Mengaku salah cabul anak tiri – Sinar Harian


Mengaku salah cabul anak tiri
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2013

KUANTAN – “Biarlah orang nak kata saya salah. Saya nak ajar dia,” kata seorang pemandu lori yang mengaku bersalah atas tuduhan mencabul anak tirinya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohd Nasir Abd Manaf, 34, ketika ditanya Majistret dalam kandang tertuduh berkata, dia mahu mengajar anak tirinya yang berusia 14 tahun kerana tidak mendengar kata selepas dipukul.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Indera Semporna dalam tempoh empat bulan.

Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan RM2,000 denda dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Menurut fakta kes, mangsa diperlakukan tertuduh sejak November tahun lalu sehingga Mac lepas dengan meraba seluruh badan mangsa beberapa kali dan tertuduh ditangkap pada 22 Jun lalu pada jam 2.30 petang.

Noor Zaihan bagaimanapun, menasihatkan tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan itu dan insaf selepas menerima hukuman penjara.

“Saya harap kamu tidak ulangi lagi kesalahan ini. Perbuatan kamu ini sungguh jijik. Dalam penjara nanti kamu berfikir dan insaf,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya, Farahah Ahmad Nazari dalam pendakwaannya meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya kerana membabitkan anak tiri walaupun tertuduh tidak mempunyai rekod lampau.

Terima ugutan bunuh, guru besar SK Pristina buat laporan polis – Bernama


Terima ugutan bunuh, guru besar SK Pristina buat laporan polis

2013/07/25 – 17:12:18 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini, membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berikutan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu untuk pelajar bukan Islam, dua hari lalu.

Mohd Nasir Mohd Noor, 57, berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi dirinya yang menerima ugutan bunuh dan cacian daripada beberapa pihak termasuk melalui akaun Facebooknya.

“Dua hari lepas, setelah gambar itu tersebar, saya menerima panggilan talefon kira-kira 10 pagi dari seorang lelaki yang mendakwa dia dari Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Selain memaki hamun saya dan menghamburkan kata-kata kesat, dia juga mengeluarkan perkataan ‘If I meet you, i will kill you’ (Jika saya jumpa awak, saya akan bunuh awak),” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan ditemani enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah itu di pondok Polis Saujana Utama dekat sini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan yang mengadakan lawatan ke sekolah itu semalam berkata isu lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di sekolah itu, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa.

Mengulas isu itu, Mohd Nasir berkata beliau kesal dengan usaha yang mahu menjatuhkan nama baiknya dan sekolah itu, yang baru dibuka tiga tahun lepas itu.
“Sebelum ini, memang tidak ada aduan daripada ibu bapa mengenai isu bilik persalinan ini kerana mereka faham masalah kantin di sekolah ini yang dalam proses ubah suai bagi menampung kira-kira 600 pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar,” katanya.

Ekoran isu itu, beliau kini bercuti selepas diarahkan berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan daripada Mohd Nasir berhubung tohmahan terhadap dirinya berhubung isu itu.

Di PETALING JAYA, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata walaupun isu itu bukan di bawah bidang kuasa polis, namun ia sedia membantu dalam menyelesaikannya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat penghargaan kepada 54 anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah di sekitar negeri itu.

Pada majlis sama, Thaiveegan mengagihkan sebanyak 268 sarung siku kepada anggota polis yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan kecederaan ketika bertugas. – BERNAMA

Pelajar 15 tahun import senjata tiruan – Metro


Pelajar 15 tahun import senjata tiruan

 148  1 Google +0  0  0

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

IPOH: Seorang pelajar berusia 15 tahun ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas disyaki mengimport lima senjata tiruan dari Amerika Syarikat, China dan Taiwan yang dibeli secara online dengan alasan untuk dijadikan koleksi peribadi.

Senjata api jenis M16, pistol Glock, Colt 45 automatik dan Air Rifle MP5 dikesan oleh anggota Unit Kastam Pos, JKDM, Cawangan Ipoh menerusi mesin pengimbas di Pejabat Pos Ipoh, tengah hari Sabtu lalu.

Pengarah Kastam negeri Datuk Mohd Nasir Said berkata, susulan rampasan pada pukul 12 tengah hari itu, pihaknya menahan remaja lelaki dari Kuala Kangsar mengikut Seksyen 116 Akta Kastam 1967 sebelum dilepaskan dengan jaminan.

“Lima senjata tiruan berkualiti tinggi itu dianggar bernilai RM2,043.90 dan duti terlibat ialah RM878.88. Kesemua senjata itu menyerupai senjata sebenar tetapi menggunakan peluru getah manakala Air Rifle itu menggunakan peluru tembaga.
“Remaja yang masih bersekolah itu telah dilepaskan dengan jaminan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Difahamkan remaja sekolah tingkatan tiga terbabit memperolehi wang dari ibu bapanya untuk membeli senjata api tiruan berkenaan.

Beliau berkata, lima senjata api yang dirampas itu adalah sebahagian daripada 10 unit senjata yang dirampas pasukan penguatkuasaan kastam negeri bagi tempoh Januari hingga Jun termasuk dua unit dirampas di Kompleks Bukit Berapit, Pengkalan Hulu manakala, tiga unit lain dikesan di pejabat pos negeri,” katanya.

Katanya, pihaknya memandang serius pengimportan tanpa permit senjata api tiruan berkenaan kerana ia bukan sahaja mampu mengancam keselamatan negara sebaliknya boleh disalah guna untuk tujuan jenayah.

Murid tahun empat cemas, kenderaan dipandu ibu dirempuh – Sinar Harian


Murid tahun empat cemas, kenderaan dipandu ibu dirempuh

M FEISAL NORAWI
11 Januari 2013
Murid tahun empat cemas,  kenderaan dipandu ibu dirempuh
Keadaan dua Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan di simpang lampu isyarat SK Mentakab Jaya, Kampung Megat Segama, Temerloh semalam.
Murid tahun empat cemas,  kenderaan dipandu ibu dirempuh
Latifah dan anaknya Umi Aishah ditenteramkan orang ramai yang membantu dalam kejadian semalam.

TEMERLOH – Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Mentakab Jaya di sini mengalami saat mencemaskan apabila kenderaan dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat hadapan sekolah dekat  Kampung Megat Segama di sini, semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Latifah Abd Ghani 42, yang memandu Perodua Myvi baru keluar dari simpang sekolah selepas mengambil anaknya Umi Aishah Mohd Nasir untuk pulang ke rumah di Taman Seri Kemuning.

Menurutnya, sebaik lampu isyarat menghala ke bandar Temerloh bertukar hijau dia terus memandu keluar dari simpang sekolah tetapi secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bandar Temerloh terus merempuh bahagian hadapan keretanya.

“Akak terkejut sangat, tiba-tiba kereta akak dirempuh sebelah kanan dan berpusing ke kiri,” katanya di tempat kejadian semalam.

Latifah berkata, akibat rempuhan itu kereta dipandunya beralih kedudukan manakala Perodua Myvi yang melanggarnya terbalik.

Latifah bersama anaknya kemudian dibantu orang ramai mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Songsang.

Kedua-dua beranak itu dilaporkan hanya alami bengkak-bengkak di tangan.

Sinar Harian yang kebetulan berada di tempat kejadian merakamkan detik cemas orang ramai cuba membantu mengeluarkan dua mangsa dari kereta yang terbalik.

Sementara itu, menurut penumpang wanita dalam kereta Perodua Myvi yang merempuh kereta Latifah, dia bersama adik lelakinya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis.

“Kami ada temu janji di hospital, sampai di sini tiba-tiba terbabit kemalangan, nak buat macam mana lagi,” katanya yang enggan dikenali.

Beberapa peniaga berhampiran tempat kejadian menggesa pihak berkuasa meletakkan lebih banyak papan tanda keselamatan di kawasan terbabit selain memanjangkan tempoh lampu isyarat di situ.

Pengetua sekolah agama hadapi 14 tuduhan rasuah – Bernama


Pengetua sekolah agama hadapi 14 tuduhan rasuah

2012/10/15 – 13:18:24 PMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Seorang pengetua sekolah agama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 14 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapat suapan lebih RM1 juta bagi syarikat milik isterinya.

Pengetua Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur, Bachok @ Abdul Samad Abdul Latip, 65, didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabatnya di sekolah itu di Jalan Jaafar, Benut, Pontian dari Julai 2011 hingga Julai 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menggunakan kedudukan sebagai penjawat awam untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengarahkan kakitangan dan guru sekolah berkenaan untuk mengeluarkan 14 baucar dan 14 cek Maybank Islamic yang berbeza nilai sepanjang tempoh berkenaan.

Tertuduh telah menandatangani baucar dan cek itu untuk membuat bayaran kerja membekal makanan bermasak di asrama sekolah tersebut kepada Zainab Enterprise yang merupakan syarikat milik isterinya, dengan nilai keseluruhan RM1,120,462.40.

Bachok yang faham dengan setiap pertuduhan meminta dibicarakan.
Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 20 November ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Ghafar Ab Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Bustaman RK Menon. – BERNAMA

Ibu kendong tiga anak redah asap – Sinar Harian


Ibu kendong tiga anak redah asap

NIK MUHD RAFIQ ABD GHANI
1 Oktober 2012
Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
rumah terbakar
Ketua Cawangan Pas Alor Tembesu, Hassan Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Umno Cawangan Alor Tembesu, Ramlee Abdul Rahman (dua,kiri) sepakat menyelesaikan masalah dihadapi Hasmah.
rumah terbakar
Anggota bomba dibantu orang awam bertungkus lumus memadamkan api yang turut memusnahkan sebahagian besar struktur kediaman banglo dua tingkat milik pasangan Mohd Nasir dan Norai

Dungun – Tindakan nekad seorang ibu mengendong tiga anaknya termasuk dua pasangan kembar meredah asap berjaya menyelamatkan diri daripada disambar api yang marak dengan cepat selepas rumah mereka terbakar, dalam satu tragedi kebakaran di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu dipercayai berlaku ketika Hasmah Kadmin, 48, bersama tiga anaknya, Putra Alis, 8, dan pasangan kembar, Putri Shalwani, 4, serta Putri Shalwana sedang berada di ruang tamu di rumah sewanya, dekat sini.

Seorang lagi anak lelakinya, Mohd Nor Hafiz Syekih,19, difahamkan berada di tempat kerjanya di Batu 48.

Menurut Hasmah yang bekerja sebagai pembantu kedai, ketika kejadian dia tidak bekerja dan sedang melihat anaknya melukis sebelum tiba-tiba melihat percikan api dari bahagian siling rumah.

Hasmah berkata, seketika kemudian, api tiba-tiba semakin besar lalu marak dengan cepat sehingga menyambar siling rumah menyebabkan dia bertindak memaut tiga anaknya meredah asap sebelum berlari keluar sambil menjerit meminta tolong jiran.

Katanya, biarpun menyedari bahaya yang bakal menimpa, namun demi keselamatan anaknya, dia sanggup meredah asap lalu berjaya keluar daripada kawasan rumah yang letaknya kira-kira 50 meter dari jalan berturap itu.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari keluar menyelamatkan diri sambil mengendong tiga anak saya.

“Masa itu, saya hanya ingat Tuhan yang boleh selamatkan anak-anak saya,” kata Hasmah yang masih hiba dengan tragedi berkenaan.

“Bagaimana nak ke mahkamah”

Hasmah berkata, lebih memeritkan apabila tugas menggalas tanggungjawab menyara keluarga kini terletak atas bahunya berikutan suaminya kini sedang menjalani tahanan di penjara atas kesalahannya mencederakan dan hampir membunuh seorang anaknya, dua minggu menjelang Aidilfitri lalu.

Menurutnya, keesokan harinya (hari ini) dia sepatutnya memberi keterangan di mahkamah Kuala Terengganu mengenai dakwaan ke atas suaminya itu.

“Saya hendak ke mahkamah macam mana? Semua dokumen termasuk kad pengenalan saya hangus.

“Pakaian pula tiada, duit apatah lagi,” kata Hasmah yang masih trauma dengan kejadian menimpa mereka tiga beranak itu.

Katanya, kehidupannya sekarang amat terhimpit kerana terpaksa memulakan hidup baru tanpa sebarang harta, apatah lagi dia terpaksa melaluinya seorang diri.

“Saya tak tahu hendak tinggal di mana, rumah sewa, pakaian kami semua hangus.

“Ujian terhadap saya terlalu berat, saya tidak tahu bagaimana menghadapinya,” katanya.

Hasmah buat sementara waktu tinggal di rumah jiran sebelum pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Tembesu menguruskan tempat tinggalnya secara tetap.
Lari sebaik lihat api

“Sebaik terhidu bau asap, saya jenguk melalui tingkap lalu lihat api di rumah sebelah, saya terus menjerit mengarahkan anak-anak supaya menyelamatkan diri kerana ada kebakaran,” kata Noraini Zakaria, 46, mangsa yang terselamat dalam kebaka-ran melibatkan empat rumah di Alor Tembesu, dekat sini, petang semalam.

Ketika kejadian, Noraini bersama tiga anaknya, Mohd Arif Fitri Zakaria, 19, Nor Farah Nabihah, 14, Mohd Hazim, 5, seorang anak saudaranya, Mohd Mukhli Mahathir, 7, serta ibunya, Mek Ngah Mohd, 68, berada dalam rumah tersebut.

Noraini berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, dia sempat mendapatkan beg tangan yang mengandungi wang dan dokumen sebelum berlari keluar menyelamatkan diri bersama ahli keluarga termasuk ibunya, Mek Ngah yang uzur itu.

“Ketika itu saya baru selesai menunaikan solat Zuhur, api dari rumah sebelah marak dengan cepat menyebabkan kami semua panik.

“Nasib baik semua dapat menyelamatkan diri, jika tidak mungkin kami akan terperangkap dalam api dan asap tebal,” katanya.

Ketika kebakaran, suami Noraini, Mohd Nasir Zakaria, 49, difahamkan berada di Johor Bahru atas urusan kerja.

Menurut anak perempuan Noraini, Nor Farah Nabihah, ketika kebakaran itu bermula, dia sedang berehat di ruang tamu sebelum terdengar jeritan abangnya selepas melihat api melalui tingkap rumah.

“Masa itu saya baru pulang dari sekolah dan sedang berehat.

“Tiba-tiba abang saya terpandang api lalu menjerit agar kami keluar menyelamatkan diri,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun.

Sebuah rumah gagal diselamatkan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan di bilik kawalan jam 3.40 petang sebelum mengarahkan dua jentera bersama anggota penyelamat bergegas ke lokasi dan tiba beberapa minit kemudian.

Sebuah rumah gagal diselamatkan manakala tiga lagi yang lain termasuk sebuah banglo dua tingkat hampir 60 peratus musnah.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba Paka turut dipanggil untuk membantu operasi memadam api.

“Punca kejadian dan nilai keseluruhan kerugian dialami empat keluarga mangsa terlibat masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Turut membantu memadam api termasuk unit kebakaran Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.

Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli dan Pembantu Khas Pegawai Pembangunan Dun Sura, Hafizu Din turut hadir menziarahi mangsa terlibat.

MBSB sumbang RM50,000 jayakan Festival Hari Guru – Utusan


MBSB sumbang RM50,000 jayakan Festival Hari Guru

KUALA LUMPUR 8 Mac – Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) tampil memberi sumbangan bernilai RM50,000 kepada Utusan Melayu (M) Berhad bagi menjayakan Festival Hari Guru 2012 yang bakal diadakan di Kuala Kangsar, Perak pada 12 hingga 16 Mei ini.

Naib Presiden Kanan Bahagian Perniagaan Peruncitan MBSB, Azman Aziz berkata, sumbangan tersebut adalah bagi membantu kelancaran penganjuran Festival Hari Guru anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

“Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban penganjur bagi menampung kos penganjuran festival peringkat kebangsaan itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan replika cek sumbangan di sini hari ini.

Replika cek itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Ahmad Zaini Othman kepada Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali.