Remaja mengaku ragut beg tangan seorang guru – Utusan


Remaja mengaku ragut beg tangan seorang guru

KOTA BHARU 10 Okt. – Seorang remaja berumur 17 tahun mengaku

bersalah meragut seorang guru ketika dihadapkan di Mahkamah

Majistret di sini hari ini.

Remaja lelaki itu mengaku melakukan kesalahan tersebut bersama seorang rakannya yang masih bebas berhampiran bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jalan Sultan Yahya Petra kira-kira pukul 7.30 pagi pada 26 September lalu.

Majistret Muhamad Hafiz Mohd. Noor menetapkan 7 November depan untuk menjatuhkan hukuman kerana pihak pendakwaan perlu mengemukakan laporan akhlak remaja berkenaan terlebih dahulu. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121010/ma_03/Remaja-mengaku-ragut-beg-tangan-seorang-guru#ixzz28xwm1oHB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Buku lali retak dibelasah 25 senior – Berita Harian


Buku lali retak dibelasah 25 senior 
15/08/2012 – 06:07:06 AM Oleh Hayati Ibrahim Cetak Emel Kawan

Salina menunjukkan kaki anaknya yang mengalami pecah bahagian tulang kaki kanan. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Ditumbuk, dilempang secara bergilir

Putrajaya: Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan retak buku lali selepas dibelasah 25 pelajar senior.

Muhammad Faris Annuar, 13, mendakwa dibelasah, ditumbuk dan dilempang secara bergilir-gilir oleh senior terbabit selama satu jam setengah.
Perut disondol

Dalam kejadian 29 Julai lalu itu, seorang pelajar Tingkatan Empat dikatakan turut menyondol perutnya seperti ‘serangan ragbi’ sehingga dia jatuh terlentang, sebelum kaki kanannya berbunyi seperti patah dan membengkak.

Melihat keadaan itu, pelajar senior terbabit berhenti memukulnya dan menghantarnya semula ke bilik.

Petani, dua pelajar sekolah ditahan miliki mercun – Sinar Harian


Petani, dua pelajar sekolah ditahan miliki mercun

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Ogos 2012

KAMPUNG RAJA- Seorang petani bakal berdepan tindakan undang-undang apabila ditahan kerana memiliki pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM200, di rumahnya dekat Jabi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan polis yang menyerbu rumahnya di Kampung Jabi pada jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek menemui pelbagai jenis mercun antaranya empat kotak Thunder Clap 1 Voice, dua paket magical shoot, satu peket20 Ball Roman Candle dan masing-masing satu kotak pop-pop, crackling flower serta Invincible Hero.

“Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut manakala kesemua mercun tersebut telah dirampas,” katanya.

Dalam kes berasingan, dua pelajar perempuan tingkatan tiga dan empat sebuah sekolah menengah turut ditahan kerana kesalahan sama.

Dua beradik berusia 15 dan 16 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut pada jam 1.55 petang selepas polis menemui sejumlah mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM150.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku mercun tersebut milik mereka dan kedua-dua mereka ditahan manakala mercun dirampas,” katanya.

Katanya, kesemua  kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letuan 1957.

Remaja mengaku bersalah rogol kanak-kanak – Sinar Harian


Remaja mengaku bersalah rogol kanak-kanak
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Ogos 2012

Remaja berkenaan dibawa keluar dari mahkamah semalam selepas pengakuan salahnya.
KOTA BHARU-Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mengaku bersalah merogol kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun di sebuah rumah di Kampung Bemban, Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun 11 bulan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Bemban, jam 4 petang, 20 Mei lalu.

Remaja lelaki itu dihadapkan di depan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor dengan ditemani ibunya sebagai penjaga.

Remaja itu yang merupakan pesalah juvana membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa mahkamah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) dan dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nabilah menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 namun Muhamad Hafiz membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 selepas ibu tertuduh memohon jaminan dikurangkan dan berjaya meyakinkan mahkamah mereka dapat hadir pada tarikh ditetapkan.

“Saya memohon wang jaminan dapat dikurangkan kerana suami saya hanyalah seorang buruh binaan dengan pendapatan RM1,500 sebulan, manakala saya hanya seorang suri rumah yang tidak bekerja.

“Saya berjanji akan memastikan anak saya hadir setiap kali dikehendaki mahkamah,” katanya. Mahkamah menetapkan 12 September ini untuk sebutan kes tersebut.

PPD janji selesai tunggakan elaun – Sinar Harian


PPD janji selesai tunggakan elaun
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012
KERIAN – Seramai 62 pegawal keselamatan di 21 sekolah menengah di daerah ini termasuk Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kerian yang sebelum ini mengalami masalah tunggakan elaun selama dua bulan kini lega apabila diberi jaminan tunggakan itu akan diselesaikan dalam minggu ini.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Noor Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan bahagian pengaduan awam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bahawa kementerian itu memberikan tempoh seminggu kepada PPD Kerian dan syarikat pengawal keselamatan terlibat untuk menyelesaikan bagi tunggakan elaun yang melebihi RM1,700 setiap kakitangan.

Menurutnya, dalam pertemuan dengan pegawai PPD Kerian Jumaat lalu, pihaknya dimaklumkan peruntukan pembayaran invois syarikat sudah diserahkan KPM kepada PPD Kerian untuk disalurkan kepada syarikat berkenaan minggu lalu.

“Pegawai PPD yang hadir menjelaskan seharusnya masalah tunggakan elaun tidak akan berbangkit memandangkan perjanjian asal di antara syarikat pengawal keselamatan dengan KPM adalah mereka harus menggunakan dana sendiri untuk membiayai gaji kakitangan terlebih dahulu sebelum menerima pembayaran tuntutan.

“Bagaimanapun, pihak syarikat enggan mendahulukan wang syarikat dan saya berharap peruntukan yang disalurkan PPD bagi setiap tiga bulan sekali akan menyelesaikan masalah kami,” katanya. Mohd Noor berkata, pihaknya akan menunggu pembayaran tunggakan sehingga 13 Julai ini dan jika masih tiada pembayaran dibuat, satu tindakan susulan akan dibuat.

Cuba lagi bunuh janda – Metro


Cuba lagi bunuh janda
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

SOM…suspek diburu
TAPAH: Selepas empat tahun, sekali lagi seorang guru wanita nyaris maut diletupkan bekas suaminya apabila lelaki itu didakwa sengaja meletakkan bom di bawah kereta wanita berkenaan yang diparkir di pekarangan Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti, di sini.

Dalam kejadian jam 9.40 malam Selasa minggu lalu, guru berusia 50-an itu, bagaimanapun terselamat selepas menemui alat yang mencurigakan dipasang berhampiran tangki minyak dan ekzos Proton Saga miliknya.

Mangsa yang mengesyaki alat berkenaan bom dan bimbang kereta meletup apabila enjin dihidupkan, bergegas membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, sejurus menerima laporan, anggotanya bergegas ke tempat kejadian dan memeriksa kereta berkenaan sebelum menemui satu alat yang disyaki bom.
Bagaimanapun, ketika itu, alat berkenaan sudah dialihkan dari bawah kereta mangsa oleh pengawal keselamatan sekolah dan meletakkannya di kawasan terbuka kerana bimbang ia meletup.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/10

‘Ikut jejak’ pak cik – etro


‘Ikut jejak’ pak cik
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

IPOH: “Kami sekeluarga tidak menyangka lombong berkenaan kembali ‘meragut’ nyawa seorang lagi ahli keluarga kami dalam tempoh lapan tahun,” kata Normaskana Husain, 37, ibu saudara Muhammad Hanafi Radzi, 10, mangsa lemas di lombong bijih tinggal di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.25 malam di Kampung Seri Rahmat, Pasir Puteh itu, mayat mangsa yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Puteh ditemui terapung di permukaan lombong oleh pekerja warga Bangladesh yang kebetulan berada di situ.
Sekitar lapan tahun lalu, bapa saudara arwah turut lemas di lombong sama dipercayai tergelincir ketika memancing, malah beberapa nyawa lain turut melayang di lombong berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Normaskana ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) malam kelmarin berkata, dia tidak percaya arwah sanggup ke lombong itu kerana sepanjang pengetahuannya, mangsa tidak pernah mendekati kawasan lombong itu apatah lagi mandi di situ.
Katanya, dia dan ibu arwah, Siti Fatimah Husain, 29, sering menasihatkan arwah supaya tidak mendekati lombong berkenaan selepas kejadian lemas menimpa bapa saudara mereka pada 2005.
“Arwah tidak pernah mendekati kawasan lombong itu sejak kecil biarpun jaraknya dengan rumah kurang 200 meter. Sebelum kejadian, arwah bersama saya ketika menghadiri kenduri tahlil di rumah jiran berdekatan sebelum dia menghilangkan diri jam 5 petang. “Selepas menyedari kehilangan arwah, saya bersama abangnya, Norfitri, 12, keluar mencarinya merata tempat termasuk di padang permainan dan kafe siber, namun gagal menjejakinya sebelum didatangi rakan sekolah arwah yang memaklumkan arwah lemas di lombong,” katanya.

