PPPM akan tetap dilancar – TPM – Utusan


PPPM akan tetap dilancar – TPM

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

 

MUHYIDDIN Yassin menerima akad zakat perniagaan RM150,000 daripada UDA Holding Berhad yang disampaikan oleh Pengarah Urusan UDA Holding, Ahmad Abu Bakar (kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Surau Saadiah, Muar, Johor, semalam. – BERNAMA

MUAR 31 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan tetap dilancar 6 September ini walaupun mendapat tentangan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Beliau yang juga Menteri Pendidikan menegaskan, kerajaan tidak akan tunduk atau berasa takut dengan desakan Dong Zong kononnya PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah-sekolah vernakular.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab membela perjuangan kaum Melayu dan negara, kita akan teruskan dasar ini tanpa rasa terganggu, tergugat atau takut berhadapan dengan mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Surau Saadiah, di sini hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan kepada 68 anak-anak yatim.

Selain itu, UDA Holding Berhad turut menyerahkan sumbangan RM30,000 kepada surau berkenaan.

Sebelum ini, Dong Zhong mendakwa PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah vernakular menerusi persidangan yang diadakan persatuan tersebut sekali gus menunjukkan mereka seolah-olah dihantui dengan pelaksanaan pelan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin mencabar Dong Zong membaca dan meneliti isi kandungan pelan berkenaan yang tidak menyebut langsung usaha memansuhkan bahasa Mandarin atau sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Menurutnya, PPPM yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memperuntuk sebanyak RM125 juta yang bukan sahaja bertujuan memperkasa bidang pendidikan tetapi bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

“Kita mahu jadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan kepada semua kaum. Jangan jadikan usaha ini sebagai isu politik yang boleh menggugat keharmonian dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, bidang pendidikan akan mundur jika langkah tersebut tidak diambil kerana PPPM adalah menyeluruh serta merangkumi semua aspek.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, kerajaan turut memberi tumpuan dalam soal pendidikan Islam untuk meneruskan kemajuan sekolah agama di negara ini sesuai dengan kedudukan umat Islam sebagai masyarakat majoriti.

“Untuk itu kita akan bina sekolah menengah agama sempena nama arwah bapa saya di atas tanah seluas 6.8 hektar di daerah ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130801/dn_02/PPPM-akan-tetap-dilancar—TPM#ixzz2afgA0bH6
© Utusan Melayu (M) Bhd

PERMOHONAN PENGISIAN JAWATAN KOSONG DI SEKOLAH DALAM HOSPITAL


PERMOHONAN PENGISIAN JAWATAN KOSONG DI SEKOLAH DALAM HOSPITAL

04 February 2013

Permohonan adalah dipelawa daripada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkelayakan untuk mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41, DG44(KUP) dan DG48 (KUP) dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) N17 di Sekolah Dalam Hospital seperti lokasi berikut :-

  • Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor
  • Hospital Umum Sarawak, Sarawak
  • Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah

 

Sila klik di sini untuk maklumat lanjut.

 

Cara Memohon

  • Permohonan hendaklah dibuat menggunakan borang permohonan berikut :-
  • Bagi PPPS dan PPM di Sekolah Rendah Harian Biasa dan Sekolah Menengah Harian Biasa, borang permohonan MESTI dikemukakan melalui Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.
  • Semua permohonan hendaklah disertakan salinan sijil/dokumen sokongan yang telah disahkan serta sekeping gambar berukuran passport (tidak dikembalikan) dan dihantar melalui Pengetua/Guru Besar kepada:

PENGARAH
JABATAN PELAJARAN NEGERI

  • Sila tuliskan OPSYEN MATA PELAJARAN di sebelah atas kiri sampul surat permohonan (bagi permohonan jawatan PPPS sahaja).
  • Tarikh tutup permohonan ialah pada 25 Februari 2013 .

 

CATATAN: Hanya calon-calon yang layak selepas disenaraipendek sahaja akan dipanggil untuk ditemuduga. Calon-calon yang tidak menerima jawapan selepas satu (1) bulan dari tarikh iklan ditutup hendaklah menganggap permohonan mereka tidak berjaya.

