Jalan lubang didakwa punca bekas pemimpin Cuepacs koma – Sinar Harian


Jalan lubang didakwa punca bekas pemimpin Cuepacs koma

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Oktober 2012
Bahardin Mohd Sohor
Bahardin kini koma dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Gara-gara jalan rosak tidak dibaik pulih, bekas Naib Presiden  Cuepacs, Bahardin Mohd Sohor, 67, koma sejak seminggu lalu selepas terbabit dalam kemalangan di Persiaran Lestari Perdana Fasa 1, Seri Kembangan  28 September lalu.

Kejadian  jam  8.30 malam itu berlaku apabila Bahardin terhumban ke atas jalan selepas motosikal Yamaha Lagenda yang ditungganginya terperosok ke dalam lubang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Puncak Jalil.

Mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Serdang dan terpaksa menjalani pembedahan mata selain disahkan mengalami patah tulang rusuk dan mempunyai darah beku di otak.

Menurut anaknya, Izwan Bahardin, 34, kes ayahnya kemudian dirujuk di Wad Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum satu pembedahan dijalankan bagi membuang darah beku di otak dan paru-paru.

“Saksi memberitahu ayah yang menunggang  perlahan tiba-tiba  tercampak dan mukanya tersembam di atas jalan sebaik motosikalnya terlanggar lubang berikutan lampu jalan yang ada tidak berfungsi,” katanya.

Izwan berkata,  sehingga kini ayahnya terpaksa menerima bantuan pernafasan dan makan melalui tiub berikutan kecederaan yang dialaminya agak serius.

“Mujur ketika kejadian tiada kenderaan lain mengekorinya dari belakang  jika tidak keadaan pasti lebih buruk dari ini saya kesal kerana  lubang yang wujud di jalan ini  tidak dibaik pulih meskipun aduan pernah dibuat penduduk beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu semalam  mendapati keadaan jalan tidak  rata dan berlubang teruk sepanjang  20 meter.

Difahamkan beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal pernah berlaku sejak dua bulan lalu di jalan itu namun tiada sebarang usaha daripada pihak berwajib untuk menurapnya.

“Saya harap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera kerana kami mahu menuntut sejumlah pampasan rawatan perubatan ayah kerana kejadian ini berlaku disebabkan keadaan jalan yang tidak diselenggarakan dengan baik,” katanya.

Susulan kejadian, dua  laporan polis  telah dibuat di Balai Polis Trafik Serdang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias mengesahkan menerima laporan dan siasatan mendapati mangsa tidak sedar kewujudan jalan yang  berlubang di situ berikutan keadaan kawasan agak gelap.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ketika dihubungi akan menyiasat dakwaan itu dan akan memberi maklum balas dalam waktu terdekat berhubung kejadian yang berlaku.

Meraung kaki berlipat – Metro


Meraung kaki berlipat

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT...Mohd Saiful yang hampir putus kaki kanan ditenangkan ahli keluarga dan orang ramai di tempat kejadian, kelmarin.
SAKIT…Mohd Saiful yang hampir putus kaki kanan ditenangkan ahli keluarga dan orang ramai di tempat kejadian, kelmarin.

ALOR GAJAH: “Pilu hati ini melihat mangsa menggelupur di bahu jalan sambil merayu bantuan dan meraung menunjukkan kaki kanannya yang berlipat dan betis yang cedera parah,” kata Shamsul Arifin, 42, yang menyaksikan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kampung Tanjung Dahan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, mangsa, Mohd Saiful Azhar, 14, pelajar tingkatan dua sekolah menengah di daerah ini hampir putus kaki kanan selepas dirempuh kereta berkenaan.
Difahamkan, mangsa yang membonceng motosikal Yamaha Lagenda ditunggangi bapa saudaranya, Mohd Yusuf Idris, 54, datang dari arah Kampung Nelayan, Kuala Linggi menuju pekan Kuala Sungai Baru.

 

Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa dipercayai cuba membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Honda Accord dinaiki dua pelajar kolej yang berada di laluan sama.
Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak di bahu jalan, namun penunggang motosikal dan kedua-dua pelajar itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Shamsul, saksi yang terawal tiba di tempat kejadian berkata, dia terkejut apabila melihat mangsa tercampak ke bahu jalan.

 

 

“Saya kemudian segera memberhentikan motosikal dan mendekati mangsa yang masih sedarkan diri. Pada masa sama, saya melihat penunggang motosikal berkenaan turut terbaring tidak jauh daripada mangsa sebelum kembali bangun dalam keadaan terpinga-pinga.
“Saya sedih melihat kaki mangsa yang terkulai dan berlipat seperti hampir putus. Melihat keadaan itu, saya terus menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

 

Bagi pemandu kereta, Syed Ahmad Ali, 19, dia dari rumahnya di Kampung Tanjung Agas, Pasir Panjang, Negeri Sembilan, sebelum terbabit dalam nahas itu berkenaan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya sudah memintas sebuah motosikal lain terlebih dulu dan memastikan laluan di depan selamat sebelum memotong motosikal mangsa.
“Saya bagaimanapun terkejut melihat motosikal itu tiba-tiba membuat pusingan U dan segera menekan brek menyebabkan kereta dipandu hilang kawalan,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut itu, pembonceng motosikal itu tercampak.
Ketua Polis daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu dan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Melaka.
“Orang ramai yang melihat kemalangan diminta tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14