Katanya, dia terus bergegas ke lombong itu sebelum mendapati arwah sudah kaku di tepi lombong sejurus dijumpai pekerja warga Bangladesh berkenaan. Normaskana berkata, dia hairan kerana hanya menemui pakaian dan basikal mangsa di tepi lombong sedangkan rakannya yang lain turut mandi di lombong sama.
Katanya, dia percaya rakan arwah meninggalkannya sejurus melihatnya terkapai-kapai lemas di lombong berkenaan sebelum lemas. “Saya rapat dengannya sejak bayi selepas ibu bapanya bercerai, 10 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, usaha menemu ramah Siti Fatimah gagal kerana dia terlalu sedih dengan kejadian menimpa anak bongsunya itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.30 malam.
Katanya, sejurus tiba, anggotanya mendapati mangsa meninggal dunia, malah mayatnya sudah dibawa naik ke daratan oleh pekerja warga asing yang bekerja di projek perumahan berhampiran.
“Mayat mangsa dibawa ke HRPB untuk bedah siasat,” katanya.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh pagi semalam.

‘Bila malam kami takut nak pulang’ – Metro


‘Bila malam kami takut nak pulang’
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

SUNGAI SIPUT: Kehilangan misteri tiga kanak-kanak lelaki sejak Sabtu lalu terjawab apabila mangsa yang dijumpai selamat mengaku ‘mengembara’ menaiki basikal sejauh lebih 30 kilometer untuk mandi di air terjun serta berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah di Jelapang, Ipoh, di sini.

Tiga kanak-kanak itu, P Muganasundram, S Vijay dan Muhamad Nazir Hussen masing-masing berusia 12 tahun turut memberitahu tidur di kaki lima sebuah stesen minyak selepas bimbang ditahan polis.
Ketiga-tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Muhibbah, di sini, mencetuskan panik ibu bapa dan pihak sekolah selepas dilaporkan hilang sejurus keluar dari rumah mereka di Taman Lintang, di sini, jam 7 pagi Sabtu lalu, sebelum ditemui semula kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Mereka mendakwa mahu pergi ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan bagaimanapun tidak pulang ke rumah hingga lewat malam sebelum ahli keluarga membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Siput berikutan bimbang pelajar itu menjadi mangsa culik.
Muhamad Nazir yang ditemui di rumah keluarganya di sini, semalam, mengakui kesal dengan tindakan dia dan dua rakan lain menipu ahli keluarga kononnya mahu menghadiri kelas tambahan di sekolah.
Pelajar tahun enam itu berkata, mereka sebaliknya mengayuh basikal menuju ke kawasan air terjun Ulu Chepor di Chemor yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah mereka.

“Kami kemudian menyambung semula perjalanan dengan mengayuh basikal ke pusat beli-belah Mydin di Jelapang. Kami teruja untuk pergi berjalan-jalan ke pusat beli-belah itu berikutan ia baru dibuka,” katanya.
“Kami menghabiskan masa di pusat beli-belah itu sebelum menyedari hari sudah malam. Ketika itu kami yakin keluarga pasti risau dengan kehilangan kami dan mereka pasti mencari.

“Bimbang untuk pulang pada malam itu kerana khuatir ditahan polis yang membuat sekatan di jalan raya. Kami tidur di kaki lima sebuah stesen minyak di Ipoh,” katanya.
Sementara itu, Muganasundram berkata, mereka kemudian mengambil keputusan mengayuh pulang pada tengah hari Ahad lalu sebelum ditahan seorang sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjejaki mereka.
“Kami kemudian diserahkan ke balai polis berhampiran sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibu bapa kami,” katanya kesal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, mengesahkan ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah kembali kepada keluarga malam kelmarin selepas keterangan diambil.

3 sahabat cilik terus hilang – Metro


3 sahabat cilik terus hilang
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

HILANG…(dari kiri) Muhamad Nazir, Muganasundram dan Vijay hilang sejak awal pagi kelmarin.
SUNGAI SIPUT: Helah tiga rakan baik menipu ibu bapa masing-masing kononnya ingin menghadiri kelas tuisyen di sekolah mereka pagi kelmarin mengundang kebimbangan keluarga apabila ketiga-tiga mereka tidak pulang ke rumah sehingga petang semalam.

Kehilangan murid lelaki tahun enam Sekolah Kebangsaan Muhibbah di sini, itu disedari keluarga masing-masing sebelum laporan dibuat di Balai Polis Sungai Siput.
Kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai P Muganasundram, S Vijay dan Muhamad Nazir Hussen, keluar dari rumah mereka di sini pada jam 7 pagi kelmarin dengan berbasikal sambil menggalas beg kecil.

Ibu Vijay, R Anaugam, 36, ketika ditemui semalam berkata, anaknya memaklumkan ingin ke sekolah pagi berkenaan bagi menghadiri kelas tuisyen.
Dia yang juga pekerja kilang berkata, dia membenarkan anaknya menghadiri kelas tuisyen itu sebelum keluar bekerja pada jam 4.30 pagi.
“Bagaimanapun, anak sulung saya menelefon pada jam 2.30 petang pada hari kejadian dan memaklumkan Vijay belum pulang sedangkan dia sepatutnya habis pulang kelas berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Saya bergegas pulang sebelum menuju ke sekolah, namun pengawal keselamatan sekolah memaklumkan tiada aktiviti di sekolah hari itu termasuk kelas tuisyen,” katanya.
Katanya, dia segera membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu.

Menurutnya, sehingga semalam, dia tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada anaknya itu.
“Saya mencarinya di serata tempat termasuk menghubungi rakan baiknya, namun gagal menjejakinya. Saya berharap dia pulang segera.
“Malah, saya juga berharap individu yang menyembunyikan anak saya serta dua rakan rakannya itu memulangkan mereka dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan mengenai kes kehilangan tiga kanak-kanak berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasatnya mengikut kes orang hilang.
“Kami berharap sesiapa yang menemui mangsa menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di talian 05-598 2222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Kasut berasap! – Metro


Kasut berasap!

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: “Sebaik dentuman kuat, kedua-dua kaki saya kebas, manakala kasut pula berasap,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin (SKM), di sini, yang cedera dipanah petir dalam kejadian petang kelmarin.

Muhammad Izaha yang turut melecur di kaki kanannya berkata, sejurus dentuman kuat itu, dia terus rebah.
Menurutnya, dia meraung kesakitan sebelum seorang guru meluru ke arahnya dan menanggalkan kasut dipakainya.

 

“Dalam keadaan terbaring itu, saya sempat melihat arwah kaku dan tersandar pada sebatang pokok, manakala beberapa murid lain meraung kesakitan.
“Sebelum dentuman petir itu berlaku, saya melihat arwah berjalan menuju ke sebatang pokok bagi mengemaskan peralatan memanah,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, di sini, semalam.
Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan mangsa, Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, maut dipanah petir, manakala seorang guru dan tiga murid lain cedera ringan.

 

 

Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika lapan murid dan guru terbabit baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.
Insiden tidak dijangka itu turut mencederakan seorang guru, Azizul Rahman Ismail, 31, yang juga jurulatih memanah sekolah serta tiga murid dikenali sebagai Anuar Azlin, 12, Nor Arifah Fatimah, 12 dan Muhammad Izaha Jamaluddin, 10.

 

Keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk mendapatkan rawatan, namun tiga murid dibenarkan keluar malam kelmarin manakala, Azizul Rahman masih dirawat di hospital sama. Muhammad Izaha berkata, dia tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa rakannya itu kerana sebelum ini, dia sangat rapat dengan arwah kerana Syafiq tidak lokek mengajarnya cara memanah dengan betul.
Ketika ditanya sama ada dia mahu meneruskan minatnya dalam sukan memanah, Muhammad Izaha berkata, dia memerlukan masa untuk memulihkan emosinya.
Menurutnya, dia masih trauma dengan kejadian itu yang menyebabkan kaki kanannya melecur selain kedua-dua telinganya masih berdengung.
Sementara itu, Azizul Rahman ketika ditemui di HKK semalam berkata, dia yang berada paling hampir dengan arwah turut rebah sebaik petir itu mengenai tanah.
“Sebaik tersedar daripada pengsan, saya terkejut apabila mendapati arwah terbaring di atas padang berdekatan sebatang pokok manakala beberapa murid lain menjerit kesakitan.
“Sejurus kejadian, seorang guru yang berada berdekatan segera memberikan bantuan pemulihan pernafasan (CPR) selain turut memeriksa nadi arwah. Bagaimanapun, Syafiq disahkan sudah meninggal dunia dan dibawa ke hospital,” katanya.
Dia yang juga guru Matematik berkata, ketika kejadian cuaca agak mendung menyebabkan dia bersama murid lain mengemaskan peralatan memanah dan bersiap sedia untuk pulang.