Empat lagi MRSM bakal dibuka – Bernama


Empat lagi MRSM bakal dibuka

2013/07/18 – 21:22:14 PMCetakEmel Kawan
KUALA BESUT: Empat lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bakal diwujudkan di seluruh negara bagi menampung permohonan kemasukan pelajar yang semakin meningkat kebelakangan ini.

MRSM berkenaan terletak di Arau, Perlis yang dijangka siap pada penghujung

tahun hadapan, selain di Kuala Kangsar, Perak; Tanjung Karang, Selangor dan Semporna, Sabah.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Ibrahim Ahmad berkata
pembinaan MRSM baharu itu yang dijangkakan siap dalam tempoh setahun hingga dua
tahun akan memberikan tambahan tempat kepada 1,000 pelajar pada setiap sesi
pengambilan.

“Penambahan MRSM ini akan menjadikan jumlah keseluruhan MRSM, 54 buah
dan akan membuka lebih peluang memandangkan tahun ini sahaja kita menerima 44,000 permohonan sedangkan tempat yang ada hanya untuk 9,000 pelajar,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Program Cakna MARA Keusahawanan dan
Pendidikan di Masjid Al-Jamhuriah di sini, hari ini.

Pada program itu, Ibrahim menyampaikan sumbangan bernilai antara RM100 dan
RM300 kepada 397 pelajar sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala
Besut manakala 200 pelajar pula menerima bantuan pakaian sekolah.

Seorang penerima sumbangan Siti Akilah Amirah Abu Bakar, 14, dari MRSM Kota
Putra di sini berkata wang RM300 itu akan diserahkan kepada ibunya Jahuriah
Hasan, 47, yang berada di Tumpat, Kelantan.

“Ibu bekerja sebagai pembantu kedai untuk membesarkan kami lima beradik
selepas kematian ayah, Abu Bakar Arshad pada 2011 akibat kencing manis dan darah
tinggi,” katanya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Air Terjun di sini, Nur Amanisa Hasanudin, 11,
pula memberitahu beliau mahu mengajak ibunya untuk mencari baju raya dengan
menggunakan wang RM100 yang diterimanya hari ini. – BERNAMA

SKSS 1 juara taekwondo – Sinar Harian


SKSS 1 juara taekwondo
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2012

Peserta taekwondo yang mengambil bahagian pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung selama tiga hari di Dewan SK Sultan Sulaiman I.
KUALA TERENGGANU – Atlet taekwondo Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung di Dewan SKSS I baru-baru ini.

Selaku tuan rumah kejohanan yang julung kali diadakan itu, SK Sultan Sulaiman I berjaya meraih 10 pingat emas, dua perak dan 10 gangsa dalam dua kategori yang dipertandingkan bagi lelaki dan perempuan peringkat sekolah rendah.

Tempat kedua pula menjadi milik atlet dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman II dengan kutipan dua pingat emas, empat perak dan enam gangsa.

Manakala, milik tempat ketiga yang bergaya dengan dua emas, tiga perak dan satu gangsa jatuh kepada atlet taekwondo cilik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud, Besut.

Bagi Kategori Sekolah Menengah pula, juara menjadi milik pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut dengan kutipan empat emas, lima perak dan dua pingat gangsa mengalahkan MRSM Kota Putra di tempat kedua dengan kutipan tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

Penganjur kejohanan yang juga ketua jurulatih Kelab Taekwondo Teguh, Mohd Salihin Abdullah berkata, penganjuran kejohanan bagi kali pertama itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan ia bakal dijadikan sebagai acara tahunan dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet taekwondo berbakat negara.

Menurutnya, seramai 700 peserta daripada 250 sekolah rendah dan menengah daripada lapan negeri mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu.

“Antara negeri yang turut serta termasuklah Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Terengganu sendiri selaku tuan rumah.

“Malah, kejohanan ini juga turut melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah Kluster dan juga sekolah berprestasi tinggi (SBT) dari seluruh negara,” katanya.

Kejohanan itu anjuran bersama Kelab Taekwondo Teguh, Kelab Taekwondo Action.

Sementara itu, SK Sultan Sulaiman 1 selaku tuan rumah turut diiktiraf Kementerian Pelajaran Malaysia terutama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).