Pelajar tingkatan dua maut dalam kemalangan ngeri – Sinar Harian


Pelajar tingkatan dua maut dalam kemalangan ngeri

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 November 2012
Anak patung
Anak patung milik Daphne diletakkan di atas keranda mendiang sebagai tanda peringatan rakan sekolah. Gambar kecil: Daphne

KERIAN – Anak patung merupakan hadiah terakhir diterima Daphne Eng Yuik Yee, 14, daripada seorang rakan sekolahnya sebelum maut dalam kemalangan ngeri yang turut mengorbankan empat mangsa lain di Slim River, Selasa lalu.

Datuk mangsa, H’ng Teoh Seah, 66, berkata, sebelum mendiang berangkat ke Muar, Johor bersama ahli kumpulan tarian dan nyanyian untuk mengadakan persembahan, seorang rakan perempuan Daphne menghadiahkannya patung itu sebagai peneman di sepanjang perjalanan.

Menurutnya, mendiang sebelum ini pernah meminta ibu bapa dan ahli keluarganya membelikan patung itu kerana terlalu meminatinya.

“Bagaimanapun, hasrat mendiang tidak dapat ditunaikan kami semua sibuk menguruskan hal keluarga.

“Sebelum mendiang berangkat, dia memberitahu saya tidak perlu membelikan anak patung kerana sudah dihadiahkan oleh seorang rakannya,” katanya di rumahnya di Bagan Selatan, semalam.

Kata Teoh Seah, dia sekeluarga tidak menyangka patung itu merupakan hadiah terakhir diterima cucunya dan agak terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan itu.

Jelasnya, mendiang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik dan meminati bidang nyanyian serta tarian sejak kecil.

“Mendiang yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Kerian, Parit Buntar pernah meluahkan hasrat untuk menjadi seorang penari profesional apabila sudah dewasa kelak.

“Mendiang merupakan anak yang baik, ketika baru menyertai pasukan tarian, dia begitu gembira dan saya berbangga miliki cucu sepertinya,” katanya.

Teoh Seah berkata, dia terperanjat mendapat tahu kejadian itu daripada polis yang datang ke rumah mereka kira-kira jam 9 pagi hari kejadian.

“Pada awalnya tidak percaya, tetapi selepas saya dan ahli keluarga melihat gambarnya sekeluarga dalam berita di televisyen, kami akur dengan ketentuan tuhan,” katanya.

Mendiang Daphne dikebumikan di tanah perkuburan bukan Islam, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Lima korban kemalangan ngeri – Kosmo


Lima korban kemalangan ngeri

 

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my

 


BEGINILAH keadaan MPV jenis Hyundai Starex yang remuk hingga mengorbankan lima nyawa di Slim River semalam.

 

SLIM RIVER – Hasrat 11 rakan untuk mengadakan pertunjukan kebudayaan di Muar, Johor berkecai apabila lima daripadanya maut, empat parah dan dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 372.1 Lebuhraya Utara- Selatan arah Selatan dekat sini semalam.

Kejadian pukul 7 pagi itu mengakibatkan Pang Lee Si, 35, dari Taman Serdang, Kedah; budak, Juvien Chin Yu Xuan, 12, serta Poh Hock Huat, 60, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang; Daphne Eng Yuik Yee, 14, dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini dan Hong Choon Tee, 33, mati di tempat kejadian.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Slim River (HSR) untuk bedah siasat.

Tiga penumpang, Bu Wei Hong, 50; Heng Ah Lee, 60, dan Lim Tau Hong, 3, dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi HSR.

Sementara itu, Chong Soon Choy, 61, patah tangan manakala dua lagi, Ho Seok Yi, 18, dan Goey Wen Ni, 16, cedera ringan. Kesemua mangsa menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Hyundai Starex yang dipandu Soon Choy.

Kemalangan itu mengakibatkan salah seorang mangsa putus kepala selain hancur anggota badan.

Ia berlaku tujuh hari selepas kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad yang maut dirempuh treler semasa bertugas di lorong kecemasan, lebuh raya sama yang terletak kira-kira 78 kilometer dari sini.

Sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan dari Nibong Tebal, Pulau Pinang ke Muar bagi memenuhi satu jemputan melakukan persembahan kebudayaan Cina.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Remaja lemas selepas ditarik ombak – Bernama


Remaja lemas selepas ditarik ombak
2012/06/07

GEORGETOWN: Seorang remaja lelaki mati lemas selepas ditarik ombak kuat semasa berehat di tepi Pantai Kerachut Teluk Bahang dekat sini hari ini.

