MKKM bimbang hukuman ringan perogol gadis bawah umur – Utusan


MKKM bimbang hukuman ringan perogol gadis bawah umur

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) melahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan hukuman ringan oleh mahkamah dalam dua kes rogol melibatkan gadis bawah umur, baru-baru ini.

Kebimbangan tersebut disuarakan oleh Pengerusinya, Tan Sri Zaleha Ismail yang berpendapat hukuman ringan tersebut seolah-olah mengabaikan mangsa dan memberikan keutamaan terhadap pesalah.

Jelas beliau, badan perundangan langsung tidak mengambil perhatian terhadap kesengsaraan yang bakal dilalui oleh kanak-kanak yang teraniaya.

“Bukankah kanak-kanak itu juga harus diberikan pertimbangan sewajarnya?

“Adalah diragui sama ada hak, perlindungan dan kepentingan yang terbaik apatah lagi masa depan kanak-kanak bawah umur telah dan akan terus dipertahankan dan dilindungi dalam kes yang melibatkan rogol bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.