Betul-betul buat kejutan – Metro


Betul-betul buat kejutan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Hasrat dua pelajar tingkatan empat melakukan kejutan meraikan hari jadi rakan sekelas bertukar tragedi apabila mereka maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh pokok dan terbabas ke longkang di Jalan Taman Tasek, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Nurfarah Adila Md Azmi dan Nurul Isnaini Muhayuddin, masing-masing berusia 16 tahun yang menaiki motosikal Yamaha Nouvo S dan menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendeta Zaaba, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan.
Rakan mangsa, Puteri Lily Ayumi Aminuddin, 16, berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama seorang lagi rakan, Nor Emilia Zulkifli, 16, menunggang motosikal Modenas Kriss mengekori kedua-dua mangsa ke Taman Tasik Jaya, di sini.

 

“Kami mahu melakukan kejutan menyambut hari jadi rakan sekelas di tingkatan 4 Fikri, Elly (Norelizah Zulkifli, 16) di Flat Seroja, di sini.
“Dalam perjalanan, Nurul Isnaini menunggang motosikal yang dipinjam dari rakan sekolah dengan laju dan menggunakan hanya sebelah tangan menyebabkan saya menegurnya kerana berbahaya.
“Namun, dia terus menunggang laju sehingga sampai di satu persimpangan sebelum gagal mengawal motosikal sehingga melanggar pembahagi jalan dan pokok sebelum terbabas ke longkang,” katanya yang memberitahu kedua-dua rakannya itu tidak memakai topi keledar.

 

FotoANGGOTA polis menutup mayat mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Sementara itu, Norelizah yang ditemui di tempat kejadian tidak menyangka kejutan hari jadi yang mahu dilakukan empat rakannya itu bertukar tragedi apabila dua daripada mereka meninggal dunia.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai sambutan ini kerana tidak dimaklumkan.

 

“Ketika waktu rehat, saya terkejut apabila Nurul Isnaini tiba-tiba memberikan wang RM1.50 sebagai belanja hari jadi saya.
“Saya tidak sangka itu pemberian terakhir daripada rakan karib saya,” katanya yang sedih dengan pemergian dua rakannya itu.
Ibu Nurul Isnaini, Siti Aishah Husin, 47, berkata, dia dan suami, Muhayuddin Sulaiman, 48, tidak tahu anak mereka menunggang motosikal kerana di rumah, dia dihalang berbuat demikian.
Katanya, suaminya sering melarang anaknya itu menunggang motosikal kerana tiada lesen memandu.
Siti Aishah yang juga kakitangan Bahagian Aset Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan berkata, dia tidak tahu Nurul Isnaini pulang awal dari sekolah, semalam, kerana kebiasaannya pada Selasa hingga Jumaat, anaknya itu dibenarkan pulang pada jam 4.30 petang.
“Hanya setiap Isnin, pelajar pulang pada jam 2.40 petang. Namun, hari ini (semalam), dia dibenarkan pulang awal,” katanya yang menghantar Nurul Isnaini setiap hari ke sekolah dari rumahnya di Taman Harmonium Utama, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/25

Pelajar koma dirempuh motosikal – Sinar Harian


Pelajar koma dirempuh motosikal

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 April 2013
Pelajar koma dirempuh motosikal
Keadaan Mohd Khirul Fazil yang masih koma selepas kemalangan itu.

ALOR GAJAH – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah, parah selepas dirempuh sebuah motosikal dalam kejadian langgar lari di Jalan kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Mohd Khirul Fazil Jasferi, 13, sedang melintas jalan dirempuh motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang seorang lelaki awal 20-an.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa teragak-agak melintas jalan dan berhenti di garisan tengah selepas melihat sebuah motosikal ditunggang laju dari arah Brisu ke Masjid Tanah.

“Ketika itu, mangsa bersama sepupunya, Mohd Habrie Abu Bakar, 15, namun sudah berada di seberang jalan dan mangsa cuba melintas kerana bimbang tertinggal bas sekolah.

“Setibanya di garisan tengah, sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan merempuh mangsa menyebabkannya tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu bertindak menghubungi ibu mangsa sebelum membawanya ke klinik berdekatan,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Merintih sakit di pangkuan abah – Metro


Merintih sakit di pangkuan abah

 0  0 Google +0  0  0

Gua Musang: “Sakit abah, sakit,” rintih pelajar 14 tahun kepada bapanya sebelum meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 45.7 Jalan Gua Musang – Kuala Krai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, Mohamad Shaffiq Ikhwan, 14, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh 2 meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Kesihatan Bandar Ciku, dekat sini, akibat cedera parah di badan.
Kemalangan berlaku apabila Mohd Shaffiq yang menunggang motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Mohd Hafiz Faadzil, 16, terbabas memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta Proton Persona yang dalam perjalanan dari Ketereh, Kota Bharu ke Puchong, Selangor.

 

Mohd Hafiz cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai, manakala pemandu dan tiga penumpang kereta itu tidak cedera.
Mayat Mohamad Shaffiq yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam RKT KESEDAR Paloh 2 pagi semalam.
Bapa Mohd Shaffiq, Zulkifli Daud, 49, dia berjumpa anaknya 10 minit di simpang tiga RKT KESEDAR Paloh 2 kira-kira 10 minit sebelum kemalangan.

 

Menurutnya, anaknya tidak memaklumkan hendak ke mana dan melihat anaknya itu menunggang motosikal bersama rakan ke arah Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
“Saya seperti tidak percaya kerana selepas 10 minit bertemunya, seorang rakan menghubungi saya memberitahu anak kemalangan. Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dia terbaring di tepi jalan raya.

 

“Pilu hati kerana ketika memeluknya dia merintih sakit berulang kali. Selepas 20 minit dibawa ke Pusat Kesihatan Bandar Ciku, dia meninggal dunia di depan saya,” katanya Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Tiga maut masa lumba – Kosmo


Tiga maut masa lumba

 

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

 


MAHARAMI (kanan) menceritakan mengenai kemalangan yang
menimpa anaknya ketika ditemui di Batu Pahat semalam.

 

BATU PAHAT – Tiga lelaki termasuk dua pelajar sekolah menemui ajal apabila motosikal yang mereka naiki untuk berlumba bertembung sesama sendiri di Kilometer 14, Jalan Simpang Lima-Parit Sulong di sini semalam.

Kejadian pukul 1.45 pagi itu menyebabkan seorang mekanik, Muhamad Fetri Kamsani, 21, dari Parit Puasa; Muhamad Sharul Ramadhan Maharami dan Syazwan Muhammad Rosdi masing-masing berusia 14 tahun dari Parit Haji Abdul Salam, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa dipercayai sedang berlumba dengan menaiki dua buah motosikal.

Katanya, Muhamad Fetri serta Muhamad Sharul masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dan Modenas Kriss manakala Syazwan merupakan pembonceng Muhamad Sharul.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Polis ‘palsu’ rogol remaja – Sinar Harian


Polis ‘palsu’ rogol remaja
SITI SHAHROSAMRIRAH SHAHARMAN
1 Ogos 2012

Mohd Harmozi (kiri) dan Rizal Azlie (kanan) memarahi petugas media merakamkan gambar mereka di Mahkamah Sesyen, semalam.
AYER KEROH – Dua sahabat dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan akibat melakukan perbuatan keji dengan merogol seorang remaja sejurus menyamun dan menyamar sebagai anggota polis, dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar di Mahkamah Sesyen di sini, selepas Mohd Harmozi Abdul Ghani, 28, dan Rizal Azlie Abdullah, 34, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pada hari ditetapkan perbicaraan, semalam.

Hukuman itu selepas mengambil kira kelakuan jenayah berat dan kejam dilakukan secara bersama-sama tertuduh dalam satu transaksi.

“Walaupun kamu sudah insaf terutama bersempena Ramadan ini, kamu harus terima hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berpura-pura sebagai penjawat awam memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada pasangan remaja berusia 14 dan 17 tahun di sekitar Pantai Puteri, Tanjung Keling, kira-kira jam 11 malam pada 23 Disember 2010.

Kedua-duanya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta seorang daripada mangsa dengan mengambil sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan dua telefon bimbit di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Atas kesalahan itu, kedua-duanya yang tidak mempunyai pekerjaan dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mereka juga didakwa merogol seorang daripada mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Tanah Wakaf, Taman Bukit Rambai Jaya di sini, antara jam 11.30 malam dan 1.30 pagi, tarikh sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Rebecca manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan, kedua-duanya yang telah menyesal atas perbuatan dilakukan memohon hukuman ringan, selain hukuman penjara dijalankan serentak daripada tarikh ditangkap serta meminta untuk ditempatkan di Penjara Sungai Udang.

Bagaimanapun, Rebecca meminta mahkamah memberikan hukuman berat terhadap tertuduh yang berhadapan tiga pertuduhan termasuk melakukan perbuatan keji terhadap mangsa berusia 14 tahun.

“Perbuatan mereka telah menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan trauma,” katanya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Ahmad Sazali menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan menyamar, lapan tahun dan dua sebatan (rompakan berkumpulan) dan 15 tahun dan lapan sebatan (merogol).

Beliau turut mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh ditangkap pada 15 Januari 2011 dan tertuduh dipenjarakan di Sungai Udang.

Air mata sebelah mayat anak – Metro


Air mata sebelah mayat anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih  melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.
PILU…anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.

MELAKA: Hasrat seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menghadiri kelas tambahan berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal dibonceng bergesel dengan sebuah lori di Jalan Kampung Gelam, Tanjung Kling dekat sini, semalam.

Kejadian jam 10.28 pagi, Faizah Masbak, 17, yang membonceng motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Nurliyana Md Yusoff, 17, terjatuh.
Faizah maut di tempat kejadian selepas cedera parah di tengkuk dipercayai digilis lori berkenaan manakala rakannya, Nurliyana yang cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

 

Lokasi kejadian bertukar pilu apabila ibu mangsa, Rabiah Ahmad, 53, yang tiba tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat jenazah anaknya terbujur kaku.
Menurut kakak mangsa, Afifah, 23, adiknya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di Tengkera keluar rumah kira-kira jam 8 pagi bagi mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
“Ibu kata, pagi tadi (semalam) Faizah minta izin ke kelas tambahan dengan membonceng motosikal rakannya yang menjemput adik di rumah.

 

 

“Namun, tidak lama selepas rakannya datang ke rumah dan memaklumkan Faizah kemalangan, pada awalnya ibu dan ayah menyangkakan ia kemalangan kecil,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.
Menurutnya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi mereka terkejut melihat orang ramai berkumpul dan jenazah adiknya sudah ditutup.

 

Katanya, arwah yang juga anak kelima daripada enam beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.
“Adik tidak menunjukkan perubahan, namun malam tadi (kelmarin) dia yang gemar memasak sempat menggoreng nasi goreng cili padi untuk kami sekeluarga.
“Ketika pengecaman mayat hanya ayah yang melihat kerana saya sedih dan tidak sanggup selepas dimaklumkan terdapat kesan tayar di bahagian tengkuknya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dari Tanjung Kling ke Tangga Batu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.
“Akibat bergesel dengan lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti, kedua-dua pelajar ini dipercayai gagal mengawal kenderaan itu lalu terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
“Faizah yang berasal dari Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga maut serta-merta di tempat kejadian, manakala rakannya yang cedera parah kini dirawat di ICU Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, sehingga kini, pemandu lori berkenaan belum membuat laporan polis dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi polis untuk membantu siasatan.