MPS gempur penjaja jajan di pekarangan sekolah – Metro


MPS gempur penjaja jajan di pekarangan sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SITA...anggota penguat kuasa MPS menyita motosikal penjaja terbabit.
SITA…anggota penguat kuasa MPS menyita motosikal penjaja terbabit.

SELAYANG: Biarpun beberapa kali digempur Majlis Perbandaran Selayang (MPS), penjaja makanan ringan di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih, di sini, tetap aktif menjalankan perniagaan mereka kerana menerima permintaan tinggi daripada murid.

Dengan menggunakan taktik baru, penjaja mempamerkan jualan dalam but kereta, van, motosikal, menggantung jualan pada basikal dan menjaja sambil membimbit karung plastik besar.
Ketua Bahagian Pengurusan Penjaja Jabatan Pelesenan MPS, Mohd Zikry Zulkifle, berkata pihaknya menerima aduan ibu bapa yang tidak menyenangi kegiatan penjaja terbabit kerana menjual makanan ringan di luar perkarangan sekolah serta mengganggu lalu lintas di kawasan itu.

 

“Kami tidak mengeluarkan sebarang permit menjual makanan ringan di kawasan sekolah dan ia dilarang. Peniaga yang masih ingkar akan dikenakan denda kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan barang niaga disita,” katanya.
Dalam operasi itu, enam bakul dipenuhi pelbagai makanan ringan dirampas dan empat motosikal menjual aiskrim disita.
Tiga daripada empat peniaga aiskrim bermotosikal diserahkan kepada pihak imigresen kerana berniaga tanpa lesen dan tidak mempunyai permit sah.