Murid terpaksa kongsi kelas – Sinar Harian


Murid terpaksa kongsi kelas
WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2013
  • Murid terpaksa kongsi kelasZon menunjukkan tapak yang dicadangkan untuk pembinaan sekolah agama rakyat As-Sidiq.
< 1 / 1 >

SERI ISKANDAR – Penduduk Taman Teknologi Seri Iskandar menggesa pihak berkenaan meluluskan tapak bagi membina sebuah sekolah agama rakyat, di sini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kafa Sekolah Agama Rakyat As-Sidiq Zon Huri berkata, anak-anak mereka terpaksa menumpang di sekolah kebangsaan untuk mengikuti pengajian sekolah agama rakyat kerana tidak mempunyai bangunan sendiri.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan kesukaran kepada mereka kerana jumlah murid yang agak ramai dan terpaksa berkongsi kelas.

“Terdapat 235 murid sekolah agama di sini, setiap kali sesi persekolahan baru bermula kami terpaksa memohon menggunakan sekolah kebangsaan di kawasan ini memandangkan tidak ada kawasan lain yang lebih sesuai.

“Perkara itu menimbulkan masalah kepada kedua-dua pihak kerana sekolah kebangsaan juga mahu memastikan kawasannya dijaga dengan baik,” katanya.

Kata beliau, tapak untuk pembinaan sekolah berkenaan juga sudah ada dan permohonan kelulusan tapak juga sudah dibuat.

Bagaimanapun, jelasnya, sehingga kini mereka belum mendapat kata putus mengenai perkara itu menyebabkan ia tergantung begitu sahaja.

“Tapak berkenaan memang sesuai kerana berhampiran sekolah rendah dan juga masjid yang memudahkan lagi sesi pembelajaran anak-anak,” katanya.

Zon berkata, besar harapan mereka agar pembinaan sekolah berkenaan dapat direalisasikan bagi keselesaan anak-anak mereka untuk belajar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, beliau meminta supaya pihak jawatankuasa sekolah agama rakyat  membuat permohonan baru untuk tujuan pembinaan sekolah itu.

“Saya juga difahamkan tapak sekolah itu juga sudah ada memandangkan ia adalah tanah rizab untuk menempatkan projek kerajaan.

“Lokasi itu juga amat sesuai kerana hampir dengan masjid dan sekolah kebangsaan selain dikelilingi taman perumahan yang memudahkan lagi anak-anak untuk ke sekolah,” katanya.

Katanya, perkara itu akan dipanjangkan semula kepada pihak berkaitan dan beliau akan cuba membantu penduduk di sini.

Mohon elaun bilal, siak dan guru Kafa dinaikkan – Sinar Harian


Mohon elaun bilal, siak dan guru Kafa dinaikkan
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2012
PERAK TENGAH – Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan meminta supaya bayaran elaun bagi bilal, siak dan guru Kafa dikaji semula memandangkan bayaran elaun kini masih di tahap lama.

Menurutnya, golongan berkenaan telah melakukan kerja-kerja untuk kemudahan para jemaah dan penduduk, sepatutnya mereka menerima bayaran elaun yang berpatutan.

“Kita mencadangkan supaya elaun ini dapat dinaikkan memandangkan mereka juga bekerja untuk mengimarahkan masjid dan elaun itu adalah sebagai satu penghargaan kepada mereka.

“Begitu juga dengan guru Kafa, mereka mempunyai pengaruh tertentu dalam kalangan masyarakat dan kita tidak mahu timbul sebarang masalah jika elaun masih tidak dinaikkan,” katanya ketika perasmian mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Parit, di sini semalam.

Mesyuarat itu telah dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria, Ketua Wanita Umno Bahagian Parit, Asmah Laily Abd Rahman dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Parit, Khairul Shahril Mohamed.

Mohd Zaim berkata, perkara itu perlu dikaji semula supaya tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari. “Kita harap perkara ini dapat dibawa ke peringkat jemaah menteri untuk dibincangkan dan difikirkan bagi kenaikkan elaun itu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Blanja.

Sementara itu, beliau menegaskan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba memperkotak-katikkan agama Islam. “Kita harus memastikan agama Islam dijaga dan tidak boleh dibuat main-main. Jika ada yang berbuat demikian tindakan tegas harus diambil,” katanya.

Dalam ucapannya juga Mohd Zaim berkata, pilihan Raya Umum ke-13 adalah satu pilihan raya yang paling kritikal.

“Kita harus mencari cara yang terbaik bagi memenangi ketiga-tiga kerusi di Parlimen Parit dalam pilihan raya nanti.

“Oleh sebab itu, kita menjemput Dr Mashitah untuk memberi pandangan dan nasihat sebagai panduan kita di sini,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak mahu lagi kejadian dahulu (bertukar kerajaan) berlaku lagi di Perak dan dapat mempertahankan kerusi kerajaan sedia ada.

Sementara itu, Dr Mashitah berkata, berkenaan bayaran elaun bilal, siak dan guru Kafa berkenaan adalah sedang dalam perhatian.