Semasa kejadian 2 petang itu, mangsa Muaz Munawir, 16, dikatakan berehat bersama beberapa rakannya selepas mengikuti aktiviti merentas hutan anjuran Kelab Ikmar Teens yang bermula semalam.
Pengarah program, Mohd Hafiz Abdul Hamid, berkata pada ketika itu keadaan laut agak bergelora dan ombak tinggi tiba-tiba datang dan menarik mangsa hingga ke tengah laut.
“Muaz terus hilang dari pandangan kami, selepas setengah jam baru kami jumpa mayatnya terapung tidak jauh dari kawasan pantai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Hafiz berkata, program kem bina diri membabitkan 105 remaja dari seluruh negara itu dijadual berakhir esok.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Balik Pulau untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke kampung halamannya di Muar, Johor.

Terdahulu, ombak kuat sehingga 3.5 meter dilaporkan melanda sekitar pantai Pulau Pinang berikutan perubahan angin monsun timur laut kepada angin barat daya. – BERNAMA

Remaja mati lemas di Teluk Bahang – Bernama


Remaja mati lemas di Teluk Bahang
2012/06/07

GEORGETOWN: Seorang remaja lelaki mati lemas selepas ditarik ombak kuat ketika berehat di tepi Pantai Kerachut Teluk Bahang dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa Muaz Munawir, 16, dikatakan berehat bersama beberapa rakannya selepas mengikuti aktiviti merentas hutan anjuran Kelab Ikmar Teens yang bermula semalam.
Pengarah program, Mohd Hafiz Abdul Hamid berkata, ketika itu keadaan laut agak bergelora dan ombak tinggi tiba-tiba datang dan menarik mangsa hingga ke tengah laut.
“Muaz terus hilang dari pandangan kami, selepas setengah jam baru kami jumpa mayatnya terapung tidak jauh dari kawasan pantai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, program kem bina diri itu dijadual berakhir esok melibatkan 105 remaja dari seluruh Malaysia.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Balik Pulau untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke kampung halamannya di Muar, Johor. – BERNAMA

CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir – Berita Harian


CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir

Oleh Syed Azwan Syed Ali

2012/05/30

KUALA LUMPUR: CUEPACS mencadangkan gred minimum N17 pembantu tadbir dikaji semula selain membuka ruang kenaikan pangkat golongan itu daripada gred maksimum N26 kepada gred bersepadu N42.

Cadangan itu bagi membolehkan kenaikan kerjaya dan pangkat lebih luas kepada 80,000 pembantu tadbir yang dikelompokkan dalam kumpulan sokongan kerajaan.

CUEPACS juga mencadangkan gelaran jawatan itu ditukar kepada pegawai kerani atau pegawai hemat tadbir bagi melambangkan peranan kelompok itu selaku kumpulan sokongan yang melicinkan urusan pentadbiran.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan melalui suruhanjaya khas penambahbaikan sistem saraan baru perjawatan awam yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Katanya, kajian gred kelompok kakitangan kerajaan itu perlu dilakukan sejajar perubahan tuntutan tugas dan cabaran golongan itu, selain peningkatan taraf hidup rakyat.

“Cadangan sebenar (gred minimum) dibincang pada 12 hingga 14 Jun ini dalam bengkel semakan skim gred gaji penjawat awam anjuran CUEPACS di Muar, Johor.

“Cadangan dibawa kepada suruhanjaya yang akan diumumkan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-16 Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah Pendidikan (KEPTAN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Omar berkata, kajian semula gred minimum N17 bermakna kelompok itu akan menerima kenaikan gaji pokok yang kini dibayar RM926.60 sebulan.

“Gred (minimum) jawatan jururawat juga U19, jadi (gred bagi jawatan) pembantu tadbir kerajaan juga perlu dikaji semula,” katanya.

Katanya, kenaikan gred bersepadu memberi mereka peluang kenaikan pangkat gred bersepadu yang mengambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan kepada organisasi tanpa perlu merujuk kepada kelulusan akademik.

“Maknanya (bagi gred bersepadu) tak perlu ada ijazah atau diploma tetapi ambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan. Namun, bukan semua boleh dapat gred ini, hanya mereka yang layak,” katanya.

Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor


Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor

Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Penerangan Malaysia akan menganjurkanPelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor pada 1 hingga 4 Mac 2012 bertempat di Padang Sekolah Menengah Vokasional Muar, Jalan Sungai Abong, Muar, Johor. Majlis akan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 3 Mac 2012 jam 3.00 petang.