Mohd Anuar cekal hadapi peperiksaan walaupun bertongkat – Bernama


Mohd Anuar cekal hadapi peperiksaan walaupun bertongkat

9 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Kecekalan Mohd Anuar Ibrahim, 15, teruji apabila dia terpaksa menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam keadaan bertongkat akibat patah kaki.

Mohd Anuar, antara 481,424 pelajar yang menduduki PMR di seluruh negara bermula hari ini, mengalami patah kaki setelah terjatuh ketika bermain bola sepak di rumahnya di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur, kira-kira dua minggu lalu.

Mohd Anuar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Rampai berkata dia menguatkan semangat untuk datang ke sekolah bagi menduduki peperiksaan walaupun kakinya terasa berdenyut dan pedih.

Menurutnya dorongan ibu bapa, rakan-rakan dan guru sekolah memberi motivasi kepadanya untuk menduduki peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1 dan kertas 2 serta Pendidikan Islam kertas 1 hari ini.

“Saya tidak menafikan tumpuan ulang kaji agak terganggu setelah kaki disimen…sebelum kejadian saya dapat mentelaah lebih daripada tiga jam namun setelah kejadian, segalanya terbatas,” katanya.

Mohd Anuar berkata dia tidak menduga akan tercedera ketika membuat latihan untuk pertandingan bola sepak yang bakal disertainya tidak lama lagi namunĀ  kakinya tersadung dan jatuh ketika bertindak sebagai penjaga gol.

“Akibat kejadian itu saya terlantar di rumah dan hanya membaca buku dari atas katil,” katanya.

Walaupun menahan sakit ketika menjawab peperiksan hari ini, Mohd Anuar yakin dapat menjawabnya dengan baik berdasarkan persediaan yang telah dilakukannya.

“Saya mensasarkan semua A bagi empat daripada lapan matapelajaran yang diambil…kalau dapat lebih itu ibarat bonus bagi saya,” katanya.

PMR bermula hari ini dan dijadual berakhir pada 16 Okt. – Bernama