Buka minda pelajar – Metro


Buka minda pelajar
Oleh Nor Shafinaz Sari
am@hmetro.com.my

MELAKA: “Bantuan Netbook 1Malaysia kepada pelajar sekolah langkah baik oleh kerajaan bagi membuka minda dan meningkatkan kemampuan pembelajaran kanak-kanak. “Seperti anak saya, sejak menggunakan netbook berkenaan, pembelajarannya bertambah baik,” kata peniaga, Sofiah Zakariah, 45.

Menurutnya, sejak menerima netbook berkenaan, anaknya jarang keluar rumah untuk bermain kerana lebih gemar belajar menggunakan netbook itu.
“Anak saya juga dapat mencari maklumat dengan mudah melalui internet, sekali gus meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, bantuan netbook itu meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah yang sememangnya tidak mampu membeli komputer riba berkenaan.
Bagi pelajar, Mohd Azmi Razali, 15, berkata, dia menggunakan netbook itu untuk meningkatkan prestasinya dalam pelajaran agar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.
“Adik-beradik saya lapan orang, kalau hendak beli netbook sendiri, keluarga tidak mampu. Kini, kerajaan sudah bagi dan saya akan menggunakannya sebaik mungkin.

“Banyak maklumat diperoleh daripada internet yang membantu saya dalam mata pelajaran diajar di sekolah,” katanya.
Mohd Azmi berkata, dia tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada guru di sekolah kerana jika tidak faham, internet boleh dijadikan rujukan.

Suri rumah, Ramlah Babah, 62, berkata, pemberian Netbook 1Malaysia itu menunjukkan kerajaan mengambil berat serta prihatin terhadap pelajaran rakyat terutama anak golongan berpendapatan rendah.
“Usaha kerajaan ini sesuatu yang baik untuk pelajar terutama kepada anak golongan berpendapatan rendah.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dan bantuan ini sememangnya membantu pelajaran anak,” katanya.