guru

 0  0 Google +0  0  0

Seremban: Festival Pendidikan Hari Guru 2013 yang berbaki sehari lagi dimanfaatkan penduduk di negeri ini untuk berkunjung ke gerai pameran di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini.

Lebih menarik, kebanyakan ibu bapa memanfaatkan cuti hujung minggu membawa anak mereka berkunjung ke festival itu untuk mendapatkan pelbagai maklumat pendidikan.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor Nor Liza Mohd Nazir, 42, berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu membawa lima anak berusia lapan hingga 13 tahun berkunjung ke gerai pameran di festival itu.

 

“Hari biasa saya mengajar, jadi tiada masa membawa anak. Oleh itu, kesempatan hujung minggu saya manfaatkan dengan membawa mereka ke sini untuk memberi pendedahan dan secara tidak langsung memupuk minat belajar.

“Malah, gerai pameran disediakan sangat menarik perhatian, bukan saja untuk pelajar malah bagi guru berikutan pelbagai alat bantu mengajar dipamerkan,” katanya.

Pelajar Nur Amira Azrul, 12, berkata, dia berminat dengan bahan bacaan Bahasa Inggeris pada pameran itu.

 

“Memang seronok bila diperkenalkan dengan bahan bacaan Bahasa Inggeris yang menarik di gerai pameran Grolier.

“Malah, sistem pembelajaran diperkenalkan begitu mudah untuk pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan cepat dan berkesan.

 

 

“Ibu saya membelinya untuk adik dan kami boleh berkongsi belajar bersama di rumah selain membantu saya menjawab peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti,” katanya.

Pengurus Jualan Grolier, Jasvinder Sing berkata, sepanjang festival bermula sejak 14 Mei lalu, sambutan diterima sangat baik dan menggalakkan.

“Di gerai pameran ini, kami memperkenalkan aplikasi serta beberapa bahan bacaan untuk kanak-kanak mengikut peringkat usia iaitu bermula dari umur lapan hingga 13 tahun.

“Semua bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris dan kebanyakan pengunjung adalah ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Cadangan Seorang Jururawat Satu Sekolah – Liow – Bernama


Cadangan Seorang Jururawat Satu Sekolah – Liow

BENTONG: Kementerian Kesihatan bercadang menempatkan seorang jururawat di setiap sekolah dalam usaha membantu pelajar meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan diri.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata buat masa ini pihaknya masih membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pelajaran di mana buat permulaan, program itu akan dimulakan di sekolah rendah.

“Cadangan seorang jururawat di sekolah ini dilihat boleh membantu para pelajar menjaga kesihatan dan kebersihan diri selain cara pemakanan mereka.

“Sebelum ini, jururawat hanya datang ke sekolah untuk mengajar pelajar cara gosok gigi dan sebagainya, selepas ini pelajar boleh terus merujuk kepada jururawat yang ditempatkan di sekolah masing-masing sekiranya berdepan dengan masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Program Dapat Ajar Semua Subjek A (Dasar) Dalam Peperiksaan Awam bagi Parlimen Bentong’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bentong di sini, Sabtu.

Beliau berkata selain itu kementeriannya juga bercadang memperkenalkan subjek berkaitan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran pelajar dalam aspek kesihatan termasuk menangani tekanan dalam pelajaran.

Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata tekanan kini dilihat sangat serius dalam kalangan pelajar dan beliau berharap subjek itu dapat membantu mereka berdepan dan menangani tekanan dengan bijak.

“Masalah mental dalam kalangan pelajar kini meningkat dan untuk itu pelajar perlu didedahkan dengan keupayaan menangani tekanan manakala guru pula perlu membimbing mereka bagaimana cara mengatasi tekanan itu,” katanya.

Menurutnya antara punca tekanan dalam kalangan pelajar adalah daripada ibu bapa dan guru yang mahukan pelajar memberikan keputusan cemerlang dalam setiap subjek walaupun sedar ia di luar kemampuan pelajar.

Katanya ibu bapa sepatutnya menanamkan minat belajar di dalam diri mereka dengan cara yang betul manakala guru perlu sentiasa kreatif dan inovatif ketika mengajar, bukannya terlalu menekan pelajar. – BERNAMA