Perbicaraan Nayati: Guru cerita cubaan untuk halang kereta penculik – Bernama


Perbicaraan Nayati: Guru cerita cubaan untuk halang kereta penculik

15 April 2013

KUALA LUMPUR – Seorang guru menceritakan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagaimana beliau mendengar jeritan dari mangsa culik Nayati Shamelin Moodliar, seorang kanak-kanak warga Belanda berusia 12 tahun, berdekatan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini.

Jonathan Robert Daley, 38, seorang guru pendidikan jasmani di sekolah berkenaan, memberitahu bagaimana beliau cuba mengejar kereta penculik selepas melihat seorang lelaki tidak dikenali memasukkan mangsa ke dalam kereta.

“Saya mengejar kereta itu sebelum kereta itu bertukar arah ke arah saya. Saya berada di sebelah jalan apabila kereta itu menuju ke arah saya.

“Pada ketika itu, saya berada di tengah jalan dan terpaksa mengelak kerana kereta itu dipandu laju dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hendak berhenti,” katanya di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Daley, yang merupakan saksi pertama pendakwaan, berkata beliau hanya sempat menendang pintu sebelah kereta pemandu.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran apa yang menyebabkan beliau bertindak sedemikian, Daley berkata beliau menendang pintu kereta kerana mengetahui ada seorang kanak-kanak di dalam kereta tersebut.

Beliau berkata demikan pada perbicaraan kes tiga lelaki yang didakwa menculik Nayati di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, Brickfields di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi, 27 April, 2012.

Tiga tertuduh tersebut Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri dan dua rakannya, Foong Khar Fai, 20, seorang jurujual telefon bimbit, Lee Phak Seng, 34, seorang penggangur dan seorang lagi yang masih bebas didakwa mengikuti Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika disabit kesalahan.

Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS, pada 7.55 pagi, 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan sekolah mangsa.

Menjawab soalan lain, Daley berkata beliau hanya mengenali identiti kanak-kanak itu selepas beliau dan beberapa guru lain melihat beberapa buku latihan mangsa yang bertaburan di atas jalan.

Guru itu berkata beliau tidak dapat mengenalpasti pemandu kereta itu kerana kejadian itu berlaku dengan pantas.

Chong diwakili peguam Rejinder Singh manakala Foong dan Lee masing-masing diwakili oleh Datuk Hanif Hashim dan K.T. Wong.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama

Tiga sahabat mengaku tidak bersalah culik Nayati – Berita Harian


Tiga sahabat mengaku tidak bersalah culik Nayati

2013/02/18 – 13:20:45 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Mood Liar, 12, pada April tahun lalu.

Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri berserta rakannya Foong Khar Fai, 20, yang juga seorang penjual telefon bimbit dan penganggur, Lee Phak Seng, 24, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Kamardin menetapkan dua minggu bermula 15 hingga 19 April dan 13 hingga 17 Mei untuk perbicaraan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Jean Sharmila Jesudeson memberitahu mahkamah seramai 15 saksi pihak pendakwaan dan pembelaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Ketika ditemui media selepas prosiding kes itu, Jean berkata, antara saksi yang akan dipanggil termasuklah mangsa culik, Nayati.

Pada 22 Mei tahun lalu, ketiga-tiga mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik Nayati, dan tiada pengakuan direkodkan.

Ketiga-tiga lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menculik kanak-kanak berkenaan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, 7.30 pagi pada 27 April 2012 mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS pada 7.55 pagi 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini.

Chong diwakili peguam Rejinder Singh, manakala Foong diwakili peguam Zamri Ibrahim dan Lee diwakili peguam KT Wong. – BERNAMA

Nayati masih alami trauma: Keluarga – Bernama


Nayati masih alami trauma: Keluarga

2012/05/04

PETALING JAYA: Pelajar Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang dibebaskan penculik di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh semalam, masih tertekan dan trauma akibat diculik hampir seminggu.

Perkara itu dinyatakan kedua ibu bapa Nayati, Sham Moodliar, 41, dan Janice Smith, 40.

“Sampai saja di rumah, Nayati meminta nasi ayam yang amat digemarinya.

“Malam pula, dia minta ibunya (Janice) tidur bersamanya kerana masih takut dengan kejadian ini” kata Sham pada sidang akhbar “Welcome Home Nayati” di Damansara Perdana di sini, hari ini.

Keluarga Nayati akan bercuti di Eropah – Bernama


Keluarga Nayati akan bercuti di Eropah

2012/05/04

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada kanak-kanak yang diculik Jumaat lalu dan kemudian dibebaskan semalam bercadang untuk bercuti di Eropah bagi menghilangkan tekanan akibat kes berkenaan.

Sham Moodliar, 41, berkata beliau dan keluarganya bercadang untuk bercuti selepas berlaku kes penculikan terhadap anaknya Nayati, 12.

“Saya dan keluarga saya akan bercuti di Eropah.” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir di majlis berkenaan ialah isterinya Janice Smith, 40.

