‘Minta RM1 saya tidak lama hidup’ – Metro


‘Minta RM1 saya tidak lama hidup’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASIR PUTEH: “Pertengahan Ramadan lalu, dia asyik meminta RM1 daripada datuknya sambil melafazkan kata-kata ‘tidak lama hidup’ manakala tiga hari lalu, dia asyik bermanja dengan abang dan kakaknya, seolah-olah enggan berpisah dengan mereka.

“Pada pagi kejadian, dia juga sempat duduk di riba saya sambil merengek seperti bayi, padahal sebelum ini tidak pernah berbuat demikian,” kata Zaini Mat Hasan, 45, ibu kepada Nik Nur Hidayah Nik Man, 11, yang lemas ketika berkelah bersama keluarga di Lagun Kuala Semerak, Tok Bali, dekat sini, petang kelmarin.
Zaini yang juga orang kelainan upaya (OKU) berkata, masih terngiang-ngiang celoteh anaknya itu yang asyik meminta RM1 daripada datuknya, Arifin Awang, 70, sambil melafazkan kata-kata ‘tidak lama hidup’.

 

Katanya, dia tidak mengesyaki sikap pelik anaknya itu sehinggalah Nik Nur Hidayah pergi menghadap Ilahi akibat mati lemas, kelmarin.
“Sepuluh tahun lalu, ayahnya Nik Man Arifin meninggal dunia, kini gilirannya pula dan saya reda. Sejak kebelakangan ini, anak saya banyak bersikap pelik,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA), di sini. Mengimbas kejadian berkenaan, Zaini berkata, dia dan anaknya bersama 20 ahli keluarga lain tiba di lagun itu pada jam 2.30 petang dari Kampung Gong Penaga, Jerteh, Terengganu untuk berkelah sempena cuti Aidilfitri.
Katanya, ketika itu, dia berada di tepi lagun bersama sepupu, Mohd Zamri Ibrahim, 37, sambil menikmati hidangan, manakala Nik Nur Hidayah mandi bersama kakaknya, Nik Nasuha, 16, dan saudaranya yang lain. “Tidak lama kemudian, saya terdengar suara jeritan meminta tolong dan melihat Nik Nur Hidayah dan Nik Nasuha tenggelam timbul di dalam air.

 

 

“Saya terus memanggil Mohd Zamri supaya segera memberi pertolongan kepada mereka sebelum berjaya menyelamatkan Nik Nasuha, namun Nik Nur Hidayah gagal diselamatkan apabila dia terus tenggelam ke dasar lagun,” katanya.