Mohon kekal sekolah tahfiz – Sinar Harian


Mohon kekal sekolah tahfiz
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2012
HULU PERAK – Ibu bapa kepada 23 pelajar lelaki Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, di sini meminta bangunan sekolah sedia ada dikekalkan sebagai pusat pembelajaran buat anak-anak mereka.

Guru, Hasifi Hilfi Shahizan berkata, ada di antara ibu bapa pelajar bimbang anak mereka ditukarkan ke tapak asal di Bukit Sapi kira-kira 15 kilometer dari sini yang dilihat jauh dari penempatan penduduk.

Menurutnya, sekolah itu menumpang di sebuah sekolah agama rakyat, di sini, pada masa ini, untuk meneruskan pengajian mereka. “Bangunan yang mempunyai hanya satu bilik darjah, bilik guru dan bilik asrama dalam satu bangunan dibina di tanah seluas 0.1 hektar serta tidak mempunyai padang dengan jalan tanah merah tidak bertar.

“Sejak enam bulan ditubuhkan, pelajar tidak dapat melakukan aktiviti riadah seperti bermain bola sepak pada waktu lapang,” katanya.

Namun begitu, katanya, pelajar berkenaan masih mengikuti pembelajran berkaitan tahfiz Al-Quran selain pengajian akademik biasa, termasuk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sementara itu, Hasifi Hilfi berkata, ibu bapa pelajar juga turut menyuarakan pandanganuntuk mengekalkan anak mereka di bangunan sedia ada dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) baru-baru ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, Mohd Nasir Yop Ahmad berkata, pihaknya merancang untuk menulis surat kepada Menteri Besar bagi mencari penyelesaian masalah itu.

“Kalau boleh kita tidak mahu pelajar ini dipindahkan ke Bukit Sapi yang dilihat jauh dari kemudahan asas seperti pengangkutan awam, hospital dan sebagainya.

“Ibu bapa mencadangkan sekolah berkenaan dikekalkan untuk memudahkan semua pihak. Cuma kemudahan sekolah perlu dinaikkan taraf untuk pelajar-pelajar cemerlang,” katanya.