Merangkak selamat anak jiran – Metro


Merangkak selamat anak jiran

 8  0 Google +0  0  0

Oleh FARDY BUNGGA

Tawau: “Sekalipun terperangkap, saya sempat melepaskan diri dan menyelamatkan empat anak jiran dan kami keluar dari runtuhan secara meniarap.

“Nasib baik saya terdengar kanak-kanak itu menangis kerana ketakutan lalu mencari mereka dalam keadaan merangkak di bawah timbunan kayu.
“Mujur ada satu tiang menghalang batu itu daripada terus menghempap mereka,” kata Edy Lasuasa, 57, yang cedera di kepala selepas rumahnya musnah dihempap tiga bongkah batu gergasi yang bergolek dari atas bukit di Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu, di sini, semalam.

 

Kanak-kanak yang terselamat dikenali sebagai Mohd Hafiz Azizul, 9; Mohd Ajili Arwansyah, 6; Mohd Said Abdul Said, 5; dan adiknya, Norafdilah Abdul Said, 3.
Menceritakan kejadian jam 11.30 pagi yang menghempap 11 rumah itu, Edy berkata, dia terdengar satu dentuman disusuli gegaran kuat sebelum bunyi kayu pecah.
Menurutnya, ketika itu dia berehat di anjung rumah bersama empat kanak-kanak yang juga jirannya sebelum terdengar satu letupan dari kuari berhampiran.

 

FotoEDY bersama Mohd Hafiz yang terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka.

“Saya tak tahu apa sebenarnya berlaku, keadaan tiba-tiba menjadi huru-hara seperti tsunami selepas satu letupan disusuli gegaran kuat.
“Beberapa saat selepas itu, rumah saya bergoncang kuat lalu ranap,” katanya ketika ditemui.

 

Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, letupan dilakukan di kuari berhampiran adalah perkara biasa tetapi tidak menyangka rumahnya dihempap bongkah batu akibat letupan itu.
“Rumah saya musnah dan ketika kejadian berlaku (rumah ranap) saya terus pengsan.
“Sebaik tersedar, saya terperangkap di bawah runtuhan, saya turut mendapat luka di belakang kepala akibat dihempap tiang rumah yang patah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Hula Igu, 58, berkata, dia bernasib baik kerana tiada di rumah ketika kejadian.
“Pada masa itu, saya di pasar kerana menjual ikan. Saya menerima panggilan telefon daripada jiran mengatakan rumah saya runtuh dihempap bongkah batu besar yang jatuh dari atas bukit,” katanya.
Katanya, terkejut dengan perkara itu, dia bergegas pulang ke rumah.
“Saya bimbang mengenai keselamatan tiga cucu, termasuk dua daripadanya kembar yang baru berusia sebulan, selain anak serta menantu di rumah.
“Saya bersyukur kerana walaupun rumah musnah, semua ahli keluarga terselamat,” katanya.
Menurutnya, menantunya, Nisa Yusuf, 30, bersama bayi kembarnya, Noraisah dan Noranisah Fazlan berusia satu bulan dihantar orang ramai ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi cucunya, Mohd Khairul, 2, terselamat.
Tinjauan Metro Ahad di lokasi kejadian mendapati, satu bongkah batu sebesar rumah banglo manakala dua lagi sebesar kenderaan pacuan empat roda.
Ketiga-tiga bongkah dipercayai bergolek dari atas bukit selepas letupan dilakukan pekerja kuari di kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

Budak hilang ditemui selamat – Kosmo


Budak hilang ditemui selamat

 

Oleh NOR SHAFAWATI YUP
shafawati.yup@kosmo.com.my

 

KUALA LUMPUR – Setelah hampir seminggu dilaporkan hilang, seorang budak perempuan, Teratai Kamilia Mohd. Hafiz, 11, ditemui berlegar-legar bersama kekasihnya di pasar raya Giant Leisure Mall, Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru semalam.

Jarak Teratai dilaporkan hilang dengan tempat dia ditemui semula ialah kira-kira 389 kilometer.

Satu sumber berkata, Teratai dijumpai oleh seorang lelaki yang juga rakan bapa saudaranya pada pukul 12 tengah hari selepas lelaki itu melihat gambar kanak-kanak terbabit di dalam akhbar.

“Ketika ditemui, Teratai berada di sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah itu bersama dengan seorang lelaki disyaki teman lelakinya.

“Melihatkan kelibat budak perempuan itu seakan-akan wajah Teratai, rakan kepada bapa saudaranya itu terus mengekori pasangan itu sehingga ke kawasan tempat letak kereta di pusat beli-belah tersebut,” kata sumber itu ketika dihubungi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2IO9lp1gC
Hakcipta terpelihara

Mayat dua beradik terjatuh bot ditemui petang ini – Utusan


Mayat dua beradik terjatuh bot ditemui petang ini

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR

ALOR SETAR 18 Dis. – Pasukan penyelamat hari ini menemui mayat dua beradik yang hilang selepas terjatuh dari bot fiber ketika bersiar-siar di muara Kuala Kedah dekat sini petang semalam.

Mayat Mohd. Hafiz Anuar, 4, dan abangnya Mohd. Ashrik, 9, ditemui terapung kira-kira pukul 3 petang dan 4.25 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd. Izham Abdul Rahim berkata, mayat Mohd. Hafiz ditemui kira-kira 500 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh oleh bot nelayan yang melalui kawasan itu. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121218/dn_32/Mayat-dua-beradik-terjatuh-bot-ditemui-petang-ini#ixzz2FSMToAGy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Buta akibat letupan mercun bola – Kosmo


Buta akibat letupan mercun bola
Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my

MOHD. Sohibollah kini berhadapan dengan masa depan suram selepas mata kirinya dikhuatiri buta akibat letupan mercun bola.

ALOR SETAR – Seorang pemuda bersama anak jirannya yang berusia lapan tahun terpaksa dirawat di hospital malam kelmarin selepas sumbu mercun yang dipasang jatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum berlaku letupan kuat di Kampung Kuala Kangkong di sini.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam kelmarin, pekerja syarikat percetakan, Mohd. Sohibollah Saad, 27, buta mata kiri akibat letupan tersebut sementara jirannya, Tuah Mohd. Hafiz Mohd. Razli cedera di muka dan beberapa anggota badan.

Kejadian tersebut berlaku di hadapan rumah Mohd. Sohibollah di Kampung Kuala Kangkong.

Kedua-dua mangsa yang dibawa ke sebuah klinik berdekatan kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dengan ambulans berikutan kecederaan mereka serius.
Tuah Mohd. Hafiz

Mohd. Sohibollah terpaksa menjalani pembedahan mata kiri dan kini dilaporkan stabil. Bagi Tuah pula, nasib kanak-kanak itu lebih baik apabila dia dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.

Mohd. Sohibollah menceritakan, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun bola di depan rumahnya selepas membelinya di bazar Ramadan di Tandop di sini.

“Pada mulanya saya bermain seorang diri tetapi anak jiran (Tuah) datang dan minta nyalakan api pada satu mercun bola yang dipegangnya.
WALAUPUN berbahaya, mercun bola tetap digemari kerana bunyi serta kuasa letupan yang kuat. – Gambar hiasan

“Ketika sumbu mercun dicucuh tiba-tiba ada api terpercik dan terjatuh ke dalam bungkusan 40 biji mercun bola sebelum meletup serentak,” katanya semasa ditemui di HSB di sini.

Sebaik letupan berlaku, Mohd. Sohibollah berasa sakit pada mata kiri dan penglihatannya menjadi kabur.

“Saya nampak anak jiran itu tercampak beberapa meter dan pengsan. Saya meminta pertolongan jiran untuk menghantar kami ke klinik,” ujarnya.

Katanya, doktor yang merawatnya sudah membayangkan dia mungkin hilang penglihatan mata kiri.

Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie memberitahu, Mohd. Sohibollah dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan mata kiri serta perlu menjalani rawatan lanjut di wad mata HSB.

“Tuah pula cedera pada mata, muka dan paha kanan dan hanya mendapatkan rawatan pesakit luar,” tambah beliau.

Dua cedera termasuk kanak-kanak, mangsa pertama letupan mercun – Bernama


Dua cedera termasuk kanak-kanak, mangsa pertama letupan mercun

29 Julai 2012

Kanak-kanak berusia sembilan tahun, Tuan Mohd Hafiz setelah terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup ketika bermain mercun itu di Kampung Kuala Kangkong. – Foto Bernama
Mohd Sohibullah, 27, dipercayai mungkin buta mata di sebelah kirinya, cedera di bahu dan tangan kiri setelah terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup.
ALOR SETAR – Dua cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun akibat terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup di Kampung Kuala Kangkong, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, kanak-kanak terbabit Tuah Mohd Hafiz Mohd Razli, 9, cedera di dahi dan badan sementara jirannya Mohd Sohibollah Saad, 27, cedera di mata, bahu dan tangan kiri.

Mercun bola itu dibeli Mohd Sohibollah di Bazar Ramadan di Tandop dua hari lepas dan merancang untuk bermain bersama Tuah Mohd Hafiz sementara menunggu waktu berbuka puasa, petang semalam.

“Masa kejadian…saya yang pegang mercun dan dia menyalakan api sebelum sumbu mercun tersebut jatuh ke dalam bekas plastik berisi 40 biji mercun,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam semalam.

Katanya, sumbu mercun yang terjatuh dan masih menyala itu tidak sempat dibuang dari bungkusan mercun bola yang berada berdekatan.

Rentetan itu, satu letupan kuat berlaku dan Mohd Hafiz terpelanting dan tidak sedarkan diri, kata Mohd Sohibollah yang bekerja di sebuah syarikat percetakan di sini.

Katanya, panik dengan keadaan yang menimpa Tuah Mohd Hafiz, dia segera mendapatkan bantuan jiran dan kedua-dua mereka dikejarkan ke Klinik Kesihatan Simpang Empat sebelum dirujuk ke HSB untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah HSB Datuk Dr Juita Mohd Ghazali berkata Sohibollah telah selesai menjalani pembedahan pada matanya dan kini ditempatkan di wad mata hospital berkenaan.

“Dia ditempatkan di wad itu untuk pemeriksaan lanjut terhadap kecederaan yang dialaminya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara Tuah Mohd Hafiz yang sebelum ini dirawat di wad Kanak-kanak HSB telah dibenarkan pulang.- Bernama

Kanak-kanak 9 tahun parah terkena mercun bola – Berita Harian


Kanak-kanak 9 tahun parah terkena mercun bola
13:18:08 PM Cetak Emel Kawan

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 27 tahun berisiko buta mata kiri, manakala seorang kanak-kanak sembilan tahun parah di dahi dan badan selepas mercun bola yang dibakar mereka meletup, petang semalam.

Kejadian berlaku di Kampung Kuala Kangkong, dekat Simpang Empat, di sini apabila mercum bola yang dibakar itu tiba-tiba menyambar muka dan badan masing-masing.

Kanak-kanak itu dikenali sebagai Tuan Mohd Hafiz yang terkena serpihan 40 biji bola mercun.

Remaja maut rempuh sama sendiri – Berita Harian


Remaja maut rempuh sama sendiri
04:12:43 AM Oleh Omar Osman dan Zulaity Zulkiffli Cetak Emel Kawan

Sungai Petani: Dua remaja maut, seorang lagi parah apabila motosikal ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku di kawasan Padang Lembu dekat Gurun, ketika ketiga-tiga motosikal itu dalam perjalanan menghala Kampung Paya Mengkuang dekat Pendang, jam 11.50 malam.

Dua yang terbunuh dikenal pasti sebagai Mohd Azim Azmi Ismail, 17 dan Mohd Hafiz Baharom, 18, manakala seorang lagi remaja berusia 17 tahun, Mohd Khairolnizam Ayob, parah. Semua mangsa dikatakan berasal dari Kampung Paya Mengkuang, dekat sini.
Jalan siasatan

Ketua Trafik Kuala Muda, Deputi Superintendan Mohd Kamil Ahmad, berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ketiga-tiga motosikal dari arah sama atau bertentangan. Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian.

Dalam kemalangan berasingan, seorang remaja maut apabila motosikal dinaikinya terbabas dan melanggar papan tanda di tepi jalan selekoh berhampiran Kampung Tempayan Pecah dekat Ayer Hitam di sini, petang kelmarin.

Mohamad Azizi Ishak, 16, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian jam 7.30 petang.

Keputusan STPM: 5,838 calon di Kelantan lulus penuh – Utusan


Keputusan STPM: 5,838 calon di Kelantan lulus penuh

07/03/2012 3:08pm

 

 

“Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB”

 

KOTA BHARU 7 Mac – Seramai 5,838 orang atau 95.99 peratus daripada 6,082 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM ) 2011 di seluruh negeri ini mendapat kelulusan penuh.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,321 atau 54.61 peratus mendapat empat dan lima prinsipal turun sedikit berbanding 3,365 orang tahun lalu.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, peratusan calon STPM di Kelantan yang lulus penuh telah mengatasi keputusan peringkat nasional iaitu 95.99 peratus berbanding 92.18 peratus.

Katanya, peratusan kemerlangan pelajar yang memperolehi keputusan empat dan lima prinsipal juga berjaya mengatasi peringkat nasional iaitu 54.61 peratus berbanding 45.82 peratus.

“Pada tahun ini sekali lagi negeri Kelantan mengulangi pencapaian tahun-tahun lepas di mana turut mempunyai pelajar terbaik peringkat nasional.

“Pelajar tersebut ialah Muhammad Zulhilmi Mohd. Salleh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu dengan memperolehi 5 Prisipal A,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN