JERANTUT: Seorang kerani sekolah, Mohd Fahmi Zulkifli, 26, dari Felda Kota Gelanggi 1, di sini, mendakwa mengalami muntah dan cirit-birit selepas makan dua sudu ubat batuk yang tamat tarikh luput diberikan Hospital Jerantut, kelmarin.
Mangsa dipercayai mengalami kesan sampingan akibat minum ubat batuk tamat tempoh dibekalkan hospital berkenaan.
“Saya bersama isteri batuk sejak dua tiga hari lalu, tetapi hanya saya pergi ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sebaik pulang dari hospital, saya terus minum dua sudu ubat batuk itu.
“Namun, tidak lama selepas itu, tiba-tiba kepala pening dan muntah-muntah selain mengalami cirit-birit.
“Saya hanya tahu punca muntah dan cirit-birit selepas melihat tarikh luput tercatat pada botol ubat itu. Tarikh yang tertera 30 Mei 2011,” katanya.
Menurutnya, dia pergi semula ke hospital berkenaan, semalam memaklumkan mengenai kesilapan itu.
“Saya bertemu seorang petugas lelaki di hospital dan memberitahu mengenai ubat yang sudah tamat tempoh serta kesan sampingan saya alami.
“Namun, saya kecewa, petugas terbabit menyatakan ubat itu tidak ada apa-apa, cuma kurang memberi kesan kepada pesakit, tetapi tidak memudaratkan,” katanya.
Mohd Fahmi kesal dengan jawapan diberikan petugas terbabit kerana pihak hospital sepatutnya bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukan.
Dia berkata, pihak hospital sepatutnya melupuskan semua ubat sudah tamat tempoh dan berharap perkara sebegitu tidak berulang pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengarah Hospital Jerantut, Dr Devaraj Salam berkata, pihaknya amat kesal dengan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku itu.
“Ini kejadian pertama dan saya juga kesal dengan sikap petugas yang memberitahu pesakit ubat yang tamat tempoh tidak memberi kesan sampingan.
“Kedua-dua kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh memudaratkan pesakit,” katanya selepas menziarahi Mohd Fahmi di Felda Kota Gelanggi 1, dekat sini, sejurus mangsa pulang ke rumahnya, semalam.
Dr Devaraj berkata, pihaknya sudah mengambil maklumat serta butiran kejadian daripada Mohd Fahmi dan pemeriksaan lanjut ke atas mangsa akan dijalankan serta-merta kerana bimbang sekiranya kesan sampingan dialami berlarutan.
Bagaimanapun, beliau berkata, muntah dan cirit-birit dialami Mohd Fahmi berkemungkinan berpunca daripada masalah alahan ubat.
“Kami akan membuat siasatan berhubung kejadian itu dan tindakan akan diambil terhadap petugas yang melakukan kesalahan itu,” katanya.