Remaja maut, motosikal rempuh kereta ketika merempit
24 Julai 2012
BUKIT MERTAJAM – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang ditunggang memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Merah, Permatang Pauh, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ASP S. Manogaran berkata Aqmar Azwar Zulkifli, 16, dari Taman Ara Indah di sini, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pukul 10.40 malam itu.
Remaja itu dipercayai menunggang dengan laju bersama sekumpulan rakan apabila motosikalnya memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Manogaran berkata pelajar itu juga tidak memiliki lesen memandu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41 (1)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama