Derita ciptaan sendiri – Metro


Derita ciptaan sendiri

 2  1 Google +1  0  0

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kota Bharu: Akibat kreatif tidak bertempat, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun terpaksa menanggung azab apabila serpihan besi pelita panjut tertanam di dalam perutnya, selain terpaksa menerima lebih 15 jahitan di tangan kiri selepas usaha meletupkan mercun buatan sendiri menggunakan belerang mercun bola yang diisi ke dalam pelita panjut tidak menjadi, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang di Kampung Banggol Keterah, Tanah Merah itu, mangsa, Muhammad Arish Irfan Che Omar baru selesai menunaikan solat Jumaat bersama bapanya, Che Omar Che Mat, 42.
Menurut Che Omar, ketika dia tidur, Muhammad Arish Irfan bersama adiknya, Muhammad Azim berusia 11 tahun secara senyap-senyap bermain mercun di kawasan yang terletak lima meter dari rumahnya.

 

Katanya, anaknya itu menghasilkan mercun buatan sendiri dengan memasukkan belerang mercun bola ke dalam pelita panjut, namun ketika menyalakan sumbu berlaku letupan dan serpihan pelita terkena tangan kiri dan perutnya. “Saya terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan kuat sebelum Muhammad Arish pulang ke rumah dalam keadaan tangan berlumuran darah.
“Saya menghantarnya ke Hospital Tanah Merah sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di HRPZ II, semalam.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II Zaid Ahmad berkata, mangsa dijangka menjalani pembedahan bagi mengeluarkan beberapa serpihan besi pelita di dalam perutnya.

 

“Setakat ini, Muhammad Arish adalah mangsa ketiga mercun yang dirujuk ke hospital ini. Dia dijangka menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan pelita yang meletup itu, malam ini (malam tadi),” katanya. Sehingga kini, Kelantan mencatat tiga mangsa mercun buatan sendiri dengan Ahmad Fuad Jaafar, 27, dari Kampung Salor, dekat sini, yang cedera di tangan kiri pada 13 Julai lalu menjadi mangsa pertama mercun.
Pada 24 Julai lalu pula, Muhammad Nor Hakim Mohd Nawi, 11, cedera di mata kanan dan menerima beberapa jahitan pada kiri mulut selepas cubaannya menghasilkan percikan bunga api dengan mencipta formula menggabungkan belerang, pasir dan mercun bola di dalam botol plastik meletup sebaik dinyalakan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Pelajar Tingkatan Satu mangsa terbaru mercun buatan sendiri – Bernama


Pelajar Tingkatan Satu mangsa terbaru mercun buatan sendiri

2013/07/29 – 17:07:44 PMCetakEmel Kawan
KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pasir, Tanah Merah menjadi mangsa terbaharu mercun buatan sendiri meletup pada Jumaat lepas.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Muhammad Arish Irfan Che Omar, 13, dari Kampung Banggol Ketereh, Tanah Merah, cedera di tangan kiri dan perut selepas ditusuk serpihan pelita besi yang dimasukkannya belerang daripada mercun bola, meletup.

Bapanya, Che Omar Che Mat, 42, berkata ketika kejadian, beliau sedang tidur sebelum dikejutkan dengan letupan yang kuat di kawasan berhampiran.

“Muhammad Arish Irfan kemudian pulang ke rumah dengan tangan dan perut yang berdarah. Saya kemudian bawa anak sulung saya ini ke Hospital Tanah Merah untuk menerima rawatan.

“Saya difahamkan Muhammad Arish Irfan bermain dengan adik keduanya, Muhammad Azim yang cedera ringan di kaki,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) hari ini.

Che Omar, seorang buruh, berkata Muhammad Arish Irfan menyucuh mercun buatannya itu menggunakan pemetik api dan tidak sempat membaling pelita berisi belerang yang tiba-tiba meletup di tangannya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZII Zaid Ahmad berkata mangsa dirujuk ke hospital berkenaan semalam untuk menjalani pembedahan berikutan terdapat empat serpihan besi di dalam perutnya.
“Mangsa akan dibedah dalam masa terdekat bagi mengeluarkan serpihan yang berada di dalam perutnya. Dia turut menerima kira-kira 15 jahitan di tangan kirinya.

“Ini adalah kes ketiga mangsa mercun yang diterima hospital ini sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya. – BERNAMA