Remaja lelaki larikan murid tahun lima direman – Utusan


Remaja lelaki larikan murid tahun lima direman

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Polis menahan seorang remaja lelaki yang dipercayai melarikan seorang murid tahun lima ketika mangsa keluar bersama neneknya di sebuah pasar raya di Bukit Sentosa, Rawang di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi (gambar) berkata, remaja itu ditahan semalam dan direman selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Beliau berkata, selain itu, polis turut menyiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol ekoran pemeriksaan perubatan mendapati kedua-duanya pernah melakukan hubungan seks.

“Hasil pemeriksaan doktor menunjukkan terdapat kesan koyakan lama di kemaluan mangsa. Soal siasat terhadap suspek dan mangsa, mereka mengakui pernah melakukan hubungan seks sebelum ini.

“Mangsa kini mendapatkan rawatan doktor dan psikologi di Hospital Selayang manakala remaja lelaki itu dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Baru untuk menjalani ujian air kencing dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Teratai Kamilia Mohd. Hafiza, 11, yang dipercayai dilarikan teman lelakinya berusia 17 tahun ketika mangsa keluar bersama neneknya di sebuah pasar raya.

Bagaimanapun, setelah hampir seminggu kehilangannya, mangsa dan teman lelakinya itu ditemui selamat oleh bapa saudara murid tersebut di sebuah pusat beli-belah di Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam, sebelum dibawa ke balai polis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130120/je_01/Remaja-lelaki-larikan-murid-tahun-lima-direman#ixzz2IWhZrLvo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Polis tahan empat lelaki culik anak doktor – Utusan


Polis tahan empat lelaki culik anak doktor

ALOR SETAR 29 Sept. – Polis memberkas empat lelaki yang disyaki menculik anak seorang doktor pakar kulit berusia 13 tahun di sini Selasa lalu sebelum menuntut wang tebusan sebanyak RM500,000.

Difahamkan, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dalam serbuan berasingan kelmarin dan awal pagi ini.

Suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Kuala Kedah di sini malam kelmarin manakala tiga lagi rakannya diberkas di sebuah kuil yang dalam pembinaan di Taman Sutera, Sungai Petani pada pukul 2 pagi ini.

Dalam serbuan di Taman Sutera, salah seorang suspek dikatakan bertindak menyorok di dalam kuil itu selama hampir dua jam sebelum polis memberkasnya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sila dapatkan naskhah Mingguan Malaysia hari ini.

SBPA : Jangan ketepikan pandangan CUEPACS – Utusan


SBPA : Jangan ketepikan pandangan CUEPACS

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Jawatankuasa khas membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diharap tidak mengetepikan pandangan wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, segala input yang diperoleh daripada pihaknya serta penjawat awam perlu digembleng oleh jawatankuasa tersebut agar sebuah penyelesaian memuaskan semua pihak dapat dikeluarkan.

“CUEPACS juga berharap tempoh kajian selama dua bulan sehingga 16 April depan dipercepatkan supaya sebuah SBPA baru yang efisien dapat diperkenalkan secepat mungkin.

“Bagaimanapun, SBPA tersebut perlulah dikaji dengan komprehensif mengambil kira pandangan CUEPACS, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan lain-lain wakil kerajaan supaya tiada pertikaian akan timbul selepas ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar jawatankuasa khas tersebut diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA.

Najib berkata, skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.

Jelas Omar, antara isu yang memerlukan penelitian terperinci daripada jawatankuasa yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam itu termasuk kekeliruan kenaikan gaji kategori JUSA dan pengenalan Kumpulan Premier.

Katanya, jawatankuasa tersebut juga perlu bersikap berkecuali dengan mengkaji skop SBPA agar ia merangkumi semua peringkat penjawat awam dan tidak hanya terhad kepada kakitangan Gred 54 ke bawah sahaja.

Beliau menambah, pihaknya turut mendesak agar usul yang diterbitkan jawatankuasa melibatkan empat wakil CUEPACS sebelum ini diambil serius oleh kerajaan bagi mengelakkan masalah berbangkit.

“CUEPACS juga membantah sekeras-kerasnya jika gaji penjawat awam mula dibayar mengikut SBPA sebelum keputusan penambahbaikan daripada jawatankuasa tersebut dikeluarkan,” ujarnya.