Kanak-kanak lelaki itu tidak hadir bersama kerana dikatakan bertegas mahu ke sekolahnya di Sekolah Antarbangsa Mont Kiara di sini.

Nayati ditemui semula di kawasan rehat dan rekreasi Sungai Buloh di Lebuhraya Utara-Selatan selepas diculik oleh dua lelaki berhampiran kawasan sekolahnya.

Polis Kuala Lumpur telah membentuk pasukan petugas khas untuk memburu penculik selepas keluarga kanak-kanak tersebut dilapor telah membayar wang tebusan sehari sebelum dia dibebaskan.
Moodliar mengalirkan air mata apabila ditanya bagaimana anaknya menghadapi kes penculikan berkenaan.

“Dia tabah dan saya gembira dia segera boleh menjalani rutin hariannya,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada polis kerana berjaya menangani kes berkenaan dan memastikan keselamatan anaknya.

Janice pula berkata anaknya tidur nyenyak malam tadi dan gembira anaknya segera pulih selepas kejadian berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin ketika dihubungi Bernama berkata polis sedang memburu suspek yang terbabit.

“Saya tidak boleh beri keterangan lanjut kerana kes masih berjalan dan polis akan mengeluarkan kenyataan apabila suspek ditahan,” katanya sambil menasihati media tidak membuat sebarang spekulasi sehingga selesai siasatan polis. – BERNAMA

Nayati temui rakan selepas dibebaskan penculik – Bernama


Nayati temui rakan selepas dibebaskan penculik

3 Mei 2012
Nayati bersama rakanya
Nayati (di tengah) bersama rakanya selepas dibebaskan dengan selamat di Rawang awal pagi tadi. – Foto ihsan @ShamMoodliar

KUALA LUMPUR – Bertemu rakan sekolah dan membuat pemeriksaan perubatan adalah antara aktiviti Nayati Shamelin Moodliar dan keluarganya selepas beberapa jam dibebaskan penculik hari ini.

Biarpun enam hari trauma akibat diculik, Nayati kelihatan sudah mampu tersenyum dalam gambar bersama rakan sekolahnya yang dirakamkan oleh bapanya, Shamelin Moodliar dan disiarkan di laman Twitternya, Sham Moodliar.

Gambar Nayati diambil sedang berjalan pulang bersama rakan sekolahnya dari Sekolah Antarabangsa Mont’ Kiara, yang terletak berdekatan rumahnya di Mont Kiara Ten, di sini.

Dalam gambar terbarunya, Nayati, bertopi dan memakai t-shirt berwarna hijau sambil berpegangan tangan dengan rakan-rakannya.

“Nayati memilih untuk berjalan ke rumah,” kata bapanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana usaha pasukan itu membawa anaknya pulang.

Nayati, 12, dilapor hilang dipercayai diculik dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont’ Kiara ketika berjalan berseorangan ke sekolahnya Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Nayati ditemui selamat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di sini pada pukul 7.55 pagi selepas keluarganya membayar wang tebusan semalam.

Polis kini sedang memburu penculik Nayati itu dengan menubuhkan satu pasukan khas untuk menanganinya.

Moodliar berkata Nayati ingin ke sekolah dengan secepat mungkin dan dalam pertemuan itu dengan rakannya, Nayati memeluk rakan dan gurunya.

“Semangat Nayati sangat kuat. Beliau meminta untuk ke sekolah dengan segera,” kata ayahnya.

Terdahulu, Moodliar berkata anaknya juga telah menjalani pemeriksaan doktor untuk memastikan tiada sebarang kecederaan. – Bernama

Nayati Shamelin dibebas selepas tebusan dibayar: Polis – Berita Harian


Nayati Shamelin dibebas selepas tebusan dibayar: Polis

2012/05/03

KUALA LUMPUR: Pelajar Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu dibebaskan penculiknya selepas 19 jam ibu bapanya membayar wang tebusan yang diminta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika mengesahkan perkara itu, bagaimanapun, tidak mendedahkan jumlah wang tebusan berkenaan, namun menyifatkannya sebagai ‘boleh tahan’ ketika ditanya media.

Katanya, polis sedang mengesan kumpulan penculik terbabit.

Keluarga Nayati ucap terima kasih kepada media, polis – Berita Harian


Keluarga Nayati ucap terima kasih kepada media, polis

2012/05/03

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Moodliar, 12, yang dilarikan Isnin lalu mengucapkan ribuan terima kasih kepada media kerana membantu menghebahkan maklumat ke seluruh negara.

Wakil keluarga yang tidak mahu namanya disiarkan menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama yang diberikan rakyat negara ini termasuk pihak media dan polis.

“Terima kasih kepada pihak media yang banyak membantu dan bekerjasama dalam membawa Nayati pulang ke pangkuan keluarga semula,” katanya di kediaman keluarga itu di Mont Kiara di sini, hari ini.