Mengaku salah cabul anak tiri – Sinar Harian


Mengaku salah cabul anak tiri
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2013

KUANTAN – “Biarlah orang nak kata saya salah. Saya nak ajar dia,” kata seorang pemandu lori yang mengaku bersalah atas tuduhan mencabul anak tirinya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohd Nasir Abd Manaf, 34, ketika ditanya Majistret dalam kandang tertuduh berkata, dia mahu mengajar anak tirinya yang berusia 14 tahun kerana tidak mendengar kata selepas dipukul.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Indera Semporna dalam tempoh empat bulan.

Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan RM2,000 denda dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Menurut fakta kes, mangsa diperlakukan tertuduh sejak November tahun lalu sehingga Mac lepas dengan meraba seluruh badan mangsa beberapa kali dan tertuduh ditangkap pada 22 Jun lalu pada jam 2.30 petang.

Noor Zaihan bagaimanapun, menasihatkan tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan itu dan insaf selepas menerima hukuman penjara.

“Saya harap kamu tidak ulangi lagi kesalahan ini. Perbuatan kamu ini sungguh jijik. Dalam penjara nanti kamu berfikir dan insaf,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya, Farahah Ahmad Nazari dalam pendakwaannya meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya kerana membabitkan anak tiri walaupun tertuduh tidak mempunyai rekod lampau.

Bekas guru cabul pelajar perempuan dipenjara 3 tahun – Bernama


Bekas guru cabul pelajar perempuan dipenjara 3 tahun

12 September 2012

PUTRAJAYA – Seorang bekas guru sekolah rendah, yang pada dua tahun lepas mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berumur lapan tahun, hari ini memulakan hukuman penjara tiga tahun selepas Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan sabitan dan tempoh hukuman penjaranya.

Panel tiga anggota terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Apandi Mohamed Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Mohtarudin Baki sebulat suara menolak rayuan akhir Anuar Shaari.

Anuar, 50, disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret pada 7 Feb tahun lepas kerana menggunakan paksaan untuk mencabul kehormatan pelajar Tahun Dua itu di bilik muzik Sekolah Kebangsaan Sungai Duri di Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang, antara 3 petang dan 4 petang 17 Nov, 2009.

Bagaimanapun, pada 6 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi George Town menambah tempoh hukuman penjaranya kepada tiga tahun.

Mahkamah Tinggi menolak rayuan Anuar terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang mensabit dan menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadapnya dan membenarkan rayuan balas oleh pendakwaan bagi tempoh hukuman penjara yang lebih berat.

Anuar memperoleh kebenaran penangguhan pelaksanaan hukuman dan jaminan RM4,000 beserta seorang penjamin daripada Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya didengar oleh Mahkamah Rayuan.

Fakta kes mendedahkan bahawa pada hari berkenaan, pelajar perempuan terbabit diarah membawa buku teks Bahasa Melayu ke dalam bilik muzik itu.

Apabila pelajar perempuan itu tiba di bilik muzik, tertuduh mengunci pintu, mengambil sebuah kerusi dan mengarahkan pelajar itu duduk. Selepas mencabul kehormatan pelajar itu, Anuar mengarahkannya supaya balik ke bilik darjah.

Pelajar perempuan itu memberitahu ibunya tentang kejadian itu apabila ditanya selepas ibunya melihat pelajar itu menangis ketika pulang dari sekolah.

Ibu pelajar itu kemudian membuat laporan polis.

Anuar diwakili peguam R.S.N Rayer manakala Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim pula mewakili pendakwaan.- Bernama