Ali Rustam: Jangan biar anak tidak belajar di rumah – Bernama


Ali Rustam: Jangan biar anak tidak belajar di rumah

2 Januari 2013

MELAKA – Ibu bapa perlu proaktif memantau pembelajaran anak semasa di rumah jika mahu mereka menjadi seorang yang berjaya pada masa hadapan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau menasihati ibu bapa tidak membiarkan guru sahaja mendidik anak, sebaliknya mereka perlu sokong dan datang ke sekolah untuk libatkan diri dalam kegiatan seperti sukaneka atau aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

“Bila anak-anak habis sekolah kena tanya apa dia belajar di sekolah, kena ‘check’ kerja sekolah dia, jangan biar sahaja anak kita main sahaja tak belajar di rumah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kira-kira sejam di Sekolah Kebangsaan Datuk Demang Hussin, Bukit Katil di sini bagi meninjau sesi baharu persekolahan di sekolah itu.

Kira-kira 200 pelajar tahun satu memulakan persekolahan mereka di sekolah itu hari ini. – Bernama

Hanya tujuh sekolah tahfiz daftar Jaim – Sinar Harian


Hanya tujuh sekolah tahfiz daftar Jaim

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 November 2012
Mohd Ali Rustam
Datuk Seri Mohd Ali Rustam

AYER KEROH – Sekolah tahfiz yang masih tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) perlu segera melakukannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ia bagi membolehkan kurikulum persekolahan diselarikan selain faktor kebajikan murid dan guru termasuk keselamatan serta pengurusan sekolah lebih bersistematik.

Setakat ini, hanya tujuh sekolah tahfiz berdaftar dan 22 sekolah masih tidak berbuat demikian biarpun Majlis Agama Islam Melaka (Maim) sudah melakukan perbincangan dengan pengusaha sekolah.

“Sekolah tahfiz persendirian ini ada yang sudah lama beroperasi iaitu mencecah 20 tahun dan ada berusia dua tahun.

“Jika berdaftar kita mahu pastikan pelajar tahfiz ini bukan sahaja mendapat ilmu akhirat bergelar tahfiz sebaliknya boleh menjalani persekolahan mempelajari subjek dan mengambil peperiksaan seperti sekolah harian.

“Ada pakar sejarah yang tahfiz al-Quran, ada saintis tetapi tahfiz al-Quran. Kita mahu mereka belajar dengan sempurna,” katanya.

Jika masih tiada sambutan, Mohd Ali mencadangkan Jaim bertindak mendaftarkan sekolah terlibat dan meminta wakil menghadiri mesyuarat yang diadakan pihaknya.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memastikan bangunan sekolah tahfiz ini selamat untuk didiami walaupun ada pengusaha menggunakan rumah persendirian,” katanya.

‘Dapat jawab soalan dengan baik’ – Metro


‘Dapat jawab soalan dengan baik’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: “Memang tidak dinafikan proses ulang kaji pelajaran sedikit terjejas, namun ia bukan penghalang kepada saya yang setakat ini menjawab soalan peperiksaan dengan baik,” kata Muhd Shalihin Mohd Nor, 17, antara tiga pelajar di negeri ini yang gigih menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam, walaupun rumah mereka ditenggelami air akibat banjir.

Sabtu lalu, rumah mereka di sekitar Tehel, dekat sini, masing-masing membabitkan Kampung Tanjung Laboh, Kampung Parit Lampong dan Kampung Serompong, dinaiki air hingga menyebabkan 21 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.
Seramai 97 mangsa termasuk warga emas membabitkan 21 keluarga masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tehel berikutan banjir belum surut. Tujuh mangsa membabitkan tiga keluarga masing-masing dua di Bukit Katil di sini, dan Kesang Barat, Jasin, turut dipindahkan ke dua pusat pemindahan di sekitar kawasan berkenaan. Menurut Shalihin, dia bersyukur kerana semua buku pelajarannya berjaya diselamatkan daripada dihanyutkan air yang memasuki rumah mereka hingga paras lutut, petang Sabtu lalu.

 

“Biarpun terpaksa meredah banjir untuk memunggah pakaian sekolah dan buku dari rumah malam tadi (kelmarin), ia tidak sesekali melemahkan semangat saya untuk menduduki peperiksaan.
“Ini semua demi masa depan saya dan Alhamdulillah saya berjaya menjawab soalan dengan baik,” kata anak ketiga daripada lima beradik ketika ditemui di sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam meninjau sesi peperiksaan SPM.

 

 

Pelajar jurusan kemahiran pembinaan domestik yang mengambil tujuh subjek itu berharap banjir melanda rumahnya cepat surut.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06

Mangsa petir: Dipercayai tidak pakai kasut – Sinar Harian


Mangsa petir: Dipercayai tidak pakai kasut

AMRAN ALI
11 April 2012
pokok

BUKIT KATIL – “Sebahagian besar yang terkena renjatan itu disebabkan tidak memakai kasut,” kata Muhammad Farhan Aswad, 16.

Muhammad Farhan merupakan salah seorang peserta perkhemahan di Kem Pengakap Tan Chay Yan, Pengkalan Badak, di sini yang menyaksikan 15 peserta terkena renjatan panahan petir, Ahad lalu.

Dia yang merupakan salah seorang peserta perkhema­-han Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) menceritakan detik cemas kejadian kepada Sinar Harian, di sini semalam.

“Masa itu, bunyi dentu­-man petir bertalu-talu, manakala hujan sangat lebat. Saya lihat beberapa batang pokok turut tumbang,” katanya.

Dia yang mewakili Sekolah Kebangsaan Dato’ Dol Said, Alor Gajah berkata, khemahnya terletak bersebelahan tempat kejadian dengan jarak tidak sampai 10 meter.

“Ketika itu, kami baru sahaja selesai pasang khemah. Kebanyakan peserta berada dalam khemah dan sebaik menyedari hujan lebat, diselangi bunyi petir sangat kuat, kami diarahkan kem komandan supaya berlindung di surau kawasan perkhemahan.

“Saya difahamkan, kebanyakan peserta yang terkena renjatan disebabkan mereka tidak memakai kasut,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka, Rohazam Yahya berkata, pihaknya sudah mengambil langkah keselamatan termasuk arahan­ Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya mengurangkan bilangan pokok besar yang boleh mendatangkan risiko tumbang.

“Sehingga kini kita masih meneruskan kerja pemulihan atas kerosakan berlaku.

“Kita juga sedang mengenalpasti pokok besar untuk ditebang bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti ribut petir berulang semula,” katanya.

Menurut Rohazam, pihaknya juga akan mengarahkan pihak penganjur perkhemahan agar mengikuti segala peraturan­ ditetapkan terutama arahan untuk masuk ke dalam dewan disediakan apabila berlaku kejadian hujan lebat.

Tinjauan Sinar Harian di tapak perkhemahan juga mendapati lokasi berlakunya kejadian 15 pelajar Sekolah Menengah St Francis, Banda Hilir disambar petir telah dibersihkan.

Manakala, kesemua baki 16 peserta sekolah berkenaan menarik diri dari program yang sepatutnya berakhir Sabtu ini atas arahan pihak sekolah masing-masing.