Isu SK Pristana: Zam puji laporan Sinar Harian – Sinar Harian


Isu SK Pristana: Zam puji laporan Sinar Harian
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 September 2013
  • Isu SK Pristana: Zam puji laporan Sinar Harian
< 1 / 1 >
SHAH ALAM – Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin memuji laporan Sinar Harian berkaitan isu SK Seri Pristana yang disifatkannya lebih bertanggungjawab untuk membersihkan nama sekolah tersebut daripada cemuhan sebagai rasis.

Beliau yang turut dikenali sebagai Zam berkata, tuduhan itu hanya berasaskan kepada penyebaran gambar palsu mengatakan anak-anak bukan Melayu diberi makan di tandas sekolah itu di bulan puasa sebaliknya yang sebenar ialah di kawasan persalinan.

Katanya, sekali pun penjelasan telah diberikan berkali-kali tetapi kita dapat melihat bagaimana sebuah akhbar Inggeris telah cuba menghidupkan terus isu ini untuk  mengapi-apikan perasaan kebencian orang India terhadap orang Melayu.

 “Yang terakhir dengan menyiarkan berita dakwaan bapa yang disyaki terlibat menyebarkan fitnah itu mengapikan pula dengan cerita ramai anak-anak India telah dipindahkan dari sekolah itu pada hal sebenarnya dari 27 orang, hanya seorang sahaja yang berpindah. Akhbar tersebut menyiarkan berita ini seolah-olah benar belaka,” katanya dipetik dari laman blog beliau, zamkata.blogspot.
Semalam Sinar Harian menyiarkan wawancara eksklusif dengan Guru Besar SK Seri Pristana, Muhammad Nasir Mohd Noor bagi mendapatkan penjelasan yang lebih tepat mengenai isu tersebut.
Sehari sebelum itu, Menteri Pendidikan II, Datuk Idris Jusoh yang mengadakan lawatan mengejut ke sekolah itu turut menyifatkan isu tersebut sudah selesai dan hanya digembar-gemburkan oleh pihak luar yang cuba menjadi ‘batu api’ terhadap salah faham yang terjadi.
Zam berkata, Kementerian Dalam Negeri tidak seharusnya membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja tetapi siasatan mengenainya mestilah didedahkan dan tindakan keras mesti diambil kepada mereka yang mempromosikan hasutan perkauman.
“Walaupun akhbar-akhbar Tamil atau Cina juga memainkan perkara ini tetapi tidak sama kesannya dengan akhbar yang dibaca oleh semua kaum. Isu SK Seri Pristana Sungai Buloh Selangor sudah berbulan dihidupkan dalam nada perkauman dengan berselindung di sebalik ‘human right’,” katanya.

Ruang kantin SK Seri Pristana diperbesar, tutup isu bilik persalinan: Idris – Bernama


Ruang kantin SK Seri Pristana diperbesar, tutup isu bilik persalinan: Idris

2013/09/17 – 19:53:48 PMCetakEmel Kawan
SUNGAI BULOH: Ruang kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana di sini ditambah sekaligus menyelesaikan isu penggunaan bilik persalinan sebagai ruang makan murid-murid.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, isu itu tidak perlu dibangkitkan lagi dan semua pihak perlu berusaha memupuk semangat muhibah di sekolah berkenaan.

“Kita tutup kes ini dengan program bermaaf-maafan untuk kembalikan suasana muhibah, perpaduan dan terapkan kasih sayang di sekolah ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan di SK Seri Pristana hari ini.

Isu murid makan di bilik persalinan SK Seri Pristana mencetuskan kontroversi berikutan tersebarnya gambar murid bukan Islam makan di bilik itu semasa bulan Ramadan Julai lalu sedangkan bilik persalinan itu dijadikan ruang makan tambahan untuk semua murid sejak beberapa bulan sebelum itu lagi.

Turut hadir Guru Besar SK Seri Pristana Mohamad Nasir Mohd Noor, Naib yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Seri Pristana Nor Azman Katib dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Shashim Shah Harun.

Idris meluangkan masa hampir dua jam meninjau keadaan kawasan kantin yang sudah siap diperbesar Ogos lepas bagi menampung keperluan murid sekolah berkenaan.

Beliau berkata pihak luar tidak perlu lagi menjadi batu api dalam isu sekolah berkenaan dan memberi tekanan terhadap pihak pengurusan sekolah serta guru.
“Saya harap bermaaf-maafan ini perlu diamalkan di semua sekolah dan semua rakyat Malaysia. Janganlah melihat semua isu dalam konteks perkauman, kerana isu seperti ini (bilik persalinan) tiada kena-mengena dengan perkauman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata Kementerian Pendidikan akan menyelesaikan isu pertukaran guru bertugas di Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dengan melatih lebih ramai anak tempatan dari sana.

“Dengan adanya lebih ramai guru dari Sabah dan Sarawak, kita akan dapat mengatasi isu perpindahan terlalu ramai guru di sana yang ingin balik bertugas di Semenanjung.

“Pengambilan baharu untuk melatih guru dari Sabah dan Sarawak akan dibuat tahun depan,” katanya. – BERNAMA

Isu Kantin: Guru Besar Akan Kembali Ke Sekolah Khamis Ini – mStar


Isu Kantin: Guru Besar Akan Kembali Ke Sekolah Khamis Ini

Oleh JASTIN AHMAD TARMIZI

PETALING JAYA: Guru Besar SK Seri Pristana di Sungai Buloh yang dihimpit kontroversi berhubung isu penggunaan bilik persalinan sebagai kantin sementara sudah bersedia untuk kembali ke sekolah.

Mohamad Nasir Mohd Noor berkata, dia akan kembali bekerja pada Khamis sekali gus menafikan laporan bahawa beliau akan kembali ke sekolah, Selasa ini.

“Saya sepatutnya kembali bekerja pada Khamis, bukan esok (Selasa),” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Bagaimanapun Mohamad Nasir enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Nasir menafikan beliau diarahkan untuk mengambil cuti selama seminggu untuk meredakan kemarahan berhubung tindakannya mengarahkan murid-murid SK Seri Pristana untuk makan pada waktu rehat di bilik persalinan.

Sebaliknya, beliau memutuskan untuk mengambil cuti selama seminggu secara sukarela selepas menerima dua ugutan bunuh.

Pada minggu lalu, beberapa keping gambar yang menunjukkan murid-murid di sekolah tersebut sedang makan di bilik persalinan pada waktu rehat disiarkan di laman sosial Facebook.

Sokong guru besar – Metro


Sokong guru besar

 1  0 Google +0  0  0

Oleh ZAITIE SATIBI

Kuala Lumpur: Satu laman Facebook diwujudkan bagi menyokong Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, Mohamad Nasir Mohd Noor, yang kini menjadi mangsa kecaman selepas kontroversi murid bukan Islam diarahkan pihak pengurusan sekolah itu makan dalam bilik persalinan yang didakwa kononnya tandas sepanjang Ramadan.

Laman peminat dengan nama Kami Sokong Mohamad Nasir Mohd Nor Guru Besar SK Seri Pristana itu diwujudkan Rabu lalu dan setakat jam 9.30 malam tadi, laman itu sudah mengumpul seramai 1,570 peminat yang mempertahankan tindakan guru besar berusia 57 tahun itu, di samping mengecam mereka yang mengemukakan pandangan negatif mengenai insiden berkenaan.
Turut dimuat naik adalah beberapa gambar lokasi bilik persalinan yang dijadikan tempat makan sementara selepas kantin sekolah berkenaan dinaik taraf untuk dibesarkan bagi menampung bilangan murid yang ramai.

 

Keratan akhbar dan pautan blog mengenai kontroversi yang melanda guru besar berkenaan turut dimuatkan.
Seorang ibu pelajar sekolah berkenaan memberikan komen bahawa dia tiada masalah dengan guru dan pengurusan sekolah yang membuat keputusan mengubah suai bilik persalinan itu kepada tempat makan dan sudah dimaklumkan kesulitan itu sejak sebelum puasa lagi.
“Orang luar yang tidak tahu hujung pangkal berkongsi perkara yang belum sahih lagi.. tolonglah jangan jadikan Facebook ini sebagai medium mahkamah (menjatuhkan hukuman sebelum disabitkan).

 

“SK Seri Pristana ini sangat kecil, ada empat kelas untuk setiap darjah. Tahun ini bilangan kelas bertambah dan murid terpaksa mengharungi kelas terapung. Jadi, hentikan semua tohmahan.. bukan anak anda yang belajar di sekolah itu pun,” katanya.
Katanya, kantin sedia ada pula hanya mampu menampung kira-kira 350 murid dan di Saujana Utama ada tujuh taman perumahan yang berkongsi dua sekolah selain SK Saujana Utama. Beberapa warga siber turut menggesa pihak polis dan pihak berkuasa lain yang berkaitan supaya mengambil tindakan segera terhadap individu pertama yang dilaporkan berkongsi gambar bilik persalinan itu dalam kalangan media sosial seterusnya mengundang perhatian media.

Terima ugutan bunuh, guru besar SK Pristina buat laporan polis – Bernama


Terima ugutan bunuh, guru besar SK Pristina buat laporan polis

2013/07/25 – 17:12:18 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini, membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berikutan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu untuk pelajar bukan Islam, dua hari lalu.

Mohd Nasir Mohd Noor, 57, berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi dirinya yang menerima ugutan bunuh dan cacian daripada beberapa pihak termasuk melalui akaun Facebooknya.

“Dua hari lepas, setelah gambar itu tersebar, saya menerima panggilan talefon kira-kira 10 pagi dari seorang lelaki yang mendakwa dia dari Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Selain memaki hamun saya dan menghamburkan kata-kata kesat, dia juga mengeluarkan perkataan ‘If I meet you, i will kill you’ (Jika saya jumpa awak, saya akan bunuh awak),” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan ditemani enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah itu di pondok Polis Saujana Utama dekat sini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan yang mengadakan lawatan ke sekolah itu semalam berkata isu lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di sekolah itu, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa.

Mengulas isu itu, Mohd Nasir berkata beliau kesal dengan usaha yang mahu menjatuhkan nama baiknya dan sekolah itu, yang baru dibuka tiga tahun lepas itu.
“Sebelum ini, memang tidak ada aduan daripada ibu bapa mengenai isu bilik persalinan ini kerana mereka faham masalah kantin di sekolah ini yang dalam proses ubah suai bagi menampung kira-kira 600 pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar,” katanya.

Ekoran isu itu, beliau kini bercuti selepas diarahkan berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan daripada Mohd Nasir berhubung tohmahan terhadap dirinya berhubung isu itu.

Di PETALING JAYA, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata walaupun isu itu bukan di bawah bidang kuasa polis, namun ia sedia membantu dalam menyelesaikannya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat penghargaan kepada 54 anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah di sekitar negeri itu.

Pada majlis sama, Thaiveegan mengagihkan sebanyak 268 sarung siku kepada anggota polis yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan kecederaan ketika bertugas. – BERNAMA

Bertindaklah sebelum terlambat! – Sinar Harian


Bertindaklah sebelum terlambat!

RIDHUAN TEE ABDULLAH,
1 Julai 2013
(K) RIDHUAN TEE ABDULLAH

Kenyataan bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Noor mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu diserapkan dalam pendidikan kebangsaan, menjadi kontroversi. Salah seorang pemimpin MCA nampak berang dalam memberikan respons terhadap kenyataan tersebut.

MCA mengatakan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa rasmi negara memang disanjung dan dijunjung SJK. Ironinya, apakah beliau sedar atau tidak, kedudukan BM di SJK, Sekolah Menengah Jenin Kebangsaan (SMJK), Sekolah Persendirian Cina (SPC) dan universiti? Jangan membuat kenyataan sembarangan, memalukan.

Jika MCA menerima BM sebagai bahasa negara atau bahasa kebangsaan, lakukan kempen untuk memandaikan orang Cina bertutur BM. Jangan cakap sahaja. Buatlah kajian di SJKC berapa ramai yang gagal BM dalam peperiksaan dan berapa ramai yang langsung tidak tahu bertutur dalam BM. Dalam MCA sendiri, cuba lihat berapa ramai yang boleh menulis dan bertutur dalam BM dengan baik, seperti mana Cina yang berada di Indonesia dan Thailand.

Saya tidak nafikan BM diajar di SJK dan SMJK, tetapi berapa kali atau berapa jam dalam seminggu? Pergilah buat lawatan dan lihat jadual waktunya.
Bila kerajaan mahu menambahkan masa BM di SJK, ditentang dengan hebat oleh Dong Zong dan sekutunya.

Syarat masuk ke IPTA mesti mendapat kredit BM. Bermakna, pelajar Cina yang masuk IPTA adalah kalangan mereka yang mendapat kredit BM peringkat SPM. Tidak ada lagi BM diajar IPTA kecuali mereka yang mengkhusus dalam BM.

Kedudukan BM di IPTS pula menyedihkan. Tanpa kredit BM peringkat SPM pun, mereka diterima masuk. Kredit BM bukan bermakna pandai bertutur BM, kadangkala mereka hafal sahaja. Kajian oleh Banci 2010 menunjukkan ramai orang Cina tidak boleh membaca, menulis dan bertutur BM, terpaksa mencari penterjemah untuk mengisi borang banci.

Saya menerima sepucuk surat daripada guru Melayu yang mengajar di SMJKC di Pulau Pinang yang mendapat anugerah Sekolah Kluster. Sekolah jenis ini yang mendapat bantuan mencurah-curah daripada kerajaan, malangnya telah menjadi sarang ultra kiasu.

Antara aduan tersebut mendakwa:
• Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) tidak dikendalikan mengikut kehendak pekeliling kerajaan. Menonton persembahan Tahun Baru Cina dan menghadiri Mesyuarat Agung PIBG dikira sebagai LDP.
• Sambutan merdeka dibuat sambil lewa sahaja. Ucapan pemimpin negara dan KPM tidak dibaca sebagaimana amalan SK yang lain.
• Sambutan Hari Guru amat menyedihkan, sekadar upacara memotong kek. Ucapan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan tidak dibaca.
• Sambutan Tahun Baru Cina disambut meriah berbanding Hari Guru.
• Pakaian guru-guru SJK tidak mencerminkan etika keguruan dan pekeliling kerajaan.
• Penggunaan dewan sekolah oleh pihak kerajaan seperti untuk pemberian BB1M dan BR1M, tidak disukai oleh pihak pentadbir sekolah.

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, berdasarkan pengalaman, saya fikir banyak betulnya. Ini dibuktikan oleh seorang pelajar Melayu yang sedang melanjutkan ijazah sarjana di salah sebuah universiti di Taiwan mengeposkan pandangannya dalam blog saya, ridhuantee.blogspot.com, mengatakan:

“Sedih saya melihat kebanyakan warga Malaysia berbangsa Cina apabila bertemu mereka, sukar sekali mereka untuk berinteraksi dalam BM, tergagap-gagap akhirnya cakap dalam bahasa Inggeris. Kenapa orang Malaysia tetapi bertahun-tahun tinggal di Malaysia, cakap pun tak reti. Sedih melihat fenomena ini di Malaysia. Sampai bila masalah ini akan berterusan. Kesemua kawan saya dari Indonesia, yang berbangsa Cina fasih berbahasa Indonesia, sehinggakan saya tidak tahu yang dia berbangsa Cina. Malahan di Indonesia sendiri, bahasa Cina tidak diajar di sekolah kebangsaan cuma dapat dipelajari di kelas-kelas bahasa. Saya dapat lihat hubungan orang Indonesia ini sangat kuat tidak kira apa bangsa sekalipun. Rasanya, sudah sampai masanya kerajaan merombak perkara-perkara yang menjauhkan jurang antara kaum di Malaysia. PERLU kita utamakan kebolehan berbahasa Malaysia sebagai syarat utama untuk layak menjadi Malaysian. Saya dapat lihat jurang yang besar antara rakyat berbilang kaum di Malaysia, orang Cina cakap Cina, orang India cakap bahasa India. Kerajaan harus mencontohi kerajaan Indonesia, bersikap tegas.”

Apa lagi bukti yang kita mahu? Semua sudah terang lagi bersuluh. Jika pihak Kementerian Pendidikan masih ragu-ragu, buat kajian dan audit yang menyeluruh ke atas SJK. Bertindaklah sebelum terlambat.

Jenamakan semula SJK Cina dan Tamil – Bekas hakim – Utusan


Jenamakan semula SJK Cina dan Tamil – Bekas hakim

 

KUALA LUMPUR 19 Jun – Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah mencadangkan agar sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dijenamakan semula sebagai sekolah pengajian bahasa.

Menurut beliau, sekolah berkenaan dijadikan pusat pengajian pembelajaran bahasa-bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris dan ia seharusnya terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

“Kalau kita bercakap tentang polisi pelajaran, kini ada tiga aliran iaitu sekolah swasta, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Apa peranan sekolah jenis kebangsaan? Ada keperluan tentangnya?

“Kita tukarkan sekolah jenis kebangsaan ini kepada sekolah di mana kita boleh belajar bahasa. Apa sahaja yang telah sekolah kebangsaan sediakan, sekolah jenis kebangsaan tidak perlu lagi menyediakannya, semua orang akan pergi ke sekolah yang sama. Ini boleh memupuk perpaduan,” jelas beliau.

Mohd Noor berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan percambahan minda bertajuk “Kedudukan Sekolah Vernakular dari Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan” di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130619/dn_26/Jenamakan-semula-SJK-Cina-dan-Tamil—-Bekas-hakim#ixzz2Wf7esRbu
© Utusan Melayu (M) Bhd