Penolong Pengetua Disiasat Kerana Tegur Pelajar “Balik India, China” – mStar


Penolong Pengetua Disiasat Kerana Tegur Pelajar “Balik India, China”

Oleh TASHNY SUKUMARAN

PETALING JAYA: Seorang penolong pengetua di sebuah sekolah menengah disiasat atas dakwaan menegur sebahagian pelajarnya supaya “balik India, China.”

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, kementerian sedang menunggu laporan berhubung perkara itu daripada para pegawainya yang mengendalikan kes berkenaan.

“Jika didapati dakwaan itu adalah benar, maka kementerian akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada The Star Online.

Guru terbabit didakwa berang selepas sebahagian pelajar tidak turut serta menyanyi lagu Negaraku semasa perhimpunan mingguan di SMK Engku Husain di Semenyih, Kajang beberapa hari lalu.

Pengetua sekolah, Abdul Ghafar Kunchi Mohd memberitahu The Star Online bahawa sekolah tersebut sudah melaporkan perkara itu kepada kementerian dan Jabatan Pelajaran Selangor.

Beliau berkata, satu mesyuarat diadakan pada Khamis mengenai perkara itu bersama wakil kementerian dan wakil Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di mana ia turut disertai beliau dan penolong pengetua terbabit.

Beliau enggan mengulas lanjut dan memberitahu bahawa perkara tersebut kini dikendalikan oleh kementerian.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan mengecam tindakan guru-guru yang merasakan sesuatu yang boleh diterima dengan memberitahu para pelajar supaya pulang ke negara asal nenek moyang mereka.

“Pada pendapat saya, mereka perlu dilatih semula untuk mempelajari tentang kelakukan yang sepatutnya diamalkan membabitkan guru dan pelajar,” katanya.

Ali berkata, guru-guru dan pendidik-pendidik yang didapati mencetuskan perkauman dalam pendidikan seharusnya ingat tentang peranan mereka memberi panduan kepada pelajar.

“Semangat bangsa Malaysia sepatutnya disemai dalam diri mereka, supaya ia dapat dimaklumkan kepada pelajar berbanding mencetuskan isu perkauman.”

Beliau berkata, pendidik yang mencetuskan isu perkauman perlu diatasi tanpa mempedulikan apakah jawatannya sekalipun.

Kejadian yang berlaku selepas beberapa insiden yang berbaur perkauman yang melibatkan beberapa sekolah, termasuk satu kes pada Ogos lalu apabila seorang pengetua sekolah di Shah Alam memohon maaf kepada para pelajar kerana memberitahu mereka supaya “balik ke India, China atau Indonesia”.

Satu lagi kes apabila SK Seri Pristana, di mana guru besarnya, Mohd Nasir Mohd Noor dituduh bersifat rasis selepas pelajar bukan Islam didapati makan di bilik persalinan pada bulan Ramadan.

Usah pandang negatif pada sistem persekolahan – Metro


Usah pandang negatif pada sistem persekolahan

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Insiden murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, dekat sini yang diarah makan di bilik persalinan menggantikan kantin, tidak harus menjadi penyebab untuk ibu bapa berpandangan negatif mengenai sistem persekolahan negara.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, kejadian itu disifatkannya kes terpencil yang sangat jarang berlaku, justeru, ia bukan kayu pengukur kepada keseluruhan corak pendidikan diguna pakai ketika ini.
“Jangan kita mengukurnya dengan menganggap keseluruhan sistem pendidikan sesuatu yang buruk… tak elok, sekali gus enggan menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.

 

“Kejadian ini adalah kes terpencil dan tidak langsung menggambarkan keseluruhan sistem yang kita guna pakai. Jadi jangan cepat bertindak melampau atau keterlaluan.
“Memanglah tak wajar untuk meletakkan murid makan di tempat begitu, tetapi secara dasarnya pihak sekolah sudah menjelaskan duduk perkara sebenar (atas tindakannya) dan semua pihak perlu akur ia satu kesilapan bukan disengajakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas laporan akhbar semalam mengenai tindakan pengurusan SK Seri Pristana yang menempatkan murid makan di bilik persalinan menggantikan kantin sekolah itu.

 

Laporan menyebut, bilik persalinan itu yang belum pernah digunakan dijadikan tempat makan sejak Mac berikutan kantin tidak mampu menampung bilangan murid yang ramai pada waktu rehat.
Malah, tempat makan itu juga digunakan semua murid sekolah terbabit tanpa mengira kaum dan bangsa.

 

Mengulas lanjut Dr Mohamad Ali berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar atas kejadian berlaku selain Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setiap sekolah harus menjadi lebih proaktif menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Elak desak anak – Metro


Elak desak anak

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Setiap anak mempunyai tahap kemampuan yang berbeza dalam pelajaran, ibu bapa seharusnya memahami sejauh mana tahap pencapaian anak dan memberi sokongan kepada mereka mengikut kemampuan masing-masing.

“Jangan mendesak anak mendapat keputusan cemerlang kerana ia memberi kesan psikologi kepada mereka sekiranya gagal memperoleh keputusan diharapkan,” kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan.
Beliau mengulas laporan akhbar, semalam mengenai seorang murid yang melarikan diri kerana menyangka gagal memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 yang diumumkan semalam.

 

Bagaimanapun, pelajar itu sebenarnya cemerlang, tetapi namanya tercicir daripada senarai pelajar terbaik menyebabkan dia menghilangkan diri kerana tertekan kerana menghampakan harapan ibu bapanya.
Mohamad Ali berkata, walaupun berlaku salah faham pada awalnya, kejadian itu jelas menunjukkan pentingnya peranan ibu bapa mengingatkan anak supaya tidak berputus asa sekiranya tidak mendapat keputusan cemerlang dan mungkin berjaya pada masa akan datang.
“Apa yang penting ibu bapa perlu tetap memberi sokongan dan sentiasa menerapkan pada anak-anak untuk menerima qada dan qadar,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

 

 

Beliau bagaimanapun menegaskan kejadian itu (tercicir nama) tidak seharusnya berlaku dan pihak berkaitan sepatutnya sudah menyemak berkali-kali untuk memastikan nama pelajar cemerlang tidak tercicir dalam senarai berkenaan.
“Walaupun kesilapan itu didakwa tidak disengajakan, namun ia sudah menjejaskan psikologi bukan saja pada murid terbabit malah ibu bapa mereka. Justeru, lebih baik sekiranya permohonan maaf secara terbuka dilakukan pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran bagi mengembalikan keyakinan pelajar berkenaan.

 

“Dalam masa sama, Kementerian Pelajaran diharap dapat mengenal pasti punca kesilapan berkenaan dan jika didapati ada pegawai yang cuai, sepatutnya dikenakan tindakan sekurang-kurangnya surat tunjuk sebab.
“Ini bagi memastikan kaki tangan kerajaan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian ini berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.
Bagi pelajar itu pula, Mohamad mencadangkan agar dia diberikan kaunseling untuk menaikkan semula semangatnya dan tidak berasa kecewa kerana insiden terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21

Pelajar maut perut terburai – Sinar Harian


Pelajar maut perut terburai

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 April 2012

Motosikal yang ditunggang mangsa bersama seorang rakan
hancur diseret lori, awal pagi semalam.
PELABUHAN BARAT – Seorang pelajar tingkatan 4 maut dalam keadaan mengerikan apabila perutnya terburai selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pelabuhan Barat menghala Pandamaran, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dikenali Muhammad Norfahmi Mohamad Ali, 16, dari Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah maut selepas motosikal yang ditunggang bersama seorang rakan dirempuh sebuah lori.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa terseret beberapa meter bersama motosikal selepas digilis lori terbabit.

“Berikutan itu, organ dalaman di bahagian perut mangsa pecah menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Motosikal yang ditunggang dua sekawan itu juga rosak teruk akibat dirempuh dan terseret,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berdasarkan makluman kakitangan pihak hospital.

“Sehingga kini kita masih mengesan rakan mangsa untuk membantu siasatan yang gagal dikesan sejurus kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, katanya, polis sudah mengambil keterangan pemandu lori bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil ke Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Nur Baidura Datuk Zulyadaen di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan.

Waktu belajar terhad punca kurang kuasai B.I


Waktu belajar terhad punca kurang kuasai B.I

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat waktu pembelajaran yang terhad dalam bilik darjah menyebabkan pelajar masih tidak mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, untuk mengatasi masalah itu Kementerian Pelajaran boleh menambah waktu pembelajaran bagi subjek Bahasa Inggeris bagi membolehkan penggunaan bahasa itu ditingkatkan.

“NUTP menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dikaji semula pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Saya melihat kurangnya penguasaan yang baik bukan berpunca daripada guru-guru.

“Ia mungkin disebabkan tempoh waktu pembelajaran yang terhad di bilik darjah menyebabkan kurangnya penggunaan bahasa itu oleh pelajar. Kementerian Pelajaran boleh menambah waktu pembelajarannya, namun tidaklah sehingga membebankan guru bahasa tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran semalam mahu pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dikaji semula bagi memastikan pelajar benar-benar dapat menguasainya sebagai bahasa kedua dan arahan telah dibuat kepada Ketua Pengarah Pelajar agar melaksanakan kajian itu.

Tambah Hashim, sepanjang 13 tahun seseorang pelajar mengikuti sistem pendidikan negara, dalam sehari mereka belajar Bahasa Inggeris hanya 30 hingga 40 minit dan pada sesetengah hari selama sejam hingga sejam 20 minit sahaja.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar guru-guru Bahasa Inggeris ditambah dengan mengambil semula mereka yang sudah bersara bagi mengajar di sekolah berhampiran.

“Mereka itu mempunyai banyak pengalaman dan boleh membantu mendidik pelajar kita di samping menjimatkan wang kerajaan,” ujarnya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan turut menyambut baik usaha untuk mengkaji semula pembelajaran subjek itu.

“Audit wajar dibuat untuk melihat secara terperinci kelemahan-kelemahan yang ada dalam pembelajaran Bahasa Inggeris dari semua segi.

“Penyeliaan guru-guru pakar juga perlu dilakukan terhadap tenaga pengajar bahasa itu untuk memastikan cara penyampaian dan pembelajaran yang berkesan kepada pelajar,” jelasnya.

Mohamad Ali berkata, tempoh waktu pembelajaran perlu dilihat sama ada mencukupi atau tidak di samping mewujudkan satu hari berbahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah termasuk oleh guru